Apa Itu Berne Convention
Berne Convention adalah perjanjian yang ditandantangi oleh 162 buah negara di mana masing-masing negara itu bersetuju melindungi harta intelek warga negara asing sebagaimana mereka melindungi harta intelek rakyat mereka sendiri.
Sebagai contoh, sebelum Malaysia menandatangani Berne Convention, undang-undang negara ini hanya melindungi hasil karya rakyat Malaysia dalam negara Malaysia sahaja. Kalau rakyat Malaysia hendak mencetak rompak buku-buku rakyat negara lain, mereka bebas melakukannya sebab karya asing tidak dilindungi di negara ini.
Begitu juga, di luar Malaysia, sesiapa sahaja boleh mencetak rompak karya rakyat Malaysia, undang-undang negara mereka tidak melindungi harta intelek rakyat Malaysia.
Apabila Malaysia turut menandatangani Berne Convention, keadaan ini bertukar. Malaysia mesti melindungi karya rakyat semua anggota konvensyen itu, dan mereka juga melindungi karya rakyat Malaysia. Justeru, karya Indonesia dan semua 162 anggota Berne Convention adalah dilindungi di bawah undang-undang hakcipta negara Malaysia.
Rakyat Malaysia tidak boleh mencuri harta intelek rakyat negara-negara anggota Berne Convention.
Berikut adalah senarai dan tarikh masuk negara-negara Islam ke dalam Berne Convention: Algeria (1998), Bahrain (1997), Mesir (1977), Indonesia (1997), Jordan (1999), Lebanon (1947), Libya (1976), Malaysia (1990), Morocco (1917), Pakistan (1948), Saudi Arabia (2004), Syria (2004), Tunisia (1887), Turki (1952), Arab Emiriah (2004).
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment