Surat Pilihan: Bila Allah Menggunakan Panggilan ‘Nabi’
Assalamu’alaykum.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian hanya milik Allah azzawajalla yang telah memberi segala-gala yang tidak mungkin terhitung. Salawat dan salam buat Nabi Muhammad yang saya rindui, juga buat kaum keluarganya dan para sahabatnya. Doa kesejahteraan dan rahmat dari Allah buat para ulama’, para pejuang Islam dan juga Puan Sifu serta seluruh warga PTS yang mendokong cita-cita Islam.
Sejak pulang dari Bengkel Teori dan Teknik Surah Yusuf yang lalu saya telah mendapat motivasi gandaan untuk menyebarkan dakwah melalui penulisan. Terkejut juga saya membaca entri-entri berkenaan tanda ‘SAW’. Bagi saya, teruk juga Sifu kena ‘sembur’. Saya yakin Sifu tabah menghadapinya kerana matlamat Sifu jelas.
Sebaik sahaja menghadiri bengkel PTS dan mendengar hujah-hujah Sifu mengenai bahasa, saya menanamkan iltizam untuk bersama PTS.
Alhamdulillah, Allah ‘menjodohkan’ pula dengan PTS. Apabila Sifu menyentuh keperluan menyampaikan ilmu aqidah kepada kanak-kanak dan remaja, saya semakin kuat untuk menyatakan bahawa saya mahu melakukannya, saya mahu menulis mengenainya.
Untuk pengetahuan Sifu, saya menemui beberapa perkara, antaranya mengenai bagaimana Allah memanggil Nabi Muhammad. Sifu pun tahu banyaknya panggilan kepada Nabi Muhammad. Tetapi ada 13 atau 14 (saya terlupa) Allah memanggil Nabi Muhammad dengan panggilan pangkat, “Wahai Nabi.” Jadi, ertinya hanya dalam konteks tertentu sahaja Allah memanggil Nabi Muhammad dengan nama kebesaran baginda, manakala dalam konteks lain jawapannya telah Sifu sentuh dari kisah-kisah dalam entri.
Kerana itu pada saya, isu ‘SAW’ sengaja diperbesarkan oleh mereka-mereka yang tertentu. Sedangkan, jika ada iman di hati, jika ada rindu pada Nabi Muhammad, tanpa perlu dipaksa-paksa membaca ‘SAW’, apabila terdengar, membaca, mahupun melihat namanya, pasti ‘terpacul’ di bibir kita “Sallallahu‘alaihiwassallam.”
Moga-moga ada motivasi yang dapat dikongsikan bersama daripada ‘warkah’ saya ini walaupun hakikat yang sebenarnya saya merasa terlalu malu pada Sifu sebab puan adalah guru saya. Seperti tidak wajar anak murid ‘memberi motivasi’ kepada gurunya. Salah dan silap saya mohon ampun dari Allah dan mohon maaf dari Sifu.
IZWAN
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment