Hakcipta: Kesalahan Menyalin dan Menyadur
Banyak "penulis" dan "penterjemah" buku-buku agama terbitan Malaysia, melakukan perbuatan memberi gambaran palsu tentang siapa sebenarnya penulis original isi kandungan dalam buku-buku mereka.
Punca perkara ini adalah, dalam buku-buku mereka itu terdapat:
(1) Menyalin bulat-bulat
Ayat-ayat terjemahan al-Quran dan hadith itu disalin bulat-bulat daripada kitab-kitab terjemahan yang dihasilkan oleh orang lain, majoritinya terjemahan ulamak Indonesia. Ini mereka lakukan dengan tidak memberitahu pembaca bahawa terjemahan itu disalin bulat-bulat daripada kitab terjemahan orang lain. Perbuatan ini memberikan gambaran palsu seolah-olah terjemahan itu dilakukan oleh si ustaz Malaysia itu sendiri, sedangkan perkara itu tidak benar.
Cara yang betul apabila hendak menggunakan hasil kerja orang lain adalah dengan menyebut dalam buku itu sumber original terjemahan yang digunakan.
Sebagai contoh, tulis nota seperti berikut pada bahagian awal buku itu: "Semua teks terjemahan al-Quran dan hadith yang saya gunakan dalam buku ini adalah disalin daripada kitab (a) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan (b) Ringkasan Shahih al-Bukhari, terbitan Penerbit Mizan, Bandung, 2006."
(2) Menyadur
Ayat-ayat saduran itu disalin dan disadur daripada kitab-kitab Indonesia, dengan menggantikan perkataan-perkataan Bahasa Indonesia dengan perkataan-perkataan bahasa Melayu Malaysia.
Justeru, buku itu bukan karangan original si ustaz Malaysia itu sendiri, tetapi karangan ulamak Indonesia yang disadur (baca, dicuri).
Dengan meletakkan namanya sendiri pada kulit buku itu sebagai "pengarang" ataupun "penyusun" buku tersebut, si ustaz itu memberi gambaran palsu, dengan kata lain berdusta, kepada pembacanya.
Perbuatan menyalin dan menyadur (baca, mencuri) ayat-ayat karangan penulis lain adalah kesalahan serius di sisi undang-undang hakcipta.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment