Susah Senang Menjadi Penerbit Bebas-Rasuah
PTS tawakal dengan dasar perniagaannya yang bebas-rasuah.
Bagi saudara yang baru hendak terjun ke dalam dunia bisnes buku dengan menjadi penerbit, barangkali saudara mahu tahu apakah senang-susahnya menjalankan perniagaan bebas-rasuah.
Jika saudara sudah berniaga pula, dan dalam menjalankan perniagaan sebelum ini, saudara sudah terjebak dalam amalan rasuah, barangkali saudara mahu tahu kelebihannya berniaga bebas-rasuah.
Berikut adalah beberapa maklumat berkenaan pengalaman PTS yang mengamalkan bisnes bebas-rasuah:
(1) PTS tidak dapat kontrak.
Disebabkan PTS tidak mahu terlibat dengan rasuah, PTS tidak masuk sebarang tender kerajaan. Ini menyebabkan PTS tidak pernah menerima kontrak membekalkan buku-bukunya sendiri kepada kerajaan. Ini bermakna, keuntungan PTS jatuh.
(2) PTS bergantung kepada kontraktor-kontraktor buku.
Jika kontraktor mahu memasukkan judul-judul PTS dalam borang submission tender, maka baru ada kemungkinan judul-judul PTS dipilih, jika tidak, maka tidaklah. Dan, apabila buku PTS diterima oleh kerajaan, PTS terpaksa menjual buku-bukunya kepada kontraktor dengan memberi diskaun yang tinggi.
(3) PTS terpaksa main-kedai 100%
Disebabkan PTS tidak main-kontrak, ini bermakna PTS terpaksa hidup tanpa kontrak sama sekali. Ini bermakna PTS mencari makan dengan jalan menjual buku-buku terbitannya di kedai-kedai buku. Berniaga cara begini amat tinggi risiko gagal. Jika kedai-kedai buku tidak mahu bayar hutang, habislah!
(4) PTS belajar survive sendiri.
Tanpa kontrak, akibatnya PTS terpaksa main-kedai, dan ini memaksa semua staf PTS mempunyai mindset jual-buku-dalam kedai. Mereka fikir kedai, kedai, kedai... Hasilnya mereka mempunyai kepakaran bagaimana menerbitkan buku-buku Melayu yang laku dijual di kedai-kedai buku.
(5) Akibatnya... PTS tidak takut parti mana naik, parti mana turun, ataupun menteri mana naik, dan menteri mana turun. Disebabkan PTS tidak bergantung kepada kontrak kerajaan, maka Chairman PTS tidak perlu menyembah-nyembah menteri demi meminta kontrak!
Nota: Sebagai bisnesman, Nabi Muhammad tidak pernah main-kontrak. Beliau turun ke pasar dan berniaga dalam pasaran terbuka.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan dan semua warga PTS,
Setinggi-tinggi tahniah kepada Puan Ainon di atas pendedahan demi pendedahan yang dibuat dalam entri-entri yang terdahulu yang mengisahkan mengenai perlakuan kontraktor-kontraktor dan pegawai-pegawai yang menguruskan pembelian buku teks untuk kegunaan sekolah-sekolah.
Nah! Kebenaran yang puan dedahkan telah terbukti melalui kesan buruknya yang menimpa anak-anak kita di sekolah.
Lihat di sini
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/BeritaUtama/20071111225138/Article/index_html
Laporan Khas: Banyak fakta dalam buku teks tidak relevan
KUALA LUMPUR: Kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula.
Beberapa tokoh ilmuwan termasuk ahli Panel Penilai Buku Teks, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran memenuhi hasrat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang.
Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata, penelitiannya terhadap buku teks digunakan di sekolah menengah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.
Selain itu, katanya, gaya penulisan dalam buku teks sejarah sekolah menengah juga boleh dianggap mengecewakan kerana ia gagal menerangkan secara jelas sesuatu peristiwa secara terperinci.
Beliau memberi contoh kesilapan fakta dalam buku teks sejarah Tingkatan Dua yang antara lain menceritakan mengenai peristiwa perjanjian Inggeris-Kedah membabitkan Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786.
Sejarah menunjukkan tiada sebarang persefahaman atau perjanjian ditandatangani berhubung perkara itu kerana ia dibantah Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu, manakala pendudukan Francis Light di Pulau Pinang dibuat secara paksaan.
Selain itu, fakta yang menyatakan Negeri Selat hanya membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga tidak tepat kerana Dinding turut pernah dijadikan Negeri Selat sebelum diserahkan kepada kerajaan Perak pada 1936.
“Penerangan bagi setiap topik sejarah yang diketengahkan juga tidak jelas menyebabkan pelajar hanya mengetahui sesuatu peristiwa secara asas dan menghafal fakta tanpa diperkukuhkan dengan kefahaman menyeluruh rentetan sebenar peristiwa.
“Akibatnya, pelajar kurang minat subjek sejarah dan apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi, pengetahuan mereka sangat cetek malah ada yang gagal mengingati apa yang diajar di sekolah,” katanya dalam satu pertemuan kepada Berita Harian, di sini.
Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata buku teks subjek berkenaan yang digunakan sekarang, ditulis pada pertengahan 2000 dan dicetak pada 2002.
Justeru, banyak isu yang dimasukkan sudah kurang atau mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa terutama jika dinilai dalam konteks usaha menjayakan aspirasi negara membangunkan modal insan cemerlang.
Beliau memberi contoh, perbincangan mengenai isu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang sangat sesuai ketika itu tetapi ia sudah menjadi satu topik basi kerana negara kini bergerak ke satu tahap baru seperti pengenalan agropolitan dan projek luar bandar.
“Sewajarnya, buku teks sebagai bahan utama penambah nilai di peringkat sekolah menerapkan perkara ini supaya masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja sedar mengenai pelbagai peluang yang ada di kawasan luar bandar,” katanya.
Pendapat itu turut disokong Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia tingkatan satu, Profesor Madya Dr Ahmad Mahmood Musanif yang berpendapat Bahagian Buku Teks, unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu sama-sama terbabit menyediakan buku teks.
Katanya, punca utama guru tidak gemar menggunakan buku teks ialah kerana soalan peperiksaan yang disediakan tidak menjurus kepada bahan dalam buku teks, sedangkan mereka terpaksa memenuhi kehendak pelbagai pihak untuk memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.
“Jika soalan yang disediakan diambil daripada bahan atau sukatan pelajaran seperti di buku teks, pasti guru akan memaksimumkan penggunaannya dan ia sekali gus tidak merugikan pelaburan kerajaan menerbitkan buku teks,” katanya.
Sementara itu, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan Selangor mendapati 62 peratus daripada mereka memilih untuk kurang atau tidak menggunakan buku teks jika ada pilihan lain.
Malah, kebanyakan guru terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun itu, menyifatkan buku teks sebagai bahan bantu mengajar yang tidak mengikut isu semasa serta kurang latihan dalam mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.
dan juga lihat di sini
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Rencana/20071111233920/Article/index_html
Pilih penulis di kalangan pakar, berpengalaman
KEBANYAKAN guru terutama yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berpendapat buku teks yang dibekalkan ke sekolah sebagai kurang membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Malah, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru sekitar Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan beberapa daerah di Selangor mendapati kebanyakan mereka memilih untuk tidak menggunakan buku teks sekiranya diberi pilihan lain.
Gambaran itu sekali gus menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan perlu dilihat semula oleh Kementerian Pelajaran terutama apabila kerajaan mengumumkan untuk membekalkan buku teks secara percuma kepada semua pelajar seluruh negara tanpa mengira latar belakang ekonomi dan pendapatan keluarga.
Soal selidik Berita Harian mengetengahkan beberapa persoalan untuk melihat sejauh mana kebenaran dakwaan sebahagian guru berkenaan buku teks dengan fokus kepada guru bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, matematik, sejarah dan sains di sekolah rendah dan menengah.
Hasil soal selidik itu mendapati 65 peratus daripada 170 guru mengkelaskan buku teks sebagai kurang dan tidak membantu dalam memudahkan proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Malah, 56 peratus daripada mereka memberi alasan terpaksa menggunakan buku teks lantaran tiada pilihan lain selain terpaksa akur arahan kementerian yang mengkehendaki setiap topik dalam buku teks perlu dihabiskan sebelum akhir sesi persekolahan.
Selain itu, 62 peratus daripada mereka juga berpendapat kurang atau tidak menggunakan buku teks sekiranya ada pilihan lain.
Merujuk kepada kesesuaian buku teks bagi semua peringkat pelajar, 70 peratus daripada mereka tidak bersetuju buku teks adalah bahan yang sesuai untuk semua peringkat pelajar, malah jauh tidak sesuai bagi pelajar luar bandar dan murid lemah.
Guru bahasa Malaysia dari SK Tanjung Tokong, Pulau Pinang, Norhasmiza Md Noor, berkata buku teks yang dibekalkan ke sekolah terlalu tinggi arasnya untuk kegunaan pelajar lemah terutama pelajar dalam tahap satu sekolah rendah.
Beliau berkata, guru terpaksa memberi jawapan untuk setiap soalan dalam buku teks dan meminta murid menyalin sepenuhnya jawapan itu kerana sekiranya murid diminta menjawab sendiri, pastinya murid tidak mampu menjawabnya.
Guru Bahasa Malaysia dari SJK (C) Hun Bin, Pulau Pinang, pula berpendapat buku teks yang dihasilkan tidak seiring dengan kehendak sistem pendidikan negara yang jelas berorientasikan peperiksaan.
Katanya, guru terpaksa mencari bahan lain atau meminta pelajar membeli buku tambahan bagi memudahkan guru menyiapkan pelajarnya dengan kemahiran menjawab soalan peperiksaan, walaupun hakikatnya kementerian tidak menggalakkan penggunaan buku luar.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata penghasilan buku teks sewajarnya perlu sesuai dengan semua peringkat pelajar tidak kira sama ada kelompok pelajar bandar atau di pedalaman.
Namun, katanya, apa yang berlaku kini, buku teks hanya sesuai untuk kelompok pertengahan dan langsung tidak sesuai bagi kelompok pelajar elit kerana bahannya tidak sesuai malah langsung tidak sesuai bagi kawasan pedalaman kerana bahannya pula dirasakan terlalu tinggi arasnya.
Beliau berkata, guru dibebani dengan kehendak ibu bapa yang mahu melihat anak mereka cemerlang dalam peperiksaan menyebabkan kebanyakan guru terpaksa mengambil jalan pintas menggunakan lebih banyak buku latihan luar berbanding buku teks yang terlalu berselirat dengan kemahiran sepanjang hayat.
“Justeru, suka atau tidak, arahan atau larangan, guru tetap akan menggunakan pelbagai bahan lain termasuk meminta pelajar membeli buku kerja luar bagi memastikan murid menerima latihan yang secukupnya menghadapi peperiksaan.
“Satu kajian segera perlu dibuat bagi melihat kembali isi dalam buku teks supaya sekurang-kurangnya selari dengan kehendak pendidikan dan matlamat pendidikan di sekolah serta dapat menyediakan pelajar dengan latihan secukupnya berkenaan kemahiran yang mahu diajar,” katanya.
Beliau berkata, apa yang mendukacitakan ialah penulis buku teks bukan dipilih di kalangan guru pakar dan berpengalaman tetapi dipertanggungjawabkan kepada Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) semata-mata.
Katanya, kelemahan ketara dalam buku teks adalah bahannya yang terlalu bersifat umum sehingga memaksa guru berfikir panjang serta memakan masa lama untuk membolehkan pelajar menguasai sesuatu kemahiran.
“Justeru, saya sendiri lebih gemar menggunakan bahan daripada surat khabar ketika mengajar terutama membabitkan subjek Bahasa Malaysia kerana bahannya lebih tepat, fokus dan sentiasa mengikut peredaran zaman,” katanya.
“Apa yang saya perhatikan, penulis buku teks dan penghasilan buku teks itu sendiri lebih bersifat ‘syok sendiri’ sehingga mengenepikan keperluan dan kehendak guru ketika mengajar. Reformasi dalam sistem pendidikan perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan berbilion ringgit wang kerajaan untuk membekalkan buku teks kepada pelajar tetapi kurang digunakan,” katanya.
serta di sini
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Rencana/20071112061439/Article/index_html
Guru, kementerian kena bincang usaha pertingkat kualiti bahan
BUKU teks perlu sentiasa dikemas kini supaya sesuai dengan perkembangan isu semasa serta menepati fakta supaya pelajar tidak menerima maklumat yang salah selama belajar pada peringkat sekolah.
Malah, guru sebagai teraju utama yang menggunakan buku teks dalam pengajaran setiap hari sewajarnya lebih pakar dalam mengenal pasti sebarang kesilapan atau kepincangan yang perlu diperbaiki demi kepentingan pelajar di negara ini.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Aminah Ayob, berkata guru di negara ini terlalu patuh pada arahan dan menerima apa saja yang disajikan kepada mereka bulat-bulat tetapi apabila berasakan ia kurang sesuai, guru akan mengambil sikap mengabaikan apa yang sudah diberi.
Beliau berkata, merujuk kepada isu buku teks yang didakwa kebanyakan guru sebagai tidak membantu dalam meningkatkan kefahaman murid, selama ini guru hanya menerima saja arahan menggunakan buku teks, tetapi kebanyakannya tidak menggunakan buku teks secara optimum apabila berasakan bahannya kurang mantap dan berkesan.
“Sewajarnya guru yang dipertanggungjawab menggunakan bahan terbabit menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati serta memberi pandangan untuk meningkatkan kualiti bahan itu manakala kementerian pula perlu mengambil berat semua pandangan guru.
Apa yang saya perhatikan ketika melakukan pemantauan ke atas beberapa buku teks sebelum ini, boleh dikatakan bahannya terlalu biasa, malah tidak mampu menyaingi kualiti bahan latihan yang disediakan oleh buku lain yang berlambak dijual di pasaran.
“Malah, kualiti buku teks itu sendiri sangat lemah dan faktanya sangat cetek serta ketinggalan zaman. Ia nyata sekali kurang berguna kerana tidak memberi kesan untuk mendatangkan impak dalam mengukuhkan kefahaman pelajar,” katanya.
Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit malah mungkin berbilion ringgit bagi membekalkan buku teks kepada pelajar. Perbelanjaan itu akan lebih tinggi tahun depan apabila kerajaan menjanjikan buku teks percuma kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan keluarga.
“Jika guru tidak menggunakan buku teks secara optimum, ia pastinya sesuatu yang amat merugikan dan menjadi pembaziran wang rakyat yang sangat besar. Justeru, kementerian perlu memandang serius perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, tokoh akademik dan sejarah, Profesor Datuk Dr Khoo Kay Kim, pula berkata jika diperhalusi setiap bahagian dalam buku teks terutama subjek sejarah, akan didapati terlalu banyak fakta yang kurang tepat serta tidak diperjelaskan secara terperinci kepada pelajar.
Katanya, sebagai contoh, kebanyakan masyarakat terus beranggapan negara ini dijajah selama 446 tahun sebelum mencapai kemerdekaan pada 1957 sedangkan hakikatnya Tanah Melayu hanya dijajah pada zaman pendudukan Jepun dan ketika zaman Malayan Union.
“Realiti yang tidak disedari masyarakat itu berlaku kerana mereka sudah menerima pelbagai maklumat yang kurang tepat sejak zaman persekolahan malah boleh dikatakan pelajar hanya menghafal fakta tetapi tidak memahami peristiwa.
“Justeru, apabila memasuki universiti didapati kebanyakan pelajar terlalu cetek kefahaman mengenai sejarah malah ada yang tidak ingat langsung apa yang dipelajari kerana selama ini mereka hanya menghafal.
“Contohnya, adakah buku teks menjelaskan secara terperinci apa itu feudal dan imperialis malah penerangan mengenai komunisme juga dibuat secara ringkas,” katanya.
Dr Khoo berkata, adalah menjadi kewajipan kementerian memastikan buku teks yang dihasilkan menepati kehendak pendidikan dan mampu membantu memudahkan guru menyampaikan pengajaran, bukan menyusahkan mereka sehingga terpaksa bergelut memberi kefahaman kepada pelajar.
Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata punca utama guru enggan menggunakan buku teks kerana latihannya tidak selari dengan kehendak dalam soalan peperiksaan.
Beliau berkata, bahan yang digunakan juga ketinggalan zaman kerana buku teks yang digunakan kini ditulis pada pertengahan 2000 menyebabkan banyak isunya kurang relevan dengan perkembangan semasa.
“Contohnya, negara kini sudah melangkah setapak lebih maju dalam mengangkat industri pertanian sebagai sektor utama negara melalui pelbagai projek agropolitan, tetapi buku teks masih membincangkan isu teknologi maklumat dan komunikasi yang hanya popular pada ketika ia ditulis.
“Latihan dalam buku teks terlalu umum dan kurang memfokuskan peperiksaan seperti yang dibekalkan buku kerja lain. Sewajarnya buku teks turut menyelitkan analisis peperiksaan untuk lebih menggalakkan penggunaannya.
“Jika Bahagian Buku Teks, Unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan dapat menyelaraskan perkara ini dan mengambil bahan daripada buku teks untuk peperiksaan, pastinya buku teks akan menjadi aset paling penting di sekolah,” katanya.
Kebenaran itu telah terbukti jua akhirnya. Agaknya ada pihak yang telah membaca entri puan dan ketengahkan perkara ini. Mungkin itulah hasil tulisan dan terbitan penerbit ‘Cap Ayam’ yang Puan maksudkan.
Semua article ini disiarkan oleh Berita Harian 12-11-2007 Isnin
Marilah kita bersama-sama dengan puan Ainon berjuang untuk terus memandaikan bangsa kita sendiri.
Wassalam.
Sifu,
Besar manfaatnya entri-entri sifu tentang rasuah dan perniagaan. Termasuklah isu kontrak. Walaupun saya bukan terlibat dalam perniagaan penerbitan tetapi saya dapat mempelajarinya secara langsung tentang etika perniagaan dan realiti perniagaan di Malaysia yang banyak dikuasai oleh pemimpin dan menteri yang hidup atas rasuah.
Sykukurlah setakat ini tidak terlibat dengan urus niaga ala perundingan terus(kata-kata menteri kabinet).
Semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Kuantan pun amalkan cara ini sebenarnya. Namun biarlah kita terus dengan cara ini.
Sifu,
Entri-entri sebegini bukan saja menjadi pengetahuan. Malahan satu motivasi buat saya kerana saya mengetahui masih ada insan yang berpegang kepada landasanNya.Ini menjadikan saya tidak keseorangan.
Terima kasih Sifu dan rakan-rakan yang lain!
Sdr Zakir,
Walaupun saya belum berkahwin (2 November yang lalu genap 29 tahun)tetapi saya juga prihatin dengan isu pendidikan sekarang.
Seronok membaca pandangan dan maklumat yang saudara kongsikan di sini.
BERSIH SEGALA-GALANYA
Apa kata pts terbit buku tentang kekejian rasuah.
Tahniah Sifu..Bangga sangat dengan Sifu..Mengamalkan sunnah dari teori kepada praktikal, inilah yang benar menurut Dr Yusof Qaradawi..bukan asyik berteori sahaja!
BERSIH hati, BERSIH syarikat daripada rasuah ! BERSIH negara daripada perompak harta rakyat!
Mulakan dari BERSIH…Itulah formula PTS..
Gud luc PTS!
BERSIH SEGALA-GALANYA.
Puan Ainon,
Penerbit ‘Cap Ayam’ yang dapat masuk ke gelanggang Kementerian, mereka menguasai saingan di sana lalu mereka berkokok umpama “Ayam Jantan Yang Berkokok Berderai-derai Tetapi ......................”
Dot…dot… itulah hasil terbitan dan bekalan buku yang tidak bermutu.
Assalamualaikum,
Info yang amat menarik untuk direnung dan diamalkan. Teruskan perjuangan PTS!
Post a comment