Perlukah Kempen Membaca
Tidak semua orang percaya aktiviti membaca perlu dikempen-kempenkan.
Antara orang yang berpendapat kempen membaca tidak diperlukan adalah Tn. Jaafar Rahim dan Pn. Nisah Haron. Mereka berdua berpendapat tabiat membaca tidak perlu dikempeni. Pendapat mereka berdua itu ada unsur kebenarannya.
UNIKA berpendapat, yang lebih penting daripada menganjurkan kempen membaca adalah menerbitkan buku-buku yang digemari oleh pembaca. Kalau buku-bukunya ada, insyaAllah buku-buku itu akan dibaca.
Sebagai contoh, kerajaan kita tidak pernah mengadakan kempen menggalakkan orang ramai supaya gemar membaca majalah hiburan, ataupun membaca akhbar politik ataupun novel cinta, tetapi jualan dan bacaan ketiga-tiga genre itu amat baik sekali. Puncanya adalah disebabkan bahan-bahan itu diterbitkan dan diedarkan dengan meluas.
Jika kita mahu masyarakat membaca buku-buku ilmu, yang penting adalah menerbitkan buku-buku ilmu itu dan mengedarkan buku-buku itu supaya aksesibel (accessible) kepada barang siapa yang mahu membacanya.
Ibaratnya, jika kita mahu semua rakyat Malaysia makan epal sebiji sehari, kempen makan epal akan menjadi sia-sia jika epal-epal itu tidak ada, ataupun ada tetapi tidak aksesibel kepada semua rakyat Malaysia yang mahu memakannya.
Pada masa ini setiap tahun rakyat Malaysia dikempeni supaya banyak membaca buku, tetapi buku-buku yang mahu dibaca itu tidak ada, ataupun jikalau buku-buku itu ada, ia tidak aksesibel kepada mereka yang mahu membacanya.
Perpustakaan desa diisi dengan buku-buku yang penduduk kampung tidak mahu membacanya. Kemudian kita persalahkan mereka disebabkan mereka tidak mahu pergi ke perpustakaan desa bagi meminjam buku-buku itu.
Yang paling prioriti sekarang adalah membantu para penerbit menerbitkan banyak buku-buku ilmu yang bagus-bagus dan yang suka dibaca oleh orang ramai. Menerbitkan buku-buku seperti itu adalah kerja yang memerlukan kepakaran tinggi dan kos yang tinggi.
Pada masa ini kerajaan menyediakan dana RM50 juta setahun bagi dipinjamkan kepada penerbit filem. Senator Tan Sri Jins Shamsuddin sedang mendesak supaya dana itu dinaikkan kepada RM100 juta setahun.
Di satu pihak lain, RM1.00 pun tidak ada dana untuk dipinjamkan kepada penerbit buku.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Kempen membaca itu, saya rasa perlu. Kerana mungkin ramai yang membeli, tapi membacanya tidak.
Ramai sikitnya orang yang membeli, mungkin tidak sama dengan sikit ramainya orang yang membaca.
Orang ramai membeli di Pesta Buku hanya kerana mahukan lebih diskaun. Maklumlah, Malaysia ini masih lagi mewah, dan rakyatnya masih juga suka membeli-belah.
Kalau Malaysia sudah ramai pembacanya, saya kira pasti perpustakaan di seluruh pelusuk negara ini penuh sesak dengan pengunjungnya.
Tidak begitu?
Di sekolah-sekolah, ada kempen membaca melalui buku nilam. Ada hadiah yang ditawarkan berdasarkan kepada jumlah buku dan mukasurat yang dibaca.
Saya ada ramai anak saudara - melebihi 50 orang. Ini bermakna berbagai kerenah dan minat mereka yang dapat saya perhatikan.
Anak-anak saudara saya yang membaca kerana ingin mendapat hadiah melalui buku nilam, sebenarnya tidak minat membaca. Baca hanya kerana hadiah yang ditawarkan. Dia baca banyak buku untuk dicatatkan dalam buku nilam, tetapi dia tidak ada rasa kasih pada buku, kurang faham apa yang dibacanya, tidak merasa teruja dengan cerita yang dibacanya malahan tidak menjaga buku dengan baik.
Manakala beberapa anak saudara saya yang lain, banyak membaca dan suka membaca, tetapi tidak pernah terfikir untuk memenuhkan buku nilam mereka, walalupun jumlah mukasurat yang dibaca begitu tinggi (bayangkan mereka ini telah membaca ketujuh-tujuh siri Harry Potter dalam kedua-dua bahasa + dan siri-siri Goosebumps).
Rasa teruja mereka terpancar apabila walaupun telah baca buku-buku yang dipinjam dari saya, mereka tetap kumpul duit untuk membeli sendiri buku tersebut. Malahan sentiasa tertunggu-tunggu buku-buku terbaru terbitan PTS.
Apabila mereka melihat perpustakaan peribadi saya yang makin membesar (sentiasa bertambah rak demi rak), mereka rasa begitu teruja dan kagum. akhirnya mereka menyimpan azam untuk turut memiliki mini perpustakaan peribadi sendiri.
Ammar, yang telah kehilangan ibu sejak berusia 3 bulan (kini 11 tahun) telahpun membeli sebuah rak buku dengan duit yang dikumpulnya sendiri. Malahan, separuh dari buku-buku koleksi beliau adalah dari duit simpanan sendiri, selebihnya saya yang belikan sebagai galakan.
Jadi, pada pendapat saya, memupuk budaya membaca adalah dari rumah.
Dengan membina ruang perpustakaan peribadi yang menarik dan bukan setakat satu rak di satu sudut yang terpencil sahaja boleh memupuk rasa cinta pada buku dan ilmu. Kerana saya juga membesar dengan tenggelam dalam perpustakaan peribadi milik arwah ayahanda saya.
saya rasa sangat dibutuhkan, mengingat kemampuan membaca para generasi muda saat ini menurun drastis sekali
Post a comment