Tip Bahasa Sastera: Dialog Lemah, Dialog Kuat
Kelmarin saya mengambil masa panjang berbincang dengan Tn. Zaki Zainol, editor di anak syarikat PTS Fortuna Sdn. Bhd. berkenaan isu bagaimana PTS dapat menjadi penerbit karya sastera No. 1 di Malaysia.
Isu ini berbangkit kerana PTS mahu menjadi penerbit karya sastera No. 1 di negara ini. Isu ini penting kerana jika PTS mahu meningkatkan daya-survivalnya, PTS tidak boleh menerbitkan novel-novel popular sahaja kerana hayat pasaran novel popular tidak panjang.
Para penulis novel popular sentiasa datang-dan-pergi. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu 'raja' novel popular adalah Ahadiat Akashah, kemudian beliau hilang apabila tempat beliau diambil alih oleh 'ratu' novel cinta Norhayati Berahim. Kini nama Norhayati Berahim pula hilang, apabila tempat beliau diambil alih oleh Hlovate.
Fenomena bagaimana raja-raja dan ratu-ratu novel pop datang-dan-pergi dalam pasaran yang seperti itu berbeza dengan situasi pasaran novel dan penulis novel sastera yang evergreen.
Ada suatu perkara yang ditimbulkan oleh Tn. Zaki Zainol berkenaan salah satu unsur yang ketara dalam novel-novel popular yang beliau tangani. Beliau perasan bahawa dalam novel-novel yang diterbitkan oleh PTS sendiri, ayat-ayat naratifnya lebih kuat daripada ayat-ayat dialognya.
Menurut beliau, manakala ayat naratifnya sudah mencapai mutu sastera tetapi ayat-ayat dialognya lemah, yakni tidak bermutu dialog sastera, sebaliknya cuma merupakan ayat percakapan biasa-biasa. Ini menyebabkan novel-novel itu tidak mencapai mutu novel sastera.
Dalam novel-novel terbitan PTS sekalipun, apa yang lazimnya disebut ayat 'dialog' adalah sebenarnya ayat watak-watak itu 'bercakap-cakap' sahaja sesama watak.
Ayat-ayat yang diucapkan oleh watak-watak dalam novel-novel itu serupa dengan ayat-ayat yang diucapkan oleh watak-watak dalam drama-drama TV Melayu.
Tn. Zaki Zainol menyimpulkan, faktor yang menjadikan sesebuah novel itu bertaraf novel popular, yakni gagal mencapai mutu novel sastera, adalah disebabkan mutu dialognya lemah disebabkan watak-wataknya hanya 'bercakap-cakap'. Mereka tidak 'berdialog'.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum,
Saya pernah berbincang dengan Puan Ainon berkaitan dengan kekuatan ‘dialog’ dalam novel. Beliau berkata, jika naratif sahaja yang kuat, ianya tidak menimbulkan kesan yang dalam pada diri pembaca. Manakala jika ‘dialog’ dalam novel itu kuat dan hebat, kata-kata yang dibaca oleh pembaca dalam satu-satu novel itu akan terngiang-ngiang di telinganya walaupun hakikatnya pembaca tidak mendengar ‘dialog’ itu diucapkan.
Mahu sampai ke peringkat terngiang-ngiang itu, pasti ada rahsianya. Sekiranya tidak keberatan, mohon Puan Ainon berikan petua dan takniknya.
Saya terkesan membaca karya-karya Pramoedya Anantra Toer. Walaupun banyak naskah beliau pendek-pendek seperti Perburuan (cuma 4 bab sahaj!) dan dialognya ringkas, namun nilai sasteranya tinggi.
Semoga Pts akan melahirkan sasterawan sebaik Pram atau lebih baik dari itu.
tahniah PTS atas usaha menjadikan industri novel ‘Melayu’ lebih bermakna. oleh kerana semasa saya di peringkat akhir remaja dahulu kurang novel islamik kompeten dan yang bermakna, maka sudah beberapa tahunlah saya tidak membaca novel ‘Melayu’. bukan menidakkan bakat, tetapi mungkin juga kerana novel itu hanya berdialog, selain sudah terdapat unsur-unsur yang tidak selaras dengan syariat. hanya membuai perasaan.
Hmm… Perspektif dan info yang menarik…
Ps. Masih perlu banyak belajar dan tunjuk ajar
Post a comment