Pendapat tentang Pendapat yang Mengatakan Tidak Wujud Konsep Hakcipta dalam Islam
Para ustaz-ustaz berbeza pendapat tentang kedudukan konsep 'harta intelek' dalam Islam.
Satu kelompok mengatakan dalam Islam memang ada konsep 'harta intelek'. Antara tokoh penting dalam kelompok ini adalah Dr. Ariff Salleh Rosman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tesis MA beliau adalah dalam topik harta inetelek dan hakcipta. Beliau juga adalah anggota panel penasihat syariah PTS.
Satu kolompok lagi mengatakan dalam Islam tidak ada konsep 'harta intelek' dan oleh itu tidak ada konsep 'hak cipta'. Golongan ini menggunakan hadith yang bermaksud, “Kearifan (ilmu) adalah barang yang hilang dari kaum muslimin, ia adalah milikmu, di mana pun kamu menemukannya.”
Dalam undang-undang harta intelek dan hak cipta, sememangnya 'idea' (termasuk ilmu) tidak dilindungi oleh undang-undang. Yang diberikan perlindungan adalah cara-cara bagaimana idea (dan ilmu) itu dizahirkan.
Justeru, ilmu dalam buku tidak dilindungi. Sesiapa sahaja boleh mengutip ilmu dalam buku-buku karya orang lain, menggunakan ilmu itu, mengajarkan ilmu itu, mengaplikasinkan ilmu itu, malah menjual ilmu itu.
Yang tidak diizinkan oleh undang-undang adalah mencuri, yakni menyalin semula ayat-ayat dalam buku itu, ataupun menggunakan foto dan ilustrasi dalam buku itu, bagi tujuan mencari keuntungan.
Perkara inilah (perbezaan antara 'ilmu' dan 'penzahiran ilmu') yang sering tidak difahami oleh ustaz-ustaz tradisional. Akibatnya, banyak ustaz menyalin semula bulat-bulat bahagian-bahagian daripada karya ustaz lain, lalu dimasukkan dalam buku mereka, dihantarkan kepada penerbit, lalu diterbitkan dengan meletakkan nama mereka sendiri sebagai pengarang.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment