Surat Pilihan: Penerbit Curi Hakcipta
Assalamualaikum Sifu,
Baru-baru ini sebuah syarikat penerbitan, Syarikat KK, yang mana saya telah menjadi penulis panel untuk salah sebuah majalahnya memaklumkan hasrat mereka untuk membukukan koleksi-koleksi artikel saya itu. Katanya, buku itu akan diterbitkan oleh sebuah anak syarikatnya iaitu BP. Dia meminta persetujuan dari saya. Tetapi katanya, saya tidak akan menerima sebarang royalti daripada jualan buku ini kerana setiap artikel telah dibayar oleh itu hakcipta kini adalah milik mereka.
Soalan saya: Adakah betul apa yang mereka katakan tentang isu hakcipta itu? Sebab saya tidak pernah menandatangani sebarang kontrak.
Apakah betul cara mereka menerbitkan buku itu dan saya tidak menerima sebarang royalti? Sebenarnya saya tidak pernah memikirkan soal royalti ini, cuma rasa macam pelik pula apabila hasil perahan otak kita diniagakan dengan begitu mudah.
TENGKU ASMADI
...................................
Respons Sifu:
Tuan Dr. Tengku Asmadi,
Apa yang dilakukan oleh penerbit itu adalah tidak beretika. Mereka melakukan jenayah mencuri harta intelek Tuan dan memperdagangkan harta curian itu.
Tuan boleh buat laporan polis. Fotokopi laporan itu dan kirimkan kepada pengarah urusan syarikat tersebut, dengan amaran, jika mereka masih mahu menerbitkan artikel-artikel tuan itu tanpa izin Tuan, maka Tuan akan meminta pihak polis mengambil tindakan atas laporan yang sudah dibuat itu.
Nota: Tindakan membuat laporan polis dan menulis surat ancaman itu patut dilakukan apabila pada perkiraan Tuan, hubungan bisnes dengan syarikat itu sudah tidak berharga lagi.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum wbt,
Puan Ainon dan Dr Tengku Asmadi,
Saya pun menghadapi perkara yang hampir sama. Bezanya ialah, mereka tidak menghubungi saya pun. Tau-tau, himpunan artikel saya yang terbit seminggu sekali itu dibukukan dengan begitu comel sekali (tetapi menyakitkan hati!).
Setakat ini tidak terfikir untuk mengambil apa-apa tindakan.
Terima kasih
http://www.FadzliYusof.com
Tuan-tuan yang budiman,
Seperti kata Puan Ainon, ini ialah suatu jenayah. Mengapa kita haruskan jenayah begini berleluasa. Undang-undang hak cipta di Malaysia tidak berkembang juga kerana ramai penulis yang ada peluang tetapi tidak mengambil tindakan. Buat masa ini, usah fikirkan bahawa ‘tak mengapalah, kerana mereka sudah bayar artikel saya’ ataupun ‘ini tidak terlalu menjejaskan saya’ - tetapi fikirkanlah masa depan penulis lain ataupun calon penulis yang bakal diperkotak-katikkan syarikat-syarikat besar ini semata-mata kerana mereka punya wang dan kuasa.
Tiada dalam undang-undang hak cipta yang membenarkan sesiapa pun merampas hak pengarang sedemikian rupa dan dengan sesuka hati menerbitkan dalam bentuk lain tanpa izin pengarang.
Saya percaya mereka di syarikat penerbitan ini benar-benar buta hak cipta ataupun membutakan matanya (buat-buat tak faham) demi mengaut untung tanpa memberi sebarang kredit pun kepada pengarang.
Saya sungguh marah dengan sikap syarikat KK itu!
Ayuh Dr Tengku! Kita bertindak(dalam nada penuh keyakinan)...
Saya rasa, kita adalah mangsa syarikat yang sama
Fadzli Yusof
Saya rasa saya tahu syarikat mana…. Tuan Fadzli, mengikut rekod jualan majalah itu, tulisan tuan itu nilainya di hadapan 200, 000 pembaca setiap minggu sejak ia diterbitkan.. Haaa kalau dibukukan makanya…
Apa pun, rundingkan hingga dapat royaltinya… Hal ini saya kira tiga orang peguam saya tanyakan jawapannya sama, rasanya Tuan Fadzli peguam kelima… Jangan main-main isu hakcipta dengan peguam.
Puan Nisah, rasa hati Puan saya terkesan dengan ayat-ayat di atas. Ini betul-betul daripada hati.
Setuju jika Tuan Fadzli dan Dr sama-sama serentak ambil tindakan bersama.
Kepada Puan Sifu dan semua yang memberikan respon,
Terima kasih. Nasib baik saya tidak menandatangani surat yang diemelkan kepada saya yang memberikan mereka kuasa melakukan apa sahaja. Sudah sampai masanya golongan penulis dan intelek menjadi lebih bijak dan berani menangani isu hakcipta ini.
Saya akan hubungi Syarikat KK ini.
Saudara Fadzli sekarang berada dimana? Jom pekena teh tarik.
Wah,tahniah Dr Tengku!
Teh tarik? Kenapa tidak? 27/12 baru saya ada di KL. Beruzlah sekejap sempena Eidul Adha.
SALAM,
SAYA BARU TERINGAT NAK BERDAKWAH DAN MENYUMBANG MELALUI TULISAN. WALAUPUN KES DR TENGKU ASMADI DAN SAUDARA FAZLI MENGECILKAN SEDIKIT IMPIAN SAYA, NAMUN SAYA BERTEKAD AKAN CUBA MENULIS DAN KINI DALAM PROSES MENDISIPLINKAN DIRI SAYA UNTUK MENULIS ARTIKEL SEKALIGUS MENYIAPKAN THESIS SAYA. BAGAIMANAKAH CARA TULISAN SAYA BOLEH DITERBITKAN ?
Terima Kasih
Post a comment