Warkah Terbuka Buat Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim
Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Prof.
Didoakan Prof dan semua anggota keluarga sihat walafiat dan sentiasa menerima rahmat Allah bagi apa jua yang diusahakan. Didoakan juga Prof dapat menyiapkan buku baru walaupun dalam keadaan rutin kerja yang semakin banyak. Amin.
Saya menulis surat terbuka ini kerana isunya elok diketahui oleh pembaca UNIKA, dan supaya mereka yang isi hatinya berasa sebagaimana yang saya sampaikan kepada Prof dalam warkah ini, turut berpuas hati juga membaca surat ini.
Prof. Dr. Kamil yang saya sanjungi dan teramat baik hati,
Banyak yang datang ke bengkel-bengkel PTS adalah kakitangan universiti. Mereka datang kerana mereka amat berminat menjadi penulis dalam bidang yang mereka minati tetapi bukan bidang pengkhususan akademik mereka di universiti.
Salah satu dilema yang banyak kali saya dengar daripada mentee-mentee saya yang terdiri daripada pensyarah universiti adalah mereka itu takut hendak menulis buku-buku yang di luar bidang pengkhususan akademik mereka. Mereka takut sebab mereka khuatir akan disindir ataupun ditegur oleh sesama pensyarah, oleh ketua jabatan dan oleh dekan, kerana tidak menulis buku yang relevan bagi tujuan kenaikan pangkat di universiti.
Ini berlaku dengan meluas di kalangan pensyarah muda. Mereka berasa diri mereka belum 'pakar' dalam bidang akademik, oleh itu tidak berupaya hendak menulis buku akademik. Bagi pensyarah muda di fakulti sains dan teknologi, mereka tidak yakin buku dalam bidang mereka itu dapat diterbitkan oleh mana-mana penerbit, termasuk penerbit universiti di mana mereka bertugas.
Situasi ini merugikan semua pihak:
(1) Pertama, pensyarah-pensyarah muda itu tidak menulis apa-apa buku.
Ini adalah pembaziran modal insan. Padahal, sebagai contoh, banyak pensyarah di fakulti sains dan teknologi mempunyai bakat menulis buku-buku umum dan karya kreatif. Tetapi mereka takut hendak menulis buku umum dan karya kreatif. Akibatnya, buku akademik mereka tidak tulis, buku-buku lain pun mereka tidak tulis.
Akibatnya lagi, jiwa mereka berasa kosong dan selalu resah gelisah kerana mereka tidak mempunyai apa-apa pencapaian peribadi yang dapat dibanggakan. Dalam bidang akademik mereka belum ada nama, dalam bidang lain pun mereka tidak ada nama.
(2) Kedua, para penerbit tidak mendapat buku yang ditulis oleh penulis berpendidikan tinggi.
Kita amat mahukan buku-buku cerita yang ditulis oleh pemegang ijazah dalam bidang-bidang sains dan teknologi, supaya dalam cerita itu dapat diselitkan maklumat sains dan teknologi, bagi tujuan memandaikan bangsa. Buku jenis ini lebih penting bagi golongan remaja supaya mereka dapat belajar perkara-perkara baru sambil membaca buku cerita. Mudah-mudahan selepas membacanya, ia mencetuskan minat mereka memasuki bidang itu.
(3) Pembaca buku Melayu tidak dapat membaca lebih banyak buku berkualiti tinggi.
Pembaca buku Melayu sudah semakin pandai, semakin berpelajaran, semakin tinggi citarasanya. Tetapi buku-buku Melayu masih pada takuk lama, kata mereka. Kita perlukan penulis yang semakin tinggi ijazahnya, semakin banyak pengetahuannya, bagi memenuhi kehendak pembaca ang semakin sofistikated. Manakan boleh keadaan terus-terusan begini... pembaca lebih pandai daripada penulis!
Dengan warkah ini, saya menyarankan supaya kita galakkan kakitangan akademik menulis SEMUA jenis buku. Dengan demikian tenaga pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi turut berjasa memandaikan bangsa yang berada di luar pagar kampus.
Tidak mengapalah mereka belum berupaya menulis buku-buku akademik. Sekurang-kurangnya mereka menulis untuk memandaikan bangsa yang tidak berpeluang masuk universiti.
Kalau dengan menulis buku-buku non-akademik itu mereka belum layak naik pangkat, sekurang-kurangnya mereka menikmati wang royalti dan menikmati kepuasan berjaya menerbitkan karya mereka di persada bangsa.
Mohon pandangan saya ini dapat apalah kiranya Prof pertimbangkan kerana saat ini Prof sudah duduk di atas sebuah kerusi yang kuat pengaruhnya.
AINON MOHD. (Chairman Kumpulan Syarikat-syarikat PTS)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

UiTM Johor Kampus Segamat
85200 Jementah
Segamat, Johor
Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Puan Pengerusi a.k.a SifuPTS,
Saya mohon Allah berikan kerahmatan, keselamatan, taufik-hidayahNya kepada Puan sekeluarga dan staf PTS. Moga-moga Allah memudahkan usaha-usaha puan untuk memandaikan bangsa.
Saya berterima kasih atas tulisan puan. Izinkan saya berkongsi pengalaman sendiri selama hampir 20 tahun berkhidmat di UiTM.
1. Perasaan takut untuk menulis bukan kepakaran bidang. Memang benar, ada di antara rakan sejawat, ketua jabatan hatta Dekan yang tidak memandang langsung karya-karya luar bidang. Bukan setakat itu sahaja, ia mungkin diperleceh pula. Saya mengalami peristiwa yang sama. Dalam satu temuduga kenaikan pangkat, seorang panel bertanya: Tulisan you yang beratus-ratus di Utusan Sarawak tidak boleh dinilai, ia tidak relevan dan tidak menggambarkan kepakaran bidang. Lalu dengan tersenyum saya menjawab: Tidak mengapa, cuma saya ingin nyatakan bahawa saya dijemput untuk menulis di Utusan Sarawak ketika pejuang-pejuang bangsa mahu mewujudkan satu akhbar Melayu di bumi Kenyalang. Tidak ada cendiakawan Melayu terutamanya pensyarah universiti yang sanggup menghinakan diri turun membantu. Saya fikir saya berdiri di atas kemuliaan mereka yang menulis di dalam kepakaran bidang. Kedua, saya menulis hampir 10 artikel sebulan dalam pelbagai bidang. Tidakkah tuan terkesan betapa tuan mempunyai seorang staf yang berbakat besar, multidisiplin, berdisiplin dan mempunyai pengetahuan yang tidak terkepung dalam lingkaran yang sempit?
Masa telah beredar, khas untuk pensyarah-pensyarah muda, penulisan dalam bukan kepakaran bidang juga mempunyai segmen penting dalam proses kenaikan pangkat di UiTM. Dan inilah yang sedang saya usahakan di UiTM Johor. Mereka perlu belajar KJ Method untuk mampu menulis penulisan bidang, kreatif dan apa-apa yang mereka minati serentak.
2. Penulisan Kreatif atau bukan bidang sangat membantu.
Saya sangat-sangat menggalakkan pensyarah saya menulis dalam pelbagai bidang kerana ia bakal membantu mereka menulis bahan-bahan akademik dengan cara yang lebih mesra pembaca. Di sekitar 1993-1996, saya gemar menulis di Berita Harian. Siapa sangka topik-topik seperti Politik dalam Perakaunan, Perakaunan Alam Sekitar, Perakaunan Islam diterimaa dan diterbitkan di bawah ruangan editorial.
Puan jangan risau. Perjuangan saya senada dengan puan, apatah lagi saya sendiri telah melalui saat-saat sukar dengan minat dan keinginan lampau yang tidak dilihat penting oleh warga Universiti.
Akhirnya, siapa yang tersenyum dan ketawa?
Muhd Kamil Ibrahim
Assalamualaikum.
Seorang sahabat mengundang saya untuk menelusuri laman web ini. Hati saya cukup tersentuh membaca ‘nota kuliah’ puan berkenaan pensyarah muda yang seharusnya berani menulis karya-karya yang bukan dalam bidang mereka.Inilah hakikat yang berlaku di depan mata saya. Sememangnya saya cukup suka menulis, tidak kira temanya adalah berpaksikan bidang dan kemahiran ikhtisas saya ataupun bertunjangkan bidang lain yang menjadi minat dan keseronokan untuk berkarya. Banyak platform penulisan yang telah saya ceburi, dan alhamdulillah ada kalanya karya saya diterima untuk dikongsi bersama jutaan rakyat malaysia pada waktu-waktu tertentu.
Pada hemat saya, kalau tentera berkhidmat kepada bangsa dan negara dengan mengangkat senjata di medan perang, maka begitu jugalah perjuangan yang tulus suci dilaksanakan oleh penulis-penulis yang menggunakan pena berjuang memberi ilmu dan pengetahuan kepada anak-anak bangsa. Ironinya,minat saya dan juga sesetengah penulis muda yang lain untuk menulis secara aktif ini ada kalanya dibunuh secara kejam oleh sesetengah ‘pak guru’ atau ‘jerung besar’ yang memandang rendah akan kebolehan kami kerana kami ini adalah hanya ‘ikan-ikan bilis’ dalam dunia penulisan. Bayangkan apa perasaan seseorang yang baru mahu berjinak-jinak berkarya dan menerbitkan buku, tiba-tiba disangkal akan kualiti buku tersebut hanya kerana pengarangnya atau editornya adalah seorang ‘ikan bilis’? Lebih memeranjatkan lagi tatkala jawatankuasa ‘jerung-jerung besar’ yang telah menerbitkan berpuluh-puluh buku mencadangkan agar nama salah seorang jerung ini dimasukkan sekali sebagai pengarang atau editor bersama dengan ‘si ikan bilis’ ini demi meningkatkan kualiti (kononnya) dan menarik minat pembaca-pembaca untuk membeli buku tersebut. Ini yang dikatakan sebagai lembu punya susu, sapi senang-senang menjaja nama!
Apakah ertinya semua ini? Mengapa perlu ada mentaliti bahawa buku ‘ikan bilis’ tidak ada upaya pergi jauh, sejauh hebatnya buku ‘si jerung besar’? Mengapa tidak ‘si ikan bilis’ ini dipimpin sebaiknya untuk bertatih, berjalan dan mampu berdikari dalam dunia penulisan? Pada saya, salah satu sebabnya kerana kebanyakan penulis-penulis muda terutamanya di IPT tidak diberikan kepercayaan, peluang dan platform sewajarnya untuk menulis. Kedua, sikap tamak sesetengah ‘jerung besar’ yang mahu menempelkan nama mereka sebanyaknya dalam mana-mana karya penulisan ‘si ikan bilis’. Walhal mereka sekadar menjadi parasit atau ‘sleeping partner’ yang mahu mengumpul sebanyak mungkin bilangan buku yang berjaya diterbitkan untuk ditonjolkan dalam Borang Penilaian Tahunan, dan seterusnya berupaya mendapat kenaikan gaji atau pangkat.Tak rasa bersalahkah? Tak malukah?
‘Penulis Ikan Bilis’
Melbourne, Australia
Hmmm…kalau nak ‘ambil kira’ semua orang cakap sudahnya kita tidak akan ke mana-mana. Hidup ini penuh dengan risiko samada kita berani atau tidak untuk menempuh risiko-risiko tersebut, itu lah yang perlu ditanya pada diri. Dan satu lagi perlu juga kita ingat bahawa tidak mungkin kita dapat puaskan hati semua orang dan tidak mungkin semua orang suka pada kita. Sedangkan Rasullullah sendiripun diuji dengan pelbagai karenah manusia inikan pula kita sebagai insan biasa.
Jika kita rasa apa yang kita buat itu tidak menyalahi hukum dan tidak merosakkan diri sendiri dan menganiaya orang lain, buat saja lah. Yang penting nawaitu kita, itu yang harus dijaga..ikhlas semata-mata kerana Allah swt.
Membaca buku akademik amat membosankan kerana ‘kering’. saya setuju dengan saranan Puan Ainon dalam penceritaan boleh diselitkan bahan akademik. Pelajar lagi seronok dan mudah faham.
Kepada para pensyarah muda..tidak perlu rasa rendah diri atau takut orang kata itu dan ini. Selamanya kita tidak akan dapat mengawal mulut orang biarlah mereka kata apa yang hendak mereka kata, bila penat nanti diamlah mereka.
Saya setuju dengan pendapat Yatie. Selagi bernama manusia, prejudis selalu ada di dalam jiwa, tak kira yang ‘educated’ atau yang sekolah menengah saja. Cara yang terbaik ialah ‘Just Do It’ (Buat sajalah). Insya Allah, ada hasilnya nanti.
Post a comment