Friday, October 14, 2005

Razali Samad: “Cikgu Sharif”

“Apa kamu berdua buat di sini?” sergah Cikgu Sharif.


Kepala Hassan dan Hasnah terpaling ke kiri dan mata masing-masing memandang ke arah orang yang menyergah mereka.


“Ohh…. Cikgu!” Hassan dan Hasnah serentak bersuara.


“Sudah lama saya perhatikan kamu berdua,” sambung Cikgu Sharif. “Semasa rehat, kamu selalu menuju ke rimbunan pokok pisang di hujung padang ini,” kata Cikgu Sharif sambil memandang Hassan dan Hasnah. “Mengapa kamu berdua makan dicelah-celah pokok pisang ini?” tanya Cikgu Sharif. “Mengapa kamu berdua tidak makan di kantin?” tanya Cikgu Sharif lagi tanpa menunggu jawapan daripada Hassan dan Hasnah.


“Kami…. Kami…,” kata Hassan dan Hasnah serentak tanpa dirancang.


“Apa yang kamu makan?” Cikgu Sharif terus mendesak.


“Beri saya lihat,” tambah Cikgu Sharif sambil tangannya mencapai bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah.


“Jangan, cikgu! Nanti emak marah,” Hassan terus bersuara.


“Apa makanan yang kamu bungkus dalam daun pisang ini?” suara Cikgu Sharif terus meninggi.


“Jangan! Jangan!” jerit Hassan dan Hasnah serentak sambil tangan mereka menekap makanan berbungkus daun pisang.


“Alihkan tangan kamu,” arah Cikgu Sharif.


“Tolonglah, cikgu. Nanti emak saya marah,” suara Hassan terketar-ketar. Air matanya mula bergenangan.


“Kalau kamu berdua tidak benarkan saya tengok, saya bawa kamu berdua jumpa guru besar,” gertak Cikgu Sharif


Mendengar ugutan itu, tengan Hassan dan Hasnah terlerai daripada menekap bungkusan makanan daun pisang.


“Apa ini?” suara Cikgu Sharif agak terkejut apabila membuka bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah. “Ini makanan jenis apa?” Soal Cikgu Sharif.


“Em.. Emak bekalkan kami nasi putih sahaja, kemudian kami campurkan dengan minyak masak dan garam, cikgu,” kata Hassan.


Hasnah masih tunduk malu.


“Kamu makan makanan begini setiap harikah?” tanya Cikgu Sharif lagi.


“Itu sahaja yang emak kami mampu bekalkan,” Hasnah mula bersuara.


“Kami berdua makan jauh-jauh di celah pokok pisang ini kerana kami malu rakan-rakan kami nampak makanan yang kami bawa,” kata Hasnah sambil tersedu.


“Kami malu makan di kantin, sebab itu kami tidak pernah membeli makanan di kantin. Kami pun hanya meminum air paip di tandas,” sambung Hassan.


“Petang ini cikgu akan ke rumah kamu, beritahu ibu bapa kamu,” pesan Cikgu Sharif.


“Jangan, cikgu. Cikgu jangan datang ke rumah saya, nanti ayah saya marah dan akan memukul saya,” kata Hassan sambil menangis.


“Ayah saya berpesan, saya tidak boleh meminta pertolongan orang lain walaupun kami sangat susah,” sambung Hassan.


“Kamu berdua jangan risau, nanti cikgu uruskannya,” tegas Cikgu Sharif.


Petang itu Cikgu Sharif ke rumah Hassan dan Hasnah dengan membawa pelbagai keperluan dapur dan persekolahan.


“Terima kasih, cikgu. Inilah kali pertama kami dapat memakai kasut dan pakaian sekolah yang baru,” kata Hassan.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Karya Mentee
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Buku Lama Wajah Lama Previous entry: Teks Agama: Isu Budaya

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.