“Readability Index”: Menulis Kerana Hendak Meng-ekspres, Bukan Meng-impres
Banyak orang yang berkelulusan tinggi, sebagai contoh para pensyarah universiti, apabila mereka menulis, mereka mempunyai tujuan mahu meng-impress.
Istilah meng-impres bermakna hendak menunjukkan kepandaian dan ilmunya kepada kepada orang-orang pandai lain yang satu bidang. Sebagai contoh, pensyarah pengajian Islam hendak menunjukkan kelebihan ilmu-ilmu Islamnya kepada pakar-pakar ilmu pengajian Islam lain.
Buku yang meng-impres adalah buku yang writer-oriented. Buku itu ditulis dengan matlamat penulis hendak menunjukkan dirinya lebih pandai daripada, dan kepada, mereka yang sesama bidang.
Sebagai contoh, kalau si penulis itu seorang ustaz dan tesisnya adalah berkenaan insurans Islam, maka dia menulis dengan dorongan bawah-sedar mahu membuktikan kepada ustaz-ustaz lain bahawa dirinya lebih pandai dalam hal-ehwal insurans Islam daripada ustaz-ustaz itu. Maka dia akan menuliskan berpuluh-puluh ayat al-Quran dan hadis dalam teks Arabnya sebab dia mahu membuktikan bahawa dia fasih bahasa Arab, fasih al-Quran dan fasih hadis.
Demikian juga dengan pakar-pakar bidang lain. Mereka akan menggunakan istilah-istilah, dan frasa-frasa, dan jargon teknikal, dalam bidang ilmunya atas dorongan bawah-sedar yang serupa, yakni mahu meng-impres.
Buku yang baik adalah buku yang ditulis menggunakan teknik-teknik meng-ekspres, ertinya buku yang menerangkan dengan jelas kepada pembaca perkara yang dihuraikan dalam buku itu. Dengan demikian, buku itu bersifat reader-oriented.
Buku meng-ekspres ditulis bagi memandaikan pembacanya. Justeru, aspek-aspek seperti 'readability-index' menjadi amat penting.
Readability-index adalah indeks yang mengukur sejauh mana buku itu dapat dibaca dan difahami oleh pembacanya. Banyak buku yang ditulis oleh pensyarah universiti mempunyai readability-index yang terlalu tinggi, sehingga ia cuma dapat dibaca oleh sesama pensyarah universiti yang sama bidang.
Banyak buku agama mempunyai readability-index yang terlalu tinggi, sehinggakan orang Islam pun belum tentu faham apa yang cuba diterangkan oleh penulisnya.
Contoh buku ilmu yang amat baik isi kandungannya tetapi readability-indexnya terlalu tinggi bagi orang awam adalah buku-buku Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas. Begitu tingginya readability-index buku-buku beliau sehinggakan hanya anak-anak muridnya sahaja yang faham makna ayat-ayat yang beliau tulis.
Istilah lain bagi readability-index adalah fog-index, atau 'indeks-kabus'. Buku yang readability-indexnya tinggi dikatakan 'berkabus', yakni kabusnya terlalu tebal, sehingga pembaca tidak nampak dengan jelas apa yang ada dalam buku berkabus itu.
Apabila saudara hendak menulis buku, tentukan dahulu kepada siapa buku itu ditargetkan. Kemudian gunakan readability-index yang betul bagi pembaca itu.
Majalah TIMES dan NEWSWEEK menggunakan readability-index untuk pembaca bersusia 18 tahun, yakni pembaca yang lulus sekolah menengah di Amerika. Ertinya semua perkataan dan istilah yang digunakan dalam kedua-dua majalah itu sudah diajarkan di peringkat sekolah menengah. Inilah juga indeks yang digunakan dalam buku-buku umum PTS.
Manakala, majalah READER'S DIGEST menggunakan readability-index pembaca berusia 12 tahun, yakni yang lulus sekolah rendah sahaja. Maka tidak hairanlah majalah itu dapat dibaca sebagai bahan bacaan santai oleh semua golongan usia dan pendidikan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan Ainon,
Moga Puan sentiasa dirahmati Allah selalu…Amin.
Terima kasih banyak-banyak di atas maklumat ini dan ‘menambah celikkan’ mata saya pada pagi ini..
Wasalam
Umi Kalthum Ngah
USM Kampus Kejuruteraan
Assalamualaikum Puan Sifu,
Saya setuju dengan kenyataan puan tentang kaedah ‘readability-index’ dalam mensasarkan jumlah pembaca.
Namun saya tidak bersetuju bila puan menyatakan sesuatu buku itu ditulis dengan tujuan ‘meng-impress’.
Seorang penulis buku agama yang bertanggungjawab perlu menyatakan dalil/sumber ilmu yang disampaikan bagi membuktikan kepada pembaca akan kesahihannya.
Mungkin benar, lebih mudah menarik golongan ‘fasa-mekah’ untuk membaca jika ditiadakan tulisan-tulisan Arab dan ‘terma-terma khusus’ yang sukar difahami pembaca umum.
Saya cuma tidak setuju dengan kenyataan puan melabelkan ‘niat’(sekalipun di bawah sedar) penulis sebagai ‘meng-impress’. Itu sahaja.
Semoga Allah sentiasa memberkati usaha dakwah Puan dan PTS. Amin!
Assalamu’alaykum wbh,
Puan yang dikasihi Allah,
Respon kepada mawar; setakat yang saya perasan sifu menyatakan ‘banyak orang’. Jadi maksudnya bukan semua penulis begitu niatnya.
Pada saya, ia baik dijadikan tazkirah agar penulis senantiasa membetulkan ‘nawaitu’ nya setiap kali mula menulis. Hati manusia mudah berubah. Justeru ia dinamakan ‘qalb’ yang mana memberi maksud sesuatu yang mudah berbolak balik. Hari ini ikhlas. Esok belum tentu. Hari ini ikhlas. Esok mungkin sudah jadi ‘sum’ah’. ‘Sum’ah’ bermaksud menceritakan amal baik kita bertujuan menunjuk-nunjuk. Sekadar menceritakan pengalaman untuk dijadikan teladan, tiada masalah.
Berkenaan teknik ‘meng-ekspres’ ia konsekuen dengan arahan Nabi Muhammad (salam dan selawat ke atas baginda, ahli keluarga dan sahabat semuanya) supaya ‘jelaskan kepada manusia…’. Manakala sambungan hadis ini yang bermaksud,’...menurut tahap IQ mereka’ konsekuen dengan istilah ‘reader-oriented’ yang dinyatakan.
Hanya Allah yang mengetahui kebenaran.
Ummu Abbas
Ada juga “pensyarah” yang sekadar menterjemah sahaja buku atau artikel…
Wah! bagus banget entri ini. Kerap saya temui buku dan orang yang suka mengimpress (yang sekaligus gagal mengekspres) tetapi fenomena ini tidak pula saya dapat ekspreskan sebagai satu bahan tulisan seperti ini. Memang dasar seorang Sifu! Memang kena dengan gelaran. (Bunyi macam bodek, tapi ikhlas..hehehehe)
Pak Rastom,
Sodap boto lah ayat pak Rastom tu, “orang yang suka mengimpress , yang sekaligus gagal mengekspres”. Goma amek se baco eh…
Assalamualaikum,
Saya kira, kalau perkongsian perkataan baru, itu dapat membangkit semangat ingin tahu. Setuju dengan Puan Ainon. Maksud penulis bisa ditebak di dalam isi. Impress atau Ekspress.
Sedikit pertanyaan dari saya.
Jika terdapat nahu Arab, adakah perlu meletakkan glosari di bawah halaman atau di belakang buku?
Dan bagaimana pula seorang doktor bisa menyampaikan nuansa kedoktoran jika pembacanya dikalangan orang biasa-biasa?
P/S: tapi saya berdarah “jentera”. Bukan di bidang perubatan. Hehe..
...................
Nota Sifu: Saya akan terangkan dalam entri teknik-teknik itu. Mohon sabar.
Bagi sayalah, entry ini baik, terutama dari segi niat menulis agar tidak tersasar, daripada menyampaikan maksud, kepada meraih pandangan. Namun begitu, setiap penulisan perlu difokuskan kepada siapakan sasaran pembacanya. Biarlah indeks boleh-baca nya rendah, (mungkin penerbit enggan menerbitkan kerana kuranglah keuntungannya), namun begitu nilainya betul-betul hebat dan boleh diambil faedah oleh golongan sasarannya.
Setiap penulisan ada sasarannya tertentu. Kitab-kitab purba juga begitu. Ada yang boleh dibaca oleh semua golongan dan ada yang hanya boleh dibaca oleh tok mufti. Kesemuanya memberi faedah yang amat baik kepada nilai ilmiah sesuatu masyarakat.
Apa yang Pn Ainon tulis tu pu macam meng impress jugak kan
Kadang-kadang hasil ‘meng impress’ ini boleh mewujudkan inquiry yang tinggi kepada pembaca yang berlevel rendah. Kan dah berkembang 2 ilmu dalam 1 buku.
Post a comment