Persaingan di PTS Semakin Sengit
PTS akan terus menerus menerbitkan buku, dan lebih banyak buku. Ini adalah dasar bisnes PTS yang sudah ditetapkan oleh lembaga pengarah.
Semakin hari PTS semakin berkembang. Sebagai penerbit utama buku-buku komersial Melayu, PTS menjanjikan peningkatan kualiti buku-bukunya.
Jumlah penulis PTS semakin hari semakin banyak. Pada masa ini jumlah penulis PTS sudah mencecah angka 300 orang.
Masing-masing penulis PTS juga semakin banyak menghasilkan manuskrip untuk memenuhi permintaan PTS. Ada sekumpulan penulis PTS yang sangat produktif. Mereka menghasilkan manuskrip secara konsisten, dan ini membolehkan mereka menerbitkan antara 2 - 6 judul setahun, malah ada yang lebih.
Semakin hari PTS menerima semakin banyak proposal dalam bentuk sinopsis karya fiksyen daripada penulis-penulis PTS yang sedia ada. Ini bermakna ada persaingan antara penulis-penulis PTS sendiri.
PTS juga menerima semakin banyak manuskrip fiksyen daripada penulis yang tidak pernah menghadiri kursus PTS, dan belum pernah mempunyai karya dengan PTS.
Sebagai sebuah penerbit komersial, PTS akan memilih manuskrip fiksyen yang mempunyai ciri-ciri berikut:
(i) Kualiti cerita yang menjanjikan jumlah jualan yang baik.
Kualiti cerita adalah prioriti paling tinggi. Pasaran hanya mahukan cerita yang sedap. Inilah yang menyebabkan PTS mewajibkan penulis menghantar sinopsis yang terperinci sebab editor perlu menilai kualiti cerita terlebih dahulu, yakni sebelum karya itu ditulis.
(ii) Jabatan editorial memilih manuskrip yang murah kos editingnya.
Kualiti bahasa adalah sangat penting. Manuskrip yang memerlukan banyak editing menaikkan kos dan melambatkan jadual pengeluaran. Justeru, semakin 'bersih' sesuatu manuskrip itu, semakin tinggi peluang ia diterima oleh editor yang menilainya.
Inilah sebabnya PTS melabur dalam mengadakan bengkel-bengkel tatabahasa dan gaya bahasa untuk penulis-penulis PTS. Tujuannya adalah bagi mengurangkan kos editorial.
PTS akan terus menjalankan program melatih penulis-penulis baru yang berbakat. Ini bermakna para penulis yang sedia ada akan bersaing dari dua penjuru. Pertama mereka bersaing sesama mereka, dan mereka juga bersaing dengan bakat-bakat baru.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment