Friday, February 01, 2008

Khutbah Jumaat PTS: Apabila Dibantah oleh Penyokong Kuat

Dalam perjuangan menyampaikan Islam kepada bukan Islam, tentu berlaku perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan sesama pejuang berkenaan isu-isu strategi dan taktikal. Situasi seperti itu sudah berlaku semenjak Nabi Muhammad masih hidup, yakni ia bukan perkara baru.

Dalam kitab SAHIH MUSLIM, ada sebuah hadis di mana Al-Bara' bin Azib melaporkan bahawa Ali bin Abu Talib adalah orang yang menuliskan teks dalam dokumen perjanjian perdamaian antara Nabi Muhammad dengan penduduk Mekah yang masih menyembah berhala.

Beginilah peristiwa di sebalik tercatatnya nama "Muhammad bin Abdullah" sahaja dalam teks dokumen penting itu.

Ali menuliskan ayat  ini: "Inilah yang diperjanjikan oleh Muhammad Rasulullah." Orang-orang musyrikin membantah penggunaan perkataan "Rasulullah" itu. Kata mereka, "Jangan kamu tuliskan kalimah Rasulullah. Kalau kami yakin bahawa dia adalah Utusan Allah, sudah tentu kami tidak memusuhinya."

Ali menjawab, "Tidak!" Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Ali, "Padamlah perkataan itu." Ali menjawab, "Tidak! Saya tidak mahu memadamnya."

Kemudian Nabi Muhammad meminta supaya ditunjukkan yang mana tulisan 'Rasulullah' itu kerana beliau tidak pandai membaca tulisan. Selepas ditunjukkan, Nabi Muhammad sendiri yang memadam tulisan 'Rasulullah' itu, lalu digantikan dengan 'Muhammad bin Abdullah' sahaja.

Nota: Hadis ini mengandungi ibrah-ibrah atau prinsip-prinsip yang relevan apabila kita menjalankan usaha-usaha menyampaikan mesej-mesej Islam kepada orang-orang yang belum yakin bahawa Nabi Muhammad itu adalah seorang nabi dan utusan Allah.

Ibrah-ibrah itu adalah sebagaimana di bawah:

(1) Apabila dibantah oleh orang yang kuat imannya dan banyak pengetahuan agamanya, diam sahaja. Jangan berbalah dengan orang alim dan waraq yang tidak faham perkara yang dibantahnya, sebaliknya teruskan sahaja buat apa yang betul.

(Walaupun Ali bin Abu Talib adalah seorang yang amat kasih kepada Nabi Muhammad, amat dalam ilmu pengetahuan agamanya, dan amat kuat imannya, namun Ali tidak tahu strategi Nabi Muhammad bagi mendekati hati orang-orang Quraisy yang memusuhi Islam. Individu yang alim dan banyak ilmu agamanya, masih perlu menambahkan ilmunya dalam bidang strategi perang urat saraf.)

(2) Pemimpin tidak wajib menerangkan kepada penyokong-penyokongnya semua perkara tentang strategi dan taktikal perang urat saraf yang sedang digunakannya.

(3) Dalam menyampaikan mesej-mesej Islam kepada bukan Islam, unsur-unsur seperti gelaran dan pangkat jangan dijadikan isu sehingga mencetuskan konflik dan perasaan tidak puas hati dalam dada pihak bukan Islam. Gunakan nama diri yang original sahaja dalam dokumen-dokumen bertulis.

(4) Dalam perang saraf yang tujuannya adalah menyampaikan mesej Islam kepada golongan yang memusuhi Islam, strategi berdamai dan melembutkan hati musuh adalah langkah paling bijaksana.

(5) Segeralah mengalah pada perkara-perkara sekunder, yang cuma simbol-simbol, yang sampingan, yang cuma label-label, supaya dapat mengekalkan perkara-perkara yang strategis. (Kata pepatah Melayu: Biar hilang tali, jangan hilang kerbau. Biar hilang cacing, asal mendapat ikan.)

Tuhan jualah yang lebih mengetahui. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(10) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Dicari: Buku Tauhid untuk Remaja Awal Previous entry: Fail Buku Ini Sudah Siap Diproses dan Sudah Dihantar ke METADOME
Muhd Kamil Ibrahim  on  02/01  at  07:25 AM

Puan SifuPTS,

Prinsip yang dinyatakan sangat relevan bila kita mahu membuat perubahan. Saya tidak fikir saya perlu memberi tahu segala-galanya apa yang dirancang kepada keseluruhan staf.

Mungkin sedikit demi sedikit, dalam keadaan mereka dapat memahami rasional tindakan dan logik kenapa sesuatu perkara itu dilakukan, barulah ia boleh dilepaskan.

Seronoknya jika kedengaran mereka berkata…. ooooo patutlah. Kenapa tidak diterang dari awal?

Sebab: Jika diberitahu terlebih awal lebih banyak yang membantah daripada menerima.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/01  at  03:02 PM

puan sifu,
Itulah pemimpin agung kita, tapi tak semua pemimpin mengambil iktibar dari kisah itu.
ia juga seperti pepatah melayu iaitu ular menyusur akar tak akan hilang bisanya.
semuga kita semua diberi petunjuk olih ALLAH dan kembali kepada ISLAM yang sejati.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/01  at  06:22 PM

Ketaksuban sesetengah orang menyebabkan mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad sehingga lupa perjuangan Nabi Muhammad dan strategi perjuangan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad pun manusia seperti kita juga, tidak kebal dek peluru, tidak imun dek racun.

Mereka kata Nabi Muhammad itu Nabi dan mencipta pelbagai telahan dan andaian bahawa itu tak boleh, ini tak boleh sehingga buta mata mereka terhadap tindakan bijak Nabi Muhammad sebelum ini. Kepercayaan buta yang wujud ini menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara rasional.

Mereka kata Nabi Muhammad itu nabi, utusan Allah, tetapi mereka tidak pula mengambil iktibar mengenai kisah-kisah perjuangan nabi. Pendek kata, mereka tidak benar-benar menghayati Islam dan Sirah Rasulullah. Entah-entah mereka tidak pernah ambil tahu atau pernah terfikir untuk ambil tahu pun.

Saya bersetuju sangat dengan pernyataan ini:

“Apabila dibantah oleh orang yang kuat imannya dan banyak pengetahuan agamanya, diam sahaja. Jangan berbalah dengan orang alim dan waraq yang tidak faham perkara yang dibantahnya, sebaliknya teruskan sahaja buat apa yang betul.”

Buat apa nak berbalah kerana salah faham. Kita laksanakan sahaja benda yang betul, dan biar mereka tengok hasilnya. Hasilnya nanti, mereka akan mengubah pemikiran mereka, melainkan mereka bukan betul-betul alim atau waraq (ego dan hipokrit).

Analogi untuk kes macam ini - sama macam kita buat benda yang betul dan berfaedah terhadap orang tua yang sudah nyanyuk, tetapi orang tua yang nyanyuk itu tidak dapat menerimanya. Lama-lama nanti dia akan faham, kalau dia tak faham pun tak apa, sebab asalkan benda yang kita buat untuk orang tua nyanyuk itu berjaya dan membantu orang tua nyanyuk itu, maka benda yang kita buat itu sudah berhasil.

Teruskan aja benda yang baik. Perjuangan secara lembut dan tersirat lebih baik daripada berjuang secara langsung dan jelas. Apabila musuh nampak dan mudah mengenal kita, maka kita dalam kesusahan. Apabila kita berjuang secara halus, musuh leka dan sukar mengesan kita, apatah lagi nak mengatur strategi untuk menghalang kita. Mari kita jadi ‘hantu’ berdakwah secara halus.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/01  at  10:18 PM

Tuan Anti Taksub,

Saya ulang 3 kali membaca nota Tuan. Saya ambil berat apa yang Tuan tulis itu. Saya akan memikirkannya dalam-dalam. Terima kasih.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/02  at  03:27 AM

Puan Sifu yang dihormati,

Saya cadangkan satu lagi buku -‘Nabi Muhammad sebagai Strategist’.
Rasanya perkataan strategi menarik minat ramai orang sekarang, terutamanya orang bisnes.
smile

Shamsuddin Kadir  on  02/02  at  01:34 PM

Assalamualaikum Puan Sifu dan rakan,

Sedang bertafakur di dalam masjid PTS

Riduan Khairi  on  02/02  at  02:29 PM

Salam sejahtera Puan Sifu,

Saya amat berpuas-hati dengan penjelasan ini.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/03  at  01:22 PM

kepada anti taksub,

saya rasa kenyataan tuan itu berputar2 dan kurang jelas.
bolehkah tolong jelaskan, maklumlah saya tak mengaji tinggi. Takut terpesong aqidah (minta maaf jika silap)
Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullahahazim.  Saya rasa tak perlulah kita nak jadi hantu untuk berdakwah secara halus kerana semua contoh dan cara2 sudah ada dalam QURAN DAN HADIS serta telah diajar oleh RASULULLAH SAW.Rasulullah sentiasa berhalus semasa berdakwah mengembangkan Islam.

Beyta  on  02/04  at  01:34 AM

untuk menjadi hamba Allah yang diredhai dan diberkati, sewajarnya umat Islam mengikut dan mengamalkan sunnah Rasul Allah. Tetapi yang terlalu taksub itu lah yang menyebabkan berlaku beberapa penyelewengan sehingga lari dari apa yang Rasul Allah buat sebenarnya.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/04  at  11:26 AM

Salam Puan,

Sekadar memberikan pandangan. Apakah seorang pemimpin itu boleh buat keputusan sendiri tanpa berunding dengan orang bawahan, atas alasan orang bawahan tidak sampai otak untuk memahami orang atasan. Rasulullah s.a.w. mengamalkan syura sesama sahabat dalam menetapkan banyak maslahat. Tetapi dalam banyak kes juga Rasulullah mengabaikan pandangan sahabat, jika perkara yang hendak dilakukan adalah arahan terus Allah. Maka tidak ada kompromi dalam isu seperti ini.

Pernah terjadi Rasulullah s.a.a. menegur seorang lelaki yang memanjat pohon tamar untuk mendebungakannya. Baginda melarangnya dan lelaki tersebut mematuhinya. Hasilnya pohon-pohon tamar tidak berbuah lebat seperti tahun lepas. Bila disampaikan kepadanya, Baginda berkata dengan sabda yang sangat simbolik:
“Antum a’lamu bi umuri dunya kom”
-kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia mu”

Dalam peperangan Badar, Rasulullah s.a.w. berhenti di suatu tempat dan mengarahkan para sahabat berkhemah di situ. Seorang sahabat bertanya sama ada ini adalah wahyu Allah s.w.t., jika tidak, dia mencadangkan agar mereka berkhemah dekat telaga Badr. Lalu Baginda menerimanya. dan ternyata ia adalah strategik yang baik.

Begitu juga dalam Perang Khandak (Parit). Baginda dengan rendah diri menerima pendapat Salman al-Farisi untuk menggali parit di sekeliling Madinah, berdasarkan strategik peperangan ala-Farsi yang diketahuinya.

So puan melainkan Puan juga mendapat wahyu secara langsung daripada Allah s.w.t., segala urusan wajib dibincangkan. Terutamanya dalam bidang agama dan bahasa Arab yang puan sendiri tidak mahir sepenuhnya. PTS mempunyai pakar-pakar rujuk lepasan agama yang boleh dibawa berbincang. Misalnya Wan Zuhairi dan Imran lepasan Al-Azhar yang boleh memberikan saranan dari sudut pengajian mereka.

Macammana pun, ini hanya pandangan. Kadang-kadang susah juga hendak memberikan pandangan yang menongkah arus. Sebab tidak ramai yang suka terima, dan malah menghina.

Tapi saya tahu, Puan boleh dibawa berbincang.

Wasalam

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: