Potongan Royalti Naskhah Percuma: Bagaimana Penerbit Menipu Penulis
Cuba saudara baca huruf-huruf halus yang tercetak dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani.
Berapakah jumlah naskhah buku saudara yang dipotong bagi tujuan promosi? 10 naskhah? 50 naskhah? 100 naskhah? 200 naskhah? 300 naskhah?
Ada penerbit tidak memberitahu penulis secara lisan bahawa sekian banyak bukunya dipotong bagi jumlah promosi. Jumlah itu terus ditulis dalam dokumen perjanjian penerbitan. Jika penulis tidak membaca satu persatu klausa-klausa dalam dokumen perjanjian itu, maka penulis tidak tahu.
Banyak penulis pula tidak ambil pusing hendak mengetahui apa yang dicetak dalam dokumen yang mereka tandatangani.
Ada penerbit memotong sehingga 300 naskhah. Bagi 300 naskhah itu, saudara tidak dibayar royaltinya atas alasan buku-buku itu diberikan percuma kepada orang-orang yang dapat meningkatkan jualan buku saudara itu.
Apakah betul sebanyak 300 naskhah buku saudara telah digunakan bagi tujuan promosi? Kepada siapakah buku sebanyak itu diberikan percuma?
Di PTS, jumlah yang diberikan percuma purata antara 20 - 30 naskhah sahaja. Buku-buku percuma diberikan kepada:
(i) Wartawan yang menjaga kolum resensi buku.
(ii) Editor majalah.
(iii) Penerbit TV dan radio.
(iv) Pensyarah yang mengajar subjek buku.
(v) Pengulas buku.
(vi) Penulis artikel tentang personaliti penulis.
(vii) Blogger yang blognya khusus tentang dunia buku.
(ix) VIP dalam kementerian yang relevan dengan buku.
(x) Penerbit-penerbit Indonesia yang mungkin berminat melesen buku PTS.
(xi) Penulis kertas kerja bagi pelbagai seminar dan persidangan.
(xii) Pemenang hadiah bagi pelbagai program anjuran kementerian, majalah, radio, TV, akhbar dan persatuan NGO.
(xiii) Lain-lain individu yang dapat menaikkan jualan buku.
Di PTS, apabila saudara menerima laporan kira-kira royalti saudara, angka tepat buku yang diberikan percuma sebagai bahan promosi akan dituliskan sebagai item 'PEMBAHAGIAN PERCUMA'. Jika hanya 24 naskhah diberikan percuma, maka royalti tidak dibayar bagi jumlah 24 naskhah itu sahaja.
Lain pula halnya dengan sesetengah penerbit. Mungkin angka sebenar buku yang diberikan percuma hanya 10 naskhah, tetapi royalti yang dipotong tetap berdasarkan 300 naskhah.
Ambil perhatian bahawa penerbit memang mempunyai banyak cara menipu penulis, jadi saudara mesti berhati-hati apabila memilih penerbit.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum,
Pagi semalam ( 18 ogos ), saya membeli 15 naskah buku agama dalam satu judul dari sebuah penerbit yang tidaklah berapa jauh dari kantor Sifu di PTS itu.
Saya bertanya dengan staf pemasaran mereka sama ada buku yang sudah lama dicetak ini masihkah mempuanyai stok yang banyak.
Agak memeranjatkan kerana beliau mengatakan baki stok yang banyak tapi buku itu sudah beberapa kali diulang cetak tanpa mengubah tarikh cetakkannya.
Buku itu sudah dua kali diulang cetak tapi masih tertera sebagai cetakan pertama bertarikh tahun 1998.
Dalam niatnya mahu menunjukkan kepada saya buku itu adalah buku yang `segar` kerana baru dicetak tapi saya melihatnya sebagai tidak sihat kerana ia boleh `memperdaya` penulisnya.
Post a comment