Assalamualaikum,
Semoga Puan dan seisi keluarga serta seluruh warga kerja PTS sihat sejahtera dan dirahmati Allah.
Saya ingin mendapatkan pandangan daripada Puan tentang prosedur menyusun buku panduan menterjemah Material Safety Data Sheet (MSDS). MSDS adalah dokumen teknikal yang memberikan garis panduan kepada pengendali, pengangkut dan pengguna tentang komposisi bahan kimia, risiko keselamatan, risiko kesihatan, langkah pertolongan cemas, langkah perubatan, langkah kejuruteraan, prosedur pengangkutan, pelupusan sisa kimia, dan liabiliti pengilang, pembekal, dan pengguna tentang satu-satu bahan kimia (berbahaya, boleh meletup, terbiodegradasi dan sebagainya). Setiap produk yang dikeluarkan oleh mana-mana kilang di mana-mana negara di seluruh dunia, mesti disertai MSDS. Ini peraturan yang ditetapkan oleh United Nation.
Latar belakang:
Pada tahun 2006 dan awal 2007 saya cuba melobi untuk mendapatkan satu slot kursus penterjemahan MSDS di NIOSH (National Institute of Occupational Safety and Health). NIOSH sendiri ada menawarkan kursus menulis MSDS.
Pada bulan April 2007, saya diberikan peluang menyampaikan pilot presentation modul kursus penterjemahan MSDS yang saya bangunkan, di NIOSH yang dihadiri oleh pengurusan kanan NIOSH dan dua pengarah dari DOSH (Department of Occupational Safety and Health, Malaysia), Kementerian Sumber Manusia, untuk dinilai.
Pada bulan Julai 07, saya sekali lagi diberikan peluang untuk menyampaikan pilot presentation lanjutan kursus penterjemahan MSDS dihadiri oleh audiens yang sama.
Kursus seumpama ini telah beberapa kali diminta daripada industri, terutamanya industri oil and gas tetapi ITNM tiada modul yang khusus untuk penterjemahan MSDS. Dengan latar belakang kejuruteraan saya dan pengalaman menterjemah banyak MSDS, saya cuba mengambil peluang ini kerana pendekatan bahasa bagi kelompok teknikal tidak sama dengan pendekatan bahasa bagi kelompok profesion lain.
Pada awal 2008, saya dimaklumi bahawa NIOSH telah pun memasukkan slot kursus penterjemahan MSDS ini dalam kalendar kursus tahunan yang ditawarkan di NIOSH, dan kursus ini akan dijadikan program tetap NIOSH. Untuk kredibiliti kursus ini, saya bekerjasama dengan DBP di bawah tiket Munsyi Dewan. Ujian kompetensi diberikan di penghujung kursus lanjutan.
Penterjemahan MSDS kini sudah hampir menjadi mandotari kerana DOSH/auditor akan menghendaki semua MSDS dan label produk kimia disediakan dalam dwibahasa, rentetan persetujuan kerajaan Malaysia menerima Globally Harmonized System of Classification and Labelling of Chemicals (GHS) yang diwartakan oleh United Nation pada 2005.
Rancangan:
Saya merancang untuk menulis buku garis panduan menterjemah MSDS dan teks teknikal sebagai teks utama untuk kursus di atas. Banyak petikan jadual dari bahan terbitan DBP perlu dimasukkan dalam teks tersebut, antaranya:
1. Rumusan tatanama kimia dari Tatanama Kimia. (Nota Sifu: Rumusan tatanama adalah hak awam, oleh itu boleh dipetik. Perlu disebut dokumen sumber yang yang dipetik.)
2. Rumusan nama botani/biologi dari buku Gaya Dewan. (Nota Sifu: Rumusan nama botani adalah hak awam, oleh itu boleh dipetik. Perlu disebut dokumen sumber yang yang dipetik.)
3. Pengubahsuaian ejaan kata pinjam dari Tatabahasa Dewan. (Nota Sifu: Rumusannya adalah hak awam, tetapi contohnya hendaklah Puan tukar dan gunakan contoh-contoh perkataan lain. Perlu disebut dokumen sumber yang yang dipetik.)
4. Rumusan ejaan baku dari Tatabahawa Dewan, pelbagai Daftar Istilah. (Nota Sifu: Rumusan ejaan adalah hak awam, tetapi contohnya hendaklah Puan tukar dan gunakan contoh-contoh perkataan lain. Perlu disebut dokumen sumber yang yang dipetik.)
5. Asas tatabahasa. (Nota Sifu: Tidak boleh memetik daripada mana-mana buku tatabahasa karangan orang lain, kecuali mendapat izin bertulis daripada pengarang ataupun pemegang hakcipta. Hakcipta buku Tatabahasa Dewan adalah dipegang oleh pengarang-pengarangnya.)
6. Kaedah penggubalan ejaan baku, dan sebagainya. (Nota Sifu: Kaedah itu adalah hak awam. Perlu disebut dokumen sumber yang yang dipetik.)
Pada masa kini, penterjemah MSDS perlu memiliki banyak rujukan yang relevan dengan MSDS dan bahasa, dan rujukan ini terpencar-pencar dalam pelbagai buku rujukan. Bagi mereka yang akan hanya menumpu penterjemahan MSDS dan teknikal, hal ini agak kurang ekonomi dan tidak begitu menarik, kerana hendak membina kemahiran mencari sumber itu pun sudah meletihkan.
Justeru saya memikirkan untuk menghimpunkan sebanyak mungkin rujukan ini dalam sebuah teks, disertai dengan latihan hands-on yang berkaitan (yang saya pungut daripada kerja penterjemahan yang saya tangani).
Apa yang saya musykilkan sekarang, adakah DBP mudah untuk membenarkan petikan terbitannya digunakan sebagai sebahagian daripada buku panduan ini, dan buku ini tidak dirancang untuk diterbitkan oleh DBP?
NIOSH, secara lisan, ada menyebut bahawa buku ini (InsyaAllah the textbook-to-be) akan digunakan sebagai bahan utama kursus dan saya melihat pasarannya ada dalam industri memandangkan semua pengilang dan pembekal bahan kimia wajib melaksanakan penterjemahan MSDS, malah baru-baru ini saya sendiri sudah dihubungi oleh dua syarikat multinasional dari Belgium dan AS yang meminta khidmat terjemah MSDS bagi produk mereka yang hendak dipasarkan di Malaysia.
Atau, apakah memadai sekadar saya fotostat rumusan di atas dan dikepilkan bersama lembaran edaran saya dan mengetepikan dahulu idea buku panduan ini? Mohon pandangan Puan. Terima kasih atas luangan masa Puan. Wassalam.
Juneta Zawawi
......................
Nota Sifu:
"Apakah memadai sekadar saya fotostat rumusan di atas dan dikepilkan bersama lembaran edaran saya dan mengetepikan dahulu idea buku panduan ini?"
Ya, Puan Juneta, sebagai trainer profesional-komersial, bahan-bahan yang Puan pilih dan cipta lebih baik tidak Puan terbitkan dalam buku. Ia adalah teknologi yang hanya ada pada Puan, oleh itu pelanggan Puan perlu mendapatkan khidmat latihan daripada Puan sendiri. Trainer lain perlu mencipta bahan-bahan latihan mereka sendiri.
Sebagai trainer, pendapatan yang besar datang daripada yuran latihan, bukan daripada royalti buku.
Buku pula membantu menaikkan yuran latihan Puan. Trainer yang tidak mempunyai buku sukar mengenakan yuran tinggi.
Bahan-bahan yang sesuai dituliskan dalam buku adalah yang berkaitan dengan teori-teori dan prinsip-prinsip terjemahan sahaja.
Terbitkan buku Puan menggunakan teknologi P-O-D sahaja. Jual terus kepada para peserta kursus Puan.
Baca buku tulisan En. Nazrul Samsudin PTS. Beli di sini ataupun hantar SMS kepada beliau 016 6661 1491.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
Tahniah saya ucapkan kepada PTS kerana terus berjuang menyampaikan/berdakwah kepada bukan islam tentang keindahan islam. Penggunaan bahasa mudah ini telah membuatkan saya berminat untuk membaca buku-buku agama yang diterbitkan oleh PTS. Pada pandangan saya, penggunaan bahasa mudah akan memudahkan orang islam dan bukan islam memahami islam dalam bentuk yang sebenarnya. Teruskan berjuang memandaikan bangsa melalui agama.