Friday, August 15, 2008

Hakcipta dan Hak Penerbitan: Mari Kita Buat Memorandum kepada DBP

Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua konsep yang mesti difahami oleh penulis, demi kebaikan penulis sendiri. Banyak penulis mengalami kerugian besar disebabkan mereka tidak memahami kedua-dua konsep ini.

Banyak penulis hanya faham konsep 'hakcipta' sahaja. Malah ada Sasterawan Negara yang tidak faham wujudnya apa yang disebut 'hak penerbitan'. Akibatnya mereka menandatangani perjanjian penerbitan yang amat merugikan penulis.

Apabila saudara menulis buku, secara automatik hakcipta dan hak penerbitan buku itu adalah saudara punya. Sesiapa yang memiliki hakcipta karyanya, dia juga memiliki hak penerbitan karya itu.

Baik hakcipta mahupun hak penerbitan, kedua-dua boleh dipindahkan kepada pihak lain.

Jadi ada penulis yang menjual hakciptanya kepada penerbit. Sebagai contoh, novel Keris Mas Saudagar Besar dari Kuala Lumpur hakciptanya sudah dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jadi hakcipta karya itu sudah menjadi milik DBP. Hak penerbitannya juga dimiliki oleh DBP.

Implikasinya, jikalau besok novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh sebuah penerbit Jepun, dan berjaya dijual 100 ribu naskhah di sana, semua royaltinya diambil oleh DBP. Hakcipta versi terjemahan itu pula dimiliki oleh pihak Jepun. Jika novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Hindi di India, hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak di India. Royaltinya juga diambil oleh DBP.

Bagi penulis yang tidak menjual hakcipta bukunya kepada DBP, apakah yang mengizinkan DBP menerbitkan buku saudara? Begini. Saudara telah memberikan kepada DBP hak menerbitkan, mencetak, menyimpan, mengedar dan menjual buku saudara. Sebagai imbalan, saudara dibayar sekian-sekian banyak royalti ataupun honorarium.

Isunya sekarang, berapa lama tempoh yang saudara benarkan DBP memegang hak menerbiktan buku saudara itu?

Cuba saudara baca balik klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan DBP. Ada ataupun tidak dinyatakan tempoh hak penerbitan yang saudara berikan kepada DBP - selama 1 tahun, 5 tahun, 20 tahun, ataupun tanpa had waktu, ataupun 'selagi ada bulan dan matahari'?

Dalam tempoh hak penerbitan, walaupun hakcipta buku itu saudara punya, tetapi saudara tidak boleh menukar penerbit saudara. Dalam dokumen perjanjian penerbitan dengan DBP, tidak disebutkan had tempoh hak penerbitan itu. Ini bermakna, saudara menyerahkan hak penerbitan buku saudara itu kepada DBP sampai bila-bila!

Katakanlah, sudah 10 tahun DBP tidak mahu mengulangcetak buku saudara, namun saudara tidak boleh menyerahkan buku saudara itu kepada penerbit lain menerbitkan buku saudara itu. Yang berhak menerbitkan buku saudara adalah DBP sahaja. DBP mahu terbit semulakah, tidak mahu terbit semulakah, itu hak DBPlah. Inilah yang dialami oleh SN Dato' A Samad Said.

Memang hakcipta buku saudara masih saudara punya, tetapi jikalau saudara hendak menjual hakcipta buku itu kepada penerbit lain, penerbit itu tidak boleh menerbitkan buku itu, disebabkan hak penerbitannya masih dipegang oleh DBP.

Semua penulis DBP ambil perhatian perkara ini. Kita perlu berpakat membuat memorandum dan menyerahkannya kepada DBP meminta supaya DBP, sebagai sebuah penerbit milik penuh kerajaan, menyemak semula dokumen perjanjian penerbitan yang digunakannya sekarang, dan diselaraskan dengan hasrat kerajaan menggubal undang-undang harta intelektual, iaitu bagi melindungi harta intelektual rakyat negara ini.

DBP hendaklah membatalkan semua perjanjian penerbitan yang lama, yang tidak menyebut tempoh gunapakai dengan tepat. Mengikut peguam yang kita rujuk, sebarang perjanjian yang tidak menyebut dengan tepat tempoh gunapakai, maka perjanjian seperti itu tidak sah disebabkan ada unsur 'uncertainty' di dalamnya.

Kita perlu menyedarkan DBP bahawa ada klausa-klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan DBP sekarang yang tidak selaras dengan semangat undang-undang harta intelektual yang sudah lama dimaktubkan di negara kita yang tercinta ini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Akan Terbit Previous entry: Khutbah Jumaat PTS: Hakcipta Karya Imam-imam Terdahulu
Helmy Samad  on  08/15  at  06:31 PM

Salam Ibu.

Semoga sentiasa dilindungi dan diberkati Allah yang Maha Esa.

Ibu, bab perjanjian tanpa tempoh yang jelas sudah lama kami ketahui, malah kami disuruh beberapa peguam untuk mencetak saja judul-judul yang “kononnya” masih ditangan DBP. Saya dan Pak Samad entah mengapa masih bersabar dan mahukan perkara ini diselesaikan secara “bersih”. Kami tidak bermusuh dengan DBP dan langsung tiada niat untuk mengenepikan serta mengecilkan mereka. Mungkin atas sifat sebegini yang ada pada ramai pengarang (yang buku mereka diterbitkan DBP) membuatkan beberapa individu - yang memegang kuasa - di DBP “tidak mahu faham” dan “buat ikut sedap tekak” mereka. Tidak tahukah mereka (DBP)ada pengarang yang hidup mereka bergantung hampir 100% dari hasil karangan mereka? Bukankah DBP harus memelihara dan menyuburkan dunia sastera negara? Mengapa pula mereka menindas dengan memperlekehkan hak penulis? Dengan kes penerbitan bersama dengan sebuah syarikat di utara yang hingga kini pengiraan royaltinya tidak telus hingga menerbitkan karya tanpa perjanjian sehingga ada pengarang yang hanya mengetahuinya apabila terserempak di kedai buku, apa sebenarnya fungsi dan matlamat DBP? Itu belum bercerita tentang pemasaran dan jualan buku DBP yang “membuatkan” ramai percaya buku-buku sastera kita tidak laku. Ini semua satu pengkhianatan ibu.

Saya impikan yang baik-baik saja dengan DBP. Ya, benar. Sumpah! DBP perlu menghormati semula pengarang seperti tahun 60 dan 70an. Saya masih ingat hampir setiap minggu pengarang-pengarang dan keluarga mereka berkumpul dan bergaul sambil menjalankan beberapa aktiviti di DBP. Entah di mana dan bagaimana suasana dan semangat itu “hilang”.

Saya doakan dan impikan satu hari nanti DBP bekerjasama dengan WBSB dan syarikat-syarikat penerbitan yang lain yang benar wibawa. Mereka perlu jadi “ketua” kembali dan memimpin untuk mengembalikan apa yang telah hilang itu.

InsyaAllah.

Marsli N.O  on  08/17  at  10:56 AM

Puan Ainon Ydh: Bab ini memang saya sokong seraus peratus.

Wassalam,
Marsli N.O

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: