Sunday, July 13, 2008

Body Language dan Tingkah Laku Watak-Watak Pendusta dalam Surah Yusuf

Surah Yusuf adalah surah yang mengandungi sebuah kisah yang paling indah. Begitulah kata Allah. Ayat ke-3 bermaksud, "Kami sampaikan kepadamu,wahai Muhammad, sebuah kisah yang paling indah...." 

Dalam penulisan novel-novel Melayu, salah satu aspek yang sering kali tidak dilakukan dengan cara-cara yang meyakinkan pembaca terpelajar adalah pelukisan watak-watak. Maksudnya, keterangan tentang tingkah laku dan dialog watak-watak tidak dilakukan dengan berdasarkan ilmu psikologi.

Ambil sebagai contoh dalam kes watak pendusta. Kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar psikologi mendapati perbuatan berdusta sentiasa diiringi oleh tanda-tanda (traits) yang jelas. Tetapi, dalam novel-novel Melayu, penerangan tentang traits seperti itu tidak dilakukan oleh majoriti penulis kita, biarpun dalam karya-karya yang dilabelkan sebagai bermutu 'sastera'.

Perbuatan berdusta dapat dikesan dengan menganalisis body language atau 'bahasa badan' yang mengiringi dialog. Tingkah laku adalah termasuk dalam body language. Daripada tingkah laku seseorang itu kita dapat mengesan apakah dia berdusta ataupun berkata benar.

Salah satu tingkah laku orang yang berdusta adalah mengemukakan apa yang disebut unsolicited information ataupun 'maklumat yang tidak diminta'.

Sebagai contoh, seseorang itu tidak diarahkan supaya bersumpah, tetapi dia dengan tidak semena-mena, tanpa diminta oleh sesiapa, maka dia tiba-tiba bersumpah mengaku bahawa apa yang dikatakannya adalah benar.

Dalam surah Yusuf, tingkah laku seperti ini dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf kepada ayah mereka, Nabi Yaakub. Ayat ke-17 dalam surah Yusuf: "....mengapakah ayahanda tidak percaya kepada kami, meskipun kami berkata benar." 

Ayah Nabi Yusuf tidak pun menuduh anak-anaknya berdusta apabila mereka melaporkan kononnya Nabi Yusuf telah dibunuh oleh serigala, tetapi  mereka sendiri yang bersumpah kononnya mereka berkata benar.

Satu lagi tingkah laku orang yang berdusta adalah apabila dia melakukan kesalahan, bagi menyembunyikan kesalahannya itu, dia menuduh orang lain yang melakukan kesalahan itu.

Dalam surah Yusuf, tingkah laku menuduh orang lain bagi menyembunyikan kesalahannya sendiri telah dilakukan oleh Zulaikha. Zulaikha cuba menggoda dengan memperdaya Nabi Yusuf supaya masuk ke dalam kamarnya, tetapi apabila kedapatan oleh suaminya, Zulaikha menuduh Nabi Yusuf dengan mengatakan Nabi Yusuflah yang telah cuba menggoda dirinya dengan mencoroboh masuk dan ke dalam kamarnya.

Ayat ke-25 dalam surah Yusuf: "....perempuan itu berkata kepada suaminya, 'Apakah balasan bagi orang yang hendak berbuat jahat dengan isteri kekanda?'....

Psikologi adalah ilmu bantu yang berguna bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Tanpa bantuan ilmu psikologi, banyak tingkah laku watak-watak dalam karya tidak dapat meyakinkan pembaca, dan tidak dapat dipertahankan logiknya.

........

NOTA KAKI: 

Contoh-contoh tingkah laku bersumpah yang tidak diminta adalah: 

Nota 1: Ada seorang remaja lelaki, dengan tidak semena-mena, tiba-tiba dia membuat akuan bersumpah mendakwa dia dipaksa di-'anu' sebanyak 9 kali oleh Anwar Ibrahim.

Nota 2: Remaja yang sama kemudian tidak semena-mena, tanpa diminta oleh sesiapa, dia bersumpah dalam internet kononnya dia berkata benar. 

Nota 3: Seorang tokoh politik, yang sekarang sedang dikaitkan dengan pembunuhan seorang wanita jelita warga asing, tiba-tiba dalam suatu majlis perjumpaan partinya, walaupun sama sekali tidak ada dalam agenda majlis itu, dia tiba-tiba secara spontan bersumpah kononnya dia tidak pernah mengenali si mati itu.

Contoh tingkah laku menuduh orang lain adalah: 

Nota 4: Seorang tokoh politik yang namanya disebut dalam suatu akuan bersumpah oleh seorang bekas polis dan penyiasat peribadi, di mana bekas polis itu mendakwa tokoh politik itu mengenali perempuan jelita yang dibunuh itu, dan bahawa tokoh politik itu mengetahui perempuan itu seorang yang cenderung mengamalkan seks 'anu'. Tokoh politik itu kemudian mengaku kepada wartawan bahawa dia mengenali remaja yang menuduh Anwar Ibrahim melakukan 'anu' ke atas dirinya secara paksa itu, sebab remaja itu pernah datang ke rumahnya dan mengadu bahawa dia pernah di-'anu' oleh Anwar Ibrahim. Jadi, siapa sebenarnya yang pernah secara sukarela melakukan seks 'anu'?

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Bagaimana Royalti Dikira Previous entry: Sudah Terbit

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: