Perbedaan Nasib Filem Melayu Jalan Ampas dan Novel Popular Melayu Tahun 60-an, 70-an dan 80-an
Seorang sahabat lama saya, Dato' Mokhtar Petah (foto), adalah seorang wartawan dan novelis yang amat popular pada suatu masa dahulu. Siapa yang tidak kenal beliau, semua pembaca akhbar dan buku Melayu tahu nama beliau.
Beliau pernah menulis posting FaceBook yang begini bunyinya: Pada tahun 1960-70 an, kami: Boestamam, Kassim Ahmad, saya dan beberapa orang lagi, adalah penulis2 yang suara lantang dalam Hari Sastera dan pertemuan2 penulis. Tetapi mereka telah tidak ada lagi. Saya termasuk penulis sisa sebelum mengembara jauh ...Saya tinggalkan hasil karya saya, lebih 50 buah buku...
Lebih 50 buah buku! Subhanallah.... Tetapi sebuah pun tidak ada dipamerkan dalam kedai-kedai buku pada hari ini.
Semasa beliau muda dan aktif berkarya, konsep 'harta intelek' belum diketahui lagi oleh kaum penulis, oleh itu mereka menulis demi mengungkapkan perjuangan, pemikiran dan perasaan mereka, dengan tidak memikirkan apakah karya mereka itu dapat dijadikan sumber pendapatan dan kehidupan yang selesa, jangankan merancang supaya harta intelek mereka nanti akan dinikmati oleh anak cucu mereka.
Seorang lagi sahabat lama saya adalah seorang penulis novel popular yang sangat produktif. Sebut sahaja nama beliau, peminat novel Melayu zaman itu pasti pernah mendengar namanya dan membaca karyanya. Beliau menghasilkan lebih 70 buah judul novel. (Sebuah pun tidak ada dipamerkan dalam kedai-kedai buku pada hari ini.)
Beratus-ratus novel popular Melayu terbit sepanjang tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an, hasil tulisan berpuluh-puluh penulis. Namun, jika kita baca semula novel-novel itu, tidak sebuah pun yang dapat diterbitkan semula secara komersial, kerana meskipun tema-tema dan persoalan dalam novel-novel itu tidak lapuk dan masih relevan, tetapi gaya bahasanya sudah ketinggalan zaman.
Novel-novel popular zaman itu ditulis menggunakan gaya Bahasa Melayu zaman itu. Gaya percakapan yang digunakan dalam dialognya adalah gaya percakapan orang Melayu 30, 40, dan 50 tahun dahulu. Jika kita hendak tahu bagaimana gaya percakapan orang Melayu pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an, bacalah novel-novel popular terbitan zaman itu.
Orang Melayu sekarang tidak bercakap seperti watak-watak dalam novel-novel itu bercakap. Perubahan laras bahasa percakapan adalah faktor utama yang menyebabkan novel-novel itu tidak dapat diulangterbit dan dijual kepada pembaca zaman ini.
Novel-novel itu adalah sezaman dengan filem-filem Melayu hitam-putih keluaran studio Jalan Ampas. Sementara filem-filem Jln. Ampas (yang dibintangi oleh lagenda seperti P Ramlee, Nordin Ahmad, Jins Shamsuddin, Sarimah, Latifah Omar, Maria Menado, Umi Kalthum, Rahmah Rahmat dll) masih dapat dinikmati oleh penonton hari ini, tidak demikian halnya dengan novel-novel tersebut.
Faktor yang membedakan nasib novel-novel itu dengan filem-filem Jalan Ampas adalah bahasa percakapan harian yang digunakan dalam ayat-ayat dialog novel-novel itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment