Mengapa Budaya Bebas Rasuah Sangat Menguntungkan
Etika adalah besi berani dan modal bisnes yang sangat penting. Sebagai modal, peranan etika adalah lebih penting daripada wang! Dengan mengamalkan etika bisnes yang tinggi, banyak masalah dengan sendirinya akan selesai, termasuk masalah wang.
Semenjak mula beroperasi 9 tahun lalu, setiap tahun PTS berkembang purata 60%, suatu pencapaian yang luar biasa. Banyak faktor yang mendorong prestasi cemerlang PTS. Salah satu daripadanya adalah budaya kerja bebas-rasuah yang diamalkan oleh setiap anggota TimPTS.
Nilai bebas-rasuah ini diketahui oleh semua rakan niaga PTS, dari pengedar, kontraktor, pekedai, agen, pencetak, penulis, penterjemah, ilustrator, desainer, editor feelancer dan sesiapa sahaja yang berurusan dengan PTS. Kesannya, mereka suka berniaga dengan PTS kerana sangat murah -- murah, disebabkan mereka tidak perlu mengeluarkan kos bagi merasuah pegawai-pegawai PTS.
Penerbit hidup disebabkan adanya bekalan manuskrip yang laku dalam pasaran. Jadi, penulis adalah sumber bisnes paling utama bagi penerbit. Penulis adalah serupa dengan penyanyi bagi syarikat rakaman muzik dan pelakon bagi syarikat pengeluar filem.
Dengan mengamalkan budaya bebas-rasuah itu, banyak penulis suka menulis untuk PTS. Inilah salah satu magnet yang menyebabkan PTS dapat menarik penulis-penulis yang berkualiti sehingga dalam tempoh 9 tahun jumlah penulis PTS hampir mencecah 400 orang. Jumlah yang ramai itu membolehkan PTS menerima bekalan manuskrip bermutu tinggi yang mengalir berterusan sepanjang tahun menyebabkan PTS tidak mengalami masalah kekurangan manuskrip.
Apabila penerbit sudah besar, isu mendapatkan penulis tidak lagi sukar, tetapi semasa penerbit baru beroperasi, -- masih sangat kecil, belum ada rekod, belum ada nama -- adalah sangat sukar mendapatkan manuskrip yang berkualiti daripada penulis yang berkualiti. Salah satu daya tarikan yang digunakan oleh PTS 9 tahun dahulu adalah dengan mengamalkan etika bisnes yang amat tinggi bagi mengatasi kelemahan-kelemahannya sebagai penerbit kecil.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment