Siapa Penerbit “Kaki Novel”?
Jika saudara peminat dunia bisnes buku, saudara tentu perasan perkembangan-perkembangan terbaru dalam aktiviti penerbitan buku-buku novel Melayu akhir-akhir ini.
Ada sebuah penerbit novel yang memanggil dirinya “Kaki Novel”, dan sedang diam-diam masuk dan memakan pasaran penerbit-penerbit besar, khususnya Creative dan Alaf21.
Sebelum ini Creative dan Alaf diancam oleh Rythm, Times dan Utusan, ketiga-tiganya penerbit bermodal besar. Rythm, Times dan Utusan masuk ke dalam sektor novel cinta, dan mengambil peluang yang dibuka dan diterokai dengan susah payah oleh Creative, diikuti oleh Alaf.
Tanpa modal besar, tanpa tiupan serunai dan pukulan kompang, Kaki Novel muncul senyap-senyap, dengan satu novel, tetapi novelnya terus mendapat sambutan yang sihat dari penggemar novel cinta. Kemudian Kaki Novel muncul lagi dengan satu novel baru, juga mendapat sambutan baik.
Sekarang Creative, Alaf, Rythm, Times dan Utusan bukan lagi bersaing antara sesama mereka. Sebaliknya mereka harus pula bersaing dengan fenomena Kaki Novel, disebabkan Kaki Novel semacam mempunyai formula sukses ala-David melawan Goliath – si Kecil melawan si Besar.
Suatu persoalan yang menarik difikirkan dari sudut bisnesnya adalah, sambutan novel-novel terbitan Kaki Novel membuktikan beberapa fakta:
Pembaca novel cinta Melayu tidak setia kepada penerbit. Mereka tidak setia kepada “Alaf” ataupun “Creative”. Mereka mengutamakan kualiti novel, tanpa mengira siapa penerbitnya.
Berlakunya perpindahan penulis-penulis novel yang baik, daripada Creative dan Alaf kepada penerbit-penerbit alternatif seperti Kaki Novel. Ini membolehkan Kaki Novel mendapat manuskrip yang laku dijual.
Berlakunya petugas dalam penerbit besar yang menceburkan diri dalam bisnes penerbitan novel Melayu. Ini membolehkan pemilik Kaki Novel terus berjaya daripada novelnya yang pertama.
Kaki Novel adalah penerbit yang tergolong dalam kategori “independent publishers” ataupun penerbit bebas. Mereka ditubuhkan oleh individu yang mengeluarkan modal sendiri, dan beroperasi dengan gaya “bisnes studio”. Mereka hanya menerbitkan 7 ataupun 8 buku setahun, tetapi tiap-tiap bukunya mendapat sambutan baik disebabkan bakat dan pengalaman yang dimiliki oleh pengusahanya.
Beberapa ciri penerbit bebas adalah:
1. Mereka memang 'orang buku', yakni mereka pernah bekerja dengan penerbit buku, itulah sebabnya mereka faham bagaimana buku dihasilkan dan dipasarkan.
2. Mereka kenal dan mendapat kepercayaan penulis-penulis yang ada dalam pasaran, itulah sebabnya mereka tahu karya siapa yang mempunyai banyak peminat.
3. Mereka kenal siapa pengedar-pengedar buku yang dapat dipercayai kejujurannya, itulah sebabnya mereka tidak ditipu oleh pengedar dalam isu kutipan hutang. Ini membolehkan mereka meneruskan aktiviti pengeluaran novel seterusnya.
4. Mereka tahu proses pengeluaran buku, itulah sebabnya mereka boleh mendapatkan artis dan pereka layout yang mahir untuk buku yang mereka terbitkan. Ini membolehkan novel terbitan mereka mempunyai wajah yang menarik dan dapat bersaing dengan penerbit yang sudah besar.
5. Mereka mempunyai sokongan daripada pencetak-pencetak yang berpengalaman mencetak novel, itulah sebabnya kualiti cetakan mereka bermutu tinggi.
Jadi siapakah di sebalik Kaki Novel?
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006








Tahniah saya ucapkan kepada PTS kerana terus berjuang menyampaikan/berdakwah kepada bukan islam tentang keindahan islam. Penggunaan bahasa mudah ini telah membuatkan saya berminat untuk membaca buku-buku agama yang diterbitkan oleh PTS. Pada pandangan saya, penggunaan bahasa mudah akan memudahkan orang islam dan bukan islam memahami islam dalam bentuk yang sebenarnya. Teruskan berjuang memandaikan bangsa melalui agama.