Monday, December 03, 2007

Strategi Bisnes: Penulis Duta Brand

Chairman PTS sedang berfikir....

Para penulis dapat berfungsi menjadi duta brand kepada penerbitnya. Itulah sebabnya semua penerbit mengidam-idamkan nama-nama besar sudi menerbitkan karyanya dengan mereka.

Itulah juga sebabnya penerbit mahu supaya banyak penulisnya menang anugerah dan hadiah itu-ini. Apabila penulis yang diharap akan menang tetapi tidak menang, maka sedihlah si penerbit. Anugerah dan hadiah berfungsi membesarkan nama-nama pengarang yang memenanginya. Majlis penyampaian anugerah dan hadiah itu pula mempunyai nilai media.

Lebih banyak nama besar yang karyanya diterbitkan oleh sesebuah penerbit, lebih banyak duta brand yang dimiliki oleh penerbit itu. 

Duta brand adalah pengarang yang dapat membuatkan imej penerbitnya bertambah cantik di mata masyarakat. Semakin banyak duta yang dimiliki oleh sesebuah penerbit, semakin wangi pula nama penerbit itu. 

Pengarang premium seperti ini amat berharga. Namanya besar, dan dia membesarkan nama penerbitnya. Dia juga membesarkan nama penulis-penulis lain dengan penerbit yang sama.

Apabila nama penerbit itu terkenal, cantik dan wangi, lebih banyak pengarang mahu menerbitkan karya mereka dengan penerbit itu.

Penulis-penulis lain dengan penerbit yang sama pun mendapat manfaat kerana orang ramai mempunyai persepsi positif bahawa sesiapa sahaja yang karyanya diterbitkan oleh penerbit itu tentulah juga nama besar. Dengan demikian kredibiliti semua penulis yang bernaung di bawah nama penerbit itu meningkat setakuk lebih tinggi.

Justeru pengarang yang bertaraf duta adalah pengarang yang dapat memperkenalkan brand penerbitnya ke mana-mana mereka pergi. Sebut sahaja nama "Pengarang X", orang pasti akan ingat  pada nama "Penerbit X".

Pengarang seperti inilah yang menjadi idaman penerbit, yang menjadi penulis emas yang akan ditatang oleh penerbitnya bagai menatang minyak yang penuh. Kerana dia umpama pohon yang besar, semua pihak mendapat manfaat daripada kehadirannya dalam rumah penerbitan itu.

Sebagai pengarang, jangan menggunakan lebih daripada 1 nama pena, sebab dengan menggunakan lebih daripada 1 nama pena hal itu tidak membantu membesarkan nama saudara sehingga proses menjadikan nama saudara suatu brand lebih sukar. 

Ini juga bermakna, sesebuah penerbit jangan sampai kehilangan pengarangnya. Pengarang yang sekarang "nama kecil" pun jangan sampai hilang kepada penerbit lain, kerana pada hari ini dia mungkin "nama kecil" tetapi besok lusa dia mungkin menjadi "nama besar" dan statusnya naik menjadi pengarang duta brand penerbit.

Nama-nama besar tidak semestinya berfungsi sebagai duta brand penerbitnya. Ada pengarang yang namanya sangat besar sehingga namanya sudah menjadi brand. Sebut nama "Pengarang Y", orang tahu judul karyanya yang besar-besar. Tetapi orang tidak mengaitkan nama "Pengarang Y" itu dengan mana-mana nama penerbit. 

Akibatnya, nama pengarang itu sahaja yang besar, manakala pihak-pihak lain tidak berpeluang menikmati manfaat daripada namanya yang besar itu. Bak kata orang Johor, orang lain tidak dapat tumpang tui....

Nota: Foto dari blog Firdaus Ariff dan blog Ahmad Fadzli Yusof

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Pemasaran Buku
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Surat Pilihan: Kerana Bertudung Menjadi Pakar Rujuk Previous entry: Surat Pilihan: Buku untuk Saudara Baru

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: