Kecewa dengan Sikap Bisnes Penerbit PTS
Ada penulis yang kecewa dengan dasar perniagaan PTS yang hanya menerbitkan buku-buku yang laku dijual di kedai-kedai sahaja. Mereka berasa PTS tidak sepatutnya terlalu memikirkan keuntungan sahaja, sebaliknya perlu juga memikirkan kepentingan ilmu.
Ada dua faktor yang menyebabkan PTS hanya menerbitkan buku-buku yang laku dijual di kedai-kedai buku:
(i) Kedai-kedai buku tidak mahu mempamerkan buku-buku yang tidak laku dijual.
Kedai buku tahu buku macam mana yang laku dan yang tidak laku. Mereka takkan mahu mengambil buku yang mereka ramalkan tidak laku.
Setiap kali PTS menerbitkan buku baru, salesman PTS perlu memujuk pengurusan kedai-kedai buku supaya mahu mempamerkan buku-buku itu dalam kedai mereka. Kedai buku hanya mahu memesan buku-buku yang mereka yakin dapat dijual, kerana kedai buku bukan setor tempat penerbit menyimpan buku-bukunya yang tidak laku.
(ii) PTS menggunakan wang bank bagi menerbitkan buku-bukunya.
PTS menggunakan fasiliti bank bagi membayar kos membeli kertas dan mencetak buku-buku yang diterbitkannya. Justeru, adalah sangat berbahaya jika buku-buku yang diterbitkan tidak laku. Buku yang berlonggok dalam setor penerbit adalah duit tunai yang sudah bertukar menjadi kertas buruk.
Sembilan puluh peratus (90%) dari manuskrip yang dihantar ke PTS oleh penulis yang tidak mengenali PTS dari dekat adalah tidak memenuhi kehendak PTS, lalu ditolak. Itulah sebabnya PTS mengadakan kursus-kursus penulisan percuma kepada mereka yang berminat menulis untuk terbitan PTS, semata-mata bagi membantu penulis memahami bagaimana buku yang PTS mahukan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment