Monday, October 30, 2006

PTS dan Masa Depan Industri Buku Sekolah

Adakah saudara penulis buku teks dan buku ulangkaji peperiksaan? Kalau ya, bagaimanakah saudara melihat masa depan industri penerbitan buku bersilabus?

Industri buku sekolah terdiri daripada 2 jenis buku: (a) buku teks, dan (b) buku ulangkaji.

Buat masa sekarang, industri buku bersilabus adalah sektor terbesar, baik daripada sudut jumlah nilai jualannya, mahupun daripada sudut keluasan jaringan saluran pengedarannya.

Empat pemain utama dalam sektor ini adalah DBP-DAWAMA, SASBADI, PELANGI dan FAJAR BAKTI.

Penerbit Pelangi sudah masuk papan ke-2 di Bursa Saham KL. SASBADI dan DAWAMA sudah menandatangi MOU mereka mahu bergabung menjadi sebuah syarikat sebelum ke papan pertama BSKL. (Ada gosip-gosip mengatakan SASBADI mungkin memutuskan 'pertunangan' itu disebabkan DAWAMA gagal memenuhi syarat yang dipersetujui bersama dalam MOU tersebut.)

Industri ini akan kekal berkembang sihat selagi Kementerian Pelajaran tidak melakukan perubahan drastik pada sistem pendidikan sekarang yang sangat berorientasikan peperiksaan.

Selagi ada peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, selagi itulah sektor buku ulangkaji peperiksaan akan terus menjadi mesin pencetak duit terbesar dalam industri buku Malaysia.

Namun, trend ke arah pendidikan liberal semakin ketara dalam dunia moden hari ini. Selama manakah Malaysia akan terus mengekalkan amalan-amalan pendidikan lama yang sudah ketinggalan zaman seperti keadaan sekarang?

Di negara-negara maju, hanya 3 atau 4 subjek teras sahaja yang diperiksa. Lain-lain mata pelajaran diajarkan tetapi tidak diperiksa.

Di Malaysia, apabila kita meliberalkan sistem pendidikan kita nanti, hanya 4 mata pelajaran teras akan diperiksa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Semua mata pelajaran lain tidak dinilai dengan cara peperiksaan tradisional seperti sekarang.

Isunya sekarang bukan lagi apakah sistem peperiksaan akan berubah, tetapi bila ia akan berubah.

Tanpa peperiksaan, buku ulangkaji peperiksaan tidak diperlukan lagi. Apabila ini berlaku, apakah yang akan dilakukan oleh penerbit-penerbit seperti DAWAMA, SASBADI, PELANGI dan FAJAR BAKTI?

Kita meramalkan mereka akan masuk ke dalam sektor buku umum, yang disebut juga dengan istilah 'trade book'. Inilah sektor yang diceburi PTS sekarang.

Pada masa ini 2 pemain utama sektor buku umum adalah PTS dan UTUSAN (UP&D). Kemasukan DAWAMA, SASBADI, PELANGI dan FAJAR BAKTI ke dalam sektor ini akan mengubah sama sekali lanskap industri buku umum negara ini. Kumpulan Karangkraf juga menunjukkan tanda-tanda gergasi itu semakin komited kepada sektor buku umum.

Apabila ini terjadi, PTS akan menjadi pemain kecil yang amat vulnerable kepada hostile take-over daripada budak-budak besar itu.

Apakah pilihan yang ada di depan PTS?

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Pemasaran Buku
(13) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Projek Jibunsyi Previous entry: Promosi Bulk-Display
Kang  on  10/30  at  11:28 AM

Assalamualaikum Mbakyu. Kabare? Royo neng enthi? Dewan kuliah masih sepi lagi. Biarlah hamba memecah kesunyian.

Memang begitulah di Malaysia ini. Pendidikan dijadikan sumber bisnes yang amat menguntungkan, tanpa perlu memikirkan kesannya sekarang dan akan datang. Sepatah kata Dato Seri Anwar, berdasarkan sajak Indonesia, “Sambil membangun, sambil meruntuh.” Satu dua pihak membangunkan empayer kewangan, berjuta pihak menderita dengan buku sekolah. Satu dua pihak senyum mencetak duit, berjuta pihak berhempas pulas membantu mencetak duit. Kerana itu sistem pendidikan kita TIDAK akan berubah kerana kalau berubah, pihak yang senyum akan berduka.

Isunya—anak-anak sekolah ‘dipaksa’ membeli buku yang tidak diperlukan. Satu mata pelajaran sampai 5 buku utama dan sampingan tetapi bila disemak semula di hujung tahun, hanya satu sahaja yang digunakan. Tidak ada ibu bapa yang senyum bila sampai membeli buku sekolah sebab kalau mereka senyum pihak yang senyum sekarang akan berduka.

Saya berkali-kali menulis ke akhbar tapi hanya seperti anjing menyalak bukit. Tulisan, “Ke sekolah pikul batu-bata” pernah memberi impak kecil, tetapi selepas itu senyap sepi (biasalah…) Senyum dan riang ria penerbit-penerbit buku sekolah lebih utama dari kedukaan ibu bapa dan kesihatan anak murid yang terpaksa memikul batu-bata (dan sampah-sarap) ke sekolah.

—-

Mbakyu—sektor buku umum ini, adakah PTS kini sudah mula menjadi ‘trendsetter’?
——-

alang bidara  on  10/30  at  12:15 PM

Assalamu’alaikum Sifu, Tan Sri Kang, et al,

Melihat kepada trend ‘ketidak-pedulian’ pembuat polisi pendidikan sekarang, trend pendidikan ber-orientasi-kan peperiksaan ini, saya berpendapat, akan ‘bertahan’ 10 ke 15 tahun lagi. Paling cepat dia bertukar pun 5 -8 tahun lagi.

Buat masa sekarang sehingga waktu itu, terpaksalah anak-anak dan cucu-cucu kita terus dilatih ‘tahan lasak’ dengan memikul batu-bata ke sekolah.

Bercakap tentang ‘takeover’ pula, sama hostile atau ‘mesra’ ada dua jenis yang berbeza, bukan (?): (a) Syarikat besar beli syarikat kecil; dan (b) “Ikan kebung telan ikan tenggiri” seperti kes bank Bumiputra Commerce.

Dalam kes PTS, dalam masa 5-8 tahun akan datang perlu membina diri dari taraf ikan kembung hingga ke taraf ikan kembung, atau kalau ke tahap ‘jerung’ tentulah lagi bagus.

Sesungguhnya ikan yang lebih besar akan berada di tahap yang lebih mampu untuk mempertahankan diri dari ‘dimakan’ oleh ikan-ikan lain.

rastom  on  10/30  at  12:29 PM

Betul juga kata Sheikh Alang Bidara. Ikan besar lebih brutal lagi bisa kelepekkan ikan kecil. Saya juga lihat di ‘tanahair yang dicintai’ ini, kadang kadang dibikin undang-undang & peraturan yang memungkinkan cacing kerawit menelan ular sawa (kes Bank itulah). maka besar belum tentu kuat lagi…..hahahaha

Puan Ainon Mohd.  on  10/30  at  09:57 PM

Tan Sri Kang, Sheikh Alang dan Tuan Rastom,

Biar saya gambarkan bagaimana ‘worst case scenario’ akan berlaku ke atas PTS apabila budak-budak besar itu masuk sektor buku umum.

Budak-budak itu cash-rich. Mereka sudah berada dalam pasaran lebih 20 tahun. Kantung mereka besar dan dalam!

Dengan kantung besar itu mereka mempunyai keupayaan menubuhkan tim buku umumnya pada bila-bila masa sahaja disebabkan kuasa wang yang ada pada mereka.

Wang yang banyak membolehkan budak-budak besar itu melakukan perkara-perkara berikut:

1. Mereka dapat menawarkan gaji dan perks yang jauh lebih besar kepada para pengurus, editor dan artis PTS yang terkenal dengan mutu kerja mereka yang terbaik di pasaran. PTS akan kehilangan tenaga mahirnya.

2. Mereka dapat menawarkan bayaran muka yang handsome bagi setiap manuskrip yang ditulis oleh penulis-penulis yang dilatih oleh PTS. PTS akan kehilangan penulis-penulisnya.

3. Mereka mampu membeli dengan banyak dan pantas hakcipta karya2 bestseller antarabangsa bagi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. PTS akan kalah.

4. Mereka mampu membayar upah terjemahan pada kadar yang menarik. PTS akan kalah.

5. Mereka mampu menawarkan deal pelesenan yang lebih menarik kepada penerbit-penerbit Indonesia bagi semua kategori buku. PTS akan kalah.

Ringkasnya: Money talks!

Berdepan dengan senario terburuk seperti itu, di manakah kekuataan PTS?

Kekuatan PTS adalah pada kualiti tim PTS yang mempunyai semangat perjuangan yang jelas, iaitu membangunkan sebuah penerbit buku-buku ilmu dalam Bahasa Melayu yang bebas dan besar. Semangat perjuangan itulah yang dikongsi oleh para penulis PTS.

Kekuatan kedua PTS adalah pada budaya kerjanya yang agile, tidak banyak birokrasi, mesra kepada daya kreativiti dan sentiasa mendorong semangat kewira-usahaan di kalangan anggota tim PTS.

Sebenarnya, PTS ini ibarat anak dara yang cantik, maka beberapa waktu yang lalu PTS sudah pernah dua kali dilamar (friendly take-over)  oleh dua budak besar. Idea bahawa PTS akan dimiliki oleh pemodal besar tidak dapat diterima oleh semua tim PTS -  baik staf, penulis, mahupun para pejuang bahasa.

Namun, semakin cantik anak dara itu, semakin budak-budak besar itu mahu cepat memilikinya!

rastom  on  10/30  at  11:16 PM

Puan Ainon, jelas sekali ini yang juga berlaku kepada kelompok kelompok kecil dalam dunia sofwer - gergasi Microsoft akan menelan seekor demi seekor lalu akhirnya objektif mulia pemain kecil ini juga ditelan oleh koprat. Bab ini masih hangat di bincang di cluetrain.org dan web 2.0

Puan Ainon Mohd.  on  10/31  at  06:50 AM

Tuan Rastom,

Bercakap pada peringkat strategis, PTS mesti berkembang menjadi budak besar dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang.

Ukuran besar itu adalah 100 orang staf editor kerana para editor adalah arkitek buku oleh itu mereka berfungsi sebagai jantung tim penerbit.

Pada saiz itu PTS dapat menerbitkan 1000 judul baru setiap tahun, tidak termasuk judul ulangcetak dan edisi baru.

Pada saiz itu PTS mampu menawarkan gaji dan perks terbaik dalam pasaran, dan dengan demikian dapat mengekalkan tenaga mahirnya.

Pada saiz itu barulah PTS dapat survive daripada ditelan oleh budak-budak besar itu.

Ini membawa kita kepada persoalan apakah PTS dapat cepat membesar tanpa membawa masuk pelabur koporat?

Jika PTS mahu membesar dengan modal dalamannya sendiri, ia mengambil waktu 20 tahun. Pemegang2 saham PTS mungkin sabar menunggu tempoh itu. Tetapi pembaca buku Melayu tidak mampu menunggu lama. Bagi memajukan pengguna Bahasa Melayu, mereka mesti segera menerima bekalan buku-buku ilmu dalam kuantiti yang banyak dan segera. Ini perjuangan kita.

Isu sekarang bukan dapatkah PTS menolak kemasukan pelabur korporat, tetapi siapakah pelabur korporat yang hendak dibawa masuk oleh PTS.

PTS ini penerbit yang jelas perjuangannya dalam menerbitkan buku-buku yang syariah-compliant. Kita tidak mungkin suka tidur sekatil dengan pelabur yang perjuangannya adalah ROI (return of investment) tinggi. Tetapi di mana hendak dicari pelabur yang seperti itu? LUTH? PNB? Ikan bilis macam PTS tidak masuk dalam senarai pelaburan mereka!

Apabila sesuatu sektor industri itu sudah mature, mergers dan takeovers tetap akan berlaku, ia tidak dapat dielakkan, dan tidak harus dielakkan, demi pengukuhan sektor itu sendiri.

Industri buku Melayu sudah berusia 50 tahun, maka kita kini berada diambang maturiti. Mergers dan takeovers adalah rule-of-the-day, kalau industri itu mahu hidup dan berkembang.

Ini kita baru bercakap tentang persaingan antara penerbit-penerbit tempatan. Kita tidak bercakap tentang kemasukan pelaburan asing, yakni penerbit antarabangsa masuk dan menjadi pemain besar dalam pasaran buku Melayu.

Dalam sektor peruncitan buku, pelabur luar sudah lama masuk. Rangkaian POPULAR adalah pelaburan Singapura. Terbaru adalah rangkaian Borders dari US.

Jangan terkejut jika POPULAR ataupun Borders akan take-over rangkaian pelabur tempatan seperti Rythm (yang sedang sakit-sakit) dan juga Muda Othman di Pantai Timur.

Bagaimanakah syarikat2 tempatan dapat lari daripada ditelan oleh pemodal asing?

Salah satu caranya adalah dengan merger sesama syarikat Malaysia (kahwin sesama kita). Ini mudah apabila perkahwinan itu tidak melibatkan perbezaan perjuangan yang amat dasar, seperti bank-kahwin-bank.

Dalam kes PTS ia tidak semudah bank-kahwin-bank kerana PTS itu sebuah penerbit yang dipacu oleh idealisme menerbitkan bahan-bahan bacaan yang mematuhi syariah.

alang bidara  on  10/31  at  08:32 AM

Assalamu’alaikum Puan Sifu, Tan Sri Kang, Tuan Rastom,et al,

(1) ‘Money talks but not always wins’ & “Semua benda perlukan duit tetapi duit bukan segalanya”;

(2) Jika PTS melambangkan perjuangan bahasa yang berniaga di atas landasan syariah, maka perjuangan akan tetap diteruskan, dan akan dapat diteruskan kerana akan sentiasa ada mereka yang sanggup menerima panji-panji perjuangan dari mereka yang tercicir dan gugur di tengah jalan;

(3) Seorang professor Bangla telah menubuhkan sebuah bank bernama Grameen Bank untuk memberi pinjaman kepada orang-orang miskin bagi berniaga sehingga mereka dapat berjaya dalam perniagaan; shingga beliau memenangi hadiah “Keamanan Nobel”.

Mungkinkah kaedah yang serupa boleh digunakan oleh PTS? Berita tentang Grameen boleh dibaca di link berikut:

http://www.islamonline.net/English/News/2006-10/13/06.shtml

(3)(b) Kaedah yang dimaksudkan ialah mengeluarkan saham-saham untuk dimiliki oleh para penulis dan pembaca-pembaca buku-buku keluaran PTS dan dengan ini akan memberikan peluang kepada PTS menambahkan modal.  Selain demikian para penulis PTS dan para pembaca buku2 PTS mempunyai paling minima seorang wakilnya di dalam lembaga pengarah PTS…seterusnya…[semoga ini sedkit sebanyak telah menyalakan mentol idea kit abersama..]....!!!

rastom  on  10/31  at  11:21 AM

Tuan tuan dan puan puan,

Banyak contoh dalam kes perang koporat yang bergemerincing sampai naik duli duli ke udara didalam sfera siber. Pemain kecil habis ditelan pemain besar dengan merujuk kepada gelembung dotcom tidak lama dulu. Walhal ada pula pemain kecil yang pandai menyedut ilham udara internet lalu menjadi tembun dan kini umpama raksaksa juga tanpa mengorbankan prinsip asal penubuhannya. Tengok Google, Amazon dan juga Apple - berjaya mengukir niche tersendiri dan mampu bersaing pula dengan gergasi. Pengalaman Netscapesangat menarik sebagai satu batu tanda (kendati matalamatnya ROI ssaja) Tetapi ia berjaya juga mewujudkan satu Yayasan yang terkenal dengan nama Mozilla. Hasil kerja Yayasan inilah kita dapat browser Firefox. Jika PTS berjaya mengembang dalam tempoh 10 tahun ini siapa tahu, bisa bikin juga satu Foundation yang kerjanya seperti kerja “open source” persis Mozilla. Kerjasama dengan MIMOS itu saya lihat satu langkah bijak. Apa pun, keterlibatan PTS dengan aktiviti yang web-internet-related itu saya lihat mampu memberi satu nilaitambah walaupun ia pemain kecil.

Kang  on  10/31  at  12:12 PM

Saya lebih setuju jika PTS diandaikan sebagai anak dara cantik jelita. Saya tahu budak-budak besar seperti Kumpulan “K” cuba-cuba meminang PTS. Nasib pihak atasan PTS tak terliur, jika tidak PTS akan hilang arah, matlamat, misi, kebaikan.

Semakin anak dara itu cantik, siqoh, baik, semakin ia diminati ramai. Harapan kita—ia kekal cantik, siqoh, baik dan “trendsetter”. Harapan utama kita: PTS menarik bukan ditarik.

Pada pendapat saya yang daif ini, PTS sudah 6 tahun, hanya tinggal 4 tahun saja lagi untuk menjadi 10 tahun. Kalau PTS hendak mendapatkan pelabur melalui terbitan saham, usia 10 tahun berniaga sudah melayakkan untuk memohon penyenaraian di Papan Kedua ditambah dengan modal berbayar RM5 juta (tak berapa ingat—Papan Utama 5 tahun berniaga, modal berbayar RM10 juta, atau terbalik).

Jika Allah SWT membuka jalan, pasti akan ditunjukkan jalan.

Yang utama, PTS sebagai anak dara jelita (juga seperti magnet) kekal dengan matlamatnya: memartabatkan industri buku dan serentak dengan itu memartabatkan penulis.

alang bidara  on  10/31  at  03:44 PM

Puan Sifu, Tan Sri Kang, Tuan Rastom, et al,

Walau apa pun yang berlaku di sekeliling dunia korporat, alam maya siber atau dunia penulisan, sesebuah organisasi atau entity perniagaan yang mempunyai dasar dan obejktif yang jelas dan unggul (visi, misi dan nilai-nilai selari dengan syariah) akan mampu mengharungi apa jua halangan yang mendatang dan mampu bersaing di persada perjuangan, malah berkembang maju. Saya lihat PTS mempunyai ciri-ciri tersebut.

Gagasan Pak Rastom tentang gerakan ‘Yayasan’ itu suatu idea yang menarik untuk di ‘eksplorasi’kan. Kalau Yayasan Mozilla berhasil dari kewujudan Netscape bersama permulaan kerja-kerja ‘open source’, maka mungkinkah “Yayasan Penulisan Malaysia” boleh menjadi kenyataan hasil kerjasama PTS, Mimos, Persatuan Penulis-penulis PTS dan peminat-peminat buku-buku PTS?

Puan Ainon Mohd.  on  10/31  at  06:39 PM

Tuan-tuan dan puan-puan,

Berkenaan Yayasan PTS itu, kita sudah membuka web khusus bagi terus memperjuangkan Bahasa Melayu. Klik http://www.kongresbahasa.org/

Web yang sedang dibina ini dibiayai sepenuhnya oleh PTS Consultants Sdn. Bhd. PTS CONSULT ini adalah syarikat induk dan pemegang saham terbesar dalam kumpulan syarikat-syarikat PTS. (Jangan tanya siapa pemilik saham terbesar dalam PTS CONSULT!)

Web ini akan menerbitkan semua kertas kerja yang memperjuangkan kepentingan Melayu. Tuan-tuan yang mempunyai salinan sebarang kertas kerja berkaitan kepentingan Melayu tolong hantar kepada kami supaya kami terbitkan dalam web ini.

alang bidara  on  10/31  at  10:34 PM

Assalamu’alaikum Puan Sifu, tuan-tuan & puan-puan,

Saya telah melayari web kongres bahasa itu dan ingin mencadangkan agar diadakan ruangan cadangan bagi pembaca memberi cadangan dan pandangan mengenai memperbaiki dan menambah isi web tersebut.

Juga perlu diluaskan lagi skop kandungan web tersebut.

Puan Ainon Mohd.  on  11/01  at  04:11 AM

Skeikh Alang dan tuan-tuan semua,

Web http://www.kongresbahasa.org/  ini dibangunkan supaya barangsiapa yang perlu membaca dokumen-dokumen yang berkaitan dengan perjuangan kepentingan Melayu sejak sebelum merdeka sehingga sekarang dapat membacanya.

Jadi, jika tuan-tuan mempunyai salinan apa juga kertas kerja ataupun memorandum yang berkaitan, tolong hantar kepada kami!

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: