Tuesday, September 18, 2007

Patutkah Penulis Menerbitkan Karyanya Sendiri: Surat Tuan Osman Affan

Assalamualaikum.

Puan Sifu dan Dr. Asmadi yang saya hormati, semoga dilimpahi rahmat sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Setelah saya membaca tulisan Dr Asmadi beberapa kali, saya setuju dengan pendapat beliau mengenai penulis tidak menerbitkan buku sendiri. Bukan kerana hendak mengampu PTS, tetapi kerana kepakaran utama seorang penulis adalah untuk menulis, bukan untuk memerah otak mencari jalan bagaimana hendak mengedarkan buku tulisannya ke semua kedai buku.

Semasa saya hendak mula menulis dulu, saya ada mendapat nasihat yang sangat baik daripada En. Fauzul Naim mengenai perkara ini. Nasihat beliau ialah seorang penulis perlu fokuskan tenaganya kepada menghasilkan buku. Jika seorang penulis mahu jadi penerbit dan pengedar, pasti fikirannya akan lebih bercelaru dan akhirnya apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran.

Saya juga ada menjual buku-buku saya melalui program saya sendiri namun saya tidak akan mampu menjual buku saya sebanyak mana yang dijual oleh PTS sendiri.

Saya pernah pergi satu kedai buku kecil di Terengganu dan merasa terkejut kerana ada juga buku saya di situ. Inilah hasil kerja orang yang mahir dalam bidang mereka (PTS).

Terima kasih kepada warga kerja PTS. :)

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 17, 2007

Patutkan Penulis Menerbitkan Bukunya Sendiri: Surat Dr. Tengku Asmadi

Assalamualaikum Puan Sifu,


Saya tertarik dengan entri kali ini. Lebih-lebih lagi apabila buku saya dijadikan bahan grafiknya.


Sebagai seorang penceramah motivasi yang telah menjalankan program-program motivasi selama lebih 12 tahun pastilah perkara yang dibincangkan ini telah saya fikir semasak-masaknya.


Memang ramai yang menyarankan agar saya menerbitkan sendiri buku saya disebabkan jumlah peserta yang menyertai program-program motivasi saya telah melebihi 50,000 orang. Lagi pun nama Motivasi Alihan Pelajar itu sendiri sudah menjadi satu jenama yang semakin dikenali.


Kebanyakan mereka yang memberikan cadangan agar buku diterbitkan sendiri itu mengira dari segi keuntungan yang diperolehi semata-mata. Tetapi saya pula mengambil kira dari segi keupayaan teknikal, pemasaran, masa dan sinergi. Hendak menulis buku pun sudah cukup sibuk inikan pula mahu menerbitkannya? Ini belum lagi diambilkira masalah-masalah yang bakal timbul apabila terlibat dalam dunia penerbitan.


Malah daripada pengamatan saya mereka yang menerbitkan buku sendiri mampu memasarkan buku-buku tersebut di kalangan peserta kursus sahaja. Sukar bagi mereka menembusi pasaran luar. Kalau mereka mahu kembangkan pasaran, mereka perlu ada kakitangan yang melakukannya secara sepenuh masa dan pembentukan satu jabatan yang baru dalam syarikat memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan belum tentu dapat ditampung oleh keuntungan daripada jualan buku tersebut.


Apabila saya menggunakan penerbit yang sedia ada dan berpengalaman pula, mereka punya keupayaan teknikal yang tidak perlu saya pertikaikan lagi. Mereka juga sudah mempunyai jentera pemasaran yang membolehkan buku saya berada di seluruh pelusuk negara dalam masa yang singkat.


Sebagai contoh, buku Motivasi Alihan Pelajar saya kini boleh diperolehi melalui kedai-kedai buku ternama di seluruh negara. Cuma ada kalanya mereka kehabisan stok tetapi itu petunjuk baik bahawa buku itu laku.


Peratus keuntungan saya mungkin lebih kecil tetapi kuantiti yang terjual jauh lebih besar berbanding memasarkannya sendiri. Apabila ramai yang membaca buku Motivasi Alihan Pelajar maka program-program saya juga lebih mudah dipromosikan dan mendapat sambutan. Kerjasama dua hala yang wujud antara penulis dan penerbit banyak menjimatkan masa saya.


Apabila difikirkan masak-masak keputusan saya tidak menerbitkan sendiri buku adalah satu keputusan bijak. Malah saya tetap dapat menjual buku tersebut kepada peserta-peserta kursus kerana diberikan harga pengedar. Itu belum masuk pelbagai bentuk promosi yang telah dilakukan oleh pihak penerbit tanpa pengetahuan saya.


Terima kasih PTS dan Puan Sifu.


Selamat Berpuasa.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, June 14, 2007

Bisnes Buku adalah Kebun Ular

Bisnes buku adalah kebun ular. Jika takut dipatuk ular, jangan masuk kebun ular.

Membuka bisnes penerbitan buku bukan mainan modal kecil. Apabila pengedar tidak mahu membayar hutang RM75 ribu, kerugian saudara bukan RM75 ribu tetapi lebih, sebab royalti buku-buku yang saudara sudah jual kepada pengedar itu, saudara wajib bayar juga!

Apabila pengedar tidak bayar hutang, itu bukan masalah pengarang. Saudara tidak boleh berkata kepada pengarang, "Minta maaf, Tuan Sheikh. Pengedar tidak bayar hutang, jadi kami tidak dapat bayar royalti tuan."

Isunya di sini, buku Sheikh itu sudah saudara jual kepada pengedar itu. Soal saudara gagal mengutip hutang, itu soal lain, itu masalah saudara, itu bukan masalah pengarang. Bayar royalti, mesti bayar!

Begitu juga, saudara tidak boleh berkata kepada pencetak, "Minta maaf, En. Pencetak. Pengedar tidak bayar hutang kami, jadi saya tidak dapat bayar hutang encik."

Si pencetak sudah cetakkan buku itu untuk saudara. Saudara mesti bayar hutangnya. Kalau tidak, lain kali dia tidak mahu mencetak buku-buku saudara lagi.

Kalau saudara fikir saudara boleh minta pencetak lain mencetak buku saudara, minta maaf, para pencetak itu semuanya saling rujuk-merujuk antara satu sama lain. Mereka saling bertukar-tukar maklumat tentang rekod putih-hitam penerbit.

Sudahlah saudara rugi RM75 ribu, saudara tetap kena bayar royalti buku-buku itu (kalau 10% = RM7,500.00), dan saudara mesti bayar hutang pencetak (kredit 3 bulan sahaja).

Kalau syarikat saudara kecil, hutang RM75 ribu itu memang boleh membuat saudara tersungkur. Duit itulah yang saudara perlu roll - pusingkan - bagi membayar gaji, sewa, hutang pencetak, utiliti dan lain-lain.

Apabila duit RM75 ribu itu tidak masuk, saudara tidak dapat membayar gaji, sewa, utiliti, pencetak... bisnes saudara tercekik. Habis cerita.

Melainkan modal saudara besar, jadi saudara dapat serap kerugian RM75 ribu itu.

Dunia bisnes adalah kebun ular yang di dalamnya ada batu geliga sakti. Untuk survive dalam kebun ini, saudara bukan setakat pandai menulis buku yang laku, saudara memerlukan ilmu yang banyak, dan saudara juga mesti mempunyai modal yang banyak.

Kita sangat menasihati saudara, fikir masak-masak sebelum hendak menjadi pengarang self-published. Nasib tak baik, kata orang, saudara yang 'miskin' jadi makanan pengedar kaya.

Kalau modal saudara tidak sampai minimum RM500 ribu, lebih baik saudara kekal menjadi penulis, serahkan manuskrip saudara kepada penerbit profesional, yang tahu bagaimana hendak ketuk ular-ular itu.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 05, 2007

Menjual Buku Self-published

Adakah saudara bercadang menerbitkan sendiri buku saudara?

Berdasarkan apa yang kita perhatikan, hanya mereka yang terlibat dalam aktiviti berceramah kepada orang awam, ataupun mengajar agama, yang dapat menjual buku yang mereka tulis dan terbitkan sendiri.

Mereka menjual buku mereka kepada orang ramai yang datang mendengar ceramah mereka, ataupun kepada murid mereka.

Jika saudara bukan penceramah ataupun guru agama, jangan terbitkan buku saudara menggunakan teknologi konvensional. Cetak buku saudara menggunakan teknologi POD (publishing ondemand).

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(17) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, December 31, 2006

Teknologi POD untuk Pengarang Self-published

Apabila saudara mahu menerbitkan sendiri buku saudara disebabkan memang tidak ada penerbit yang mahu menerbitkannya, apakah yang sebaiknya saudara lakukan?

Pada masa ini teknologi POD (publishing-on-demand) sudah ada, oleh itu gunakan teknologi POD bagi buku yang amat terhad pasarannya, seperti buku puisi ataupun buku kreatif eksperimental.

Contoh buku POD adalah karya Sdr. Si Naga-Naga. Puan Nisah Haron juga menerbitkan buku puisinya menggunakan teknologi POD.

Dengan teknologi POD saudara dapat mencetak minimum 1 unit sahaja, ataupun 10 ataupun 20 unit. Wajah buku POD hampir 100% seperti buku konvensional. Hanya mata pakar buku yang dapat membezakan buku POD daripada buku konvensional.

Buat layout buku saudara, lengkap dengan cover bukunya. Pergi ke kedai cawangan DOCUPLAN ataupun mana-mana kedai fotokopi profesional yang ada dan mereka akan cetak buku saudara itu.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, December 30, 2006

Penulis cum Usahawan

Apabila saudara mahu menjadikan penulisan kerjaya sepenuh masa, maka saudara perlu berfikir sebagaimana usahawan berfikir.

Tetapi jangan melakukan suatu kesilapan yang kerap berlaku di kalangan penulis, yakni menjadi penulis self-published, yang menerbitkan karyanya sendiri.

Penulis adalah seniman. Amat jarang sekali seseorang penulis itu memiliki 2 bakat ini serentak, iaitu bakat seni dan bakat bisnes.

Penulis yang berjaya hidup sebagai penulis sepenuh masa adalah penulis yang memahami kehendak pembeli buku-bukunya, bukan penulis yang pandai menerbitkan sendiri buku-bukunya.

Bisnes menerbitkan dan memasarkan buku adalah penuh dengan kerja-kerja yang memeningkan kepala. Apabila saudara menerbitkan buku saudara sendiri, nanti saudara akan sibuk dengan kerja-kerja yang memeningkan kepala, bukan sibuk menulis.

Jangan gunakan wang simpanan saudara bagi membayar pencetak buku saudara, itu cari nahas namanya. Gunakan wang itu bagi membeli buku-buku bacaan yang penting dalam bidang yang saudara tekuni.

Katakanlah saudara mahu menulis buku-buku tentang kemahiran menjadi jurujual, laburkan RM4 ribu bagi membeli segala macam buku yang berkaitan bisnes, pemasaran, promosi, periklanan, kejurujualan, persuasi, komunikasi, negosiasi dan psikologi.

Modal RM4 ribu itu adalah modal bisnes saudara dalam bidang penulisan. (Kalau saudara membuka francais stesen minyak nasional, modalnya adalah sekitar RM350 ribu.)

Dengan memiliki buku-buku bernilai RM4 ribu itu saudara dapat menggunakan bahan-bahan dalam buku itu bagi menghasilkan buku-buku saudara.

Dan jangan lupa bahan-bahan bacaan yang terdapat dalan Internet!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, July 20, 2006

Penulis Tidak Perlu Penerbit Lagi

Penerbit dan pengedar buku konvensional (seperti PTS) berdepan dengan cabaran terbaru dari teknologi publishing on demand yang membolehkan penulis mencetak dan menjual buku sendiri..

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, May 20, 2006

Terbit Buku Sendiri

Berkali-kali kita ditanya berapa modal bagi memulakan bisnes penerbitan.Beginilah....Ada bisnes dapat dibuka dengan modal sekecil RM10 ribu, kemudian bisnes itu boleh dibesarkan hari demi hari. Bisnes membuka saloon rambut dan membuat kicap termasuk dalam bisnes jenis ini.

Ada bisnes tidak boleh dibuka dengan modal RM10 ribu. Dari awal modalnya mesti besar. Bisnes membuka hotel termasuk dalam kategori ini. Kita tidak boleh membuka bisnes hotel dengan membuat 3 buah bilik sahaja, dengan rancangan bilik-bilik baru akan ditambah lagi dari waktu ke waktu. Maknanya, dari awal hotel mesti dibuat dengan banyak bilik.

Bisnes menerbitkan buku termasuk dalam kategori modal besar.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 26, 2005

Penceramah Terbit Buku Sendiri

Apabila saudara menjadi penceramah yang mempunyai buku, ada beberapa cara saudara dapat mempromosi buku-buku saudara:





  1. Saudara boleh menjual sendiri buku-buku saudara setiap kali saudara menyampaikan ceramah. Lazimnya saudara boleh ambil buku-buku saudara daripada penerbit saudara pada harga pengedar, dan jual pada harga yang lebih tinggi.




  2. Sesetengah penerbit memberi peruntukan kepada penulis di mana penulis dibenarkan mengambil bukunya sehingga RM2 ribu ataupun lebih tanpa membayar tunai harga buku itu, sebaliknya ia akan ditolak sahaja daripada royalti penulis pada akhir tahun.




  3. Saudara juga boleh menjual buku-buku penulis lain yang saudara yakin akan dibeli oleh mereka yang hadir dalam kursus saudara.




  4. Sesetengah penerbit mempunyai pasukan pameran buku di mana mereka banyak membuat pameran buku bersama-sama penceramah yang terkenal. Cara ini lebih profesional dan amat baik untuk menjaga imej saudara kerana ketibaan saudara diiringi oleh pegawai-pegawai daripada penerbit saudara sendiri. Sebaik-baiknya saudara mencari penerbit seperti ini.




  5. Sesetengah penerbit juga bertindak sebagai pengurus publisiti penulis di mana mereka mempromosi nama-nama penulis mereka kepada para penganjur ceramah dan kepada media. Saudara patut menerbitkan buku saudara dengan penerbit seperti ini.




Sesetengah penceramah menerbitkan dan menjual sendiri buku yang mereka tulis. Apakah kelebihan dan kekurangan cara ini?





  1. Margin keuntungan saudara lebih besar sebab saudara tidak perlu memberi potongan harga kepada sesiapa. Kalau modal saudara RM2 dan saudara jual pada harga RM3, maka keuntungan saudara adalah RM1. Kalau saudara jual 3 ribu naskhah, saudara untung RM3 ribu.




  2. Mutu fizikal buku saudara menjadi rendah disebabkan saudara bukan penerbit profesional. Sebagai penulis, saudara pun mempunyai maruah, apabila buku saudara cantik, saudara berasa bangga dengan wajah buku saudara itu. Apabila buku tidak cantik, hendak meletakkan harga yang lebih pun saudara malu!




  3. Apabila saudara membawa sendiri buku saudara, imej saudara jatuh di mata hadirin yang sofisticated citarasanya.




  4. Walaupun margin keuntungan saudara lebih besar bagi setiap unit buku, tetapi jumlah jualan buku saudara lebih kecil dibandingkan dengan buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit profesional, disebabkan saudara tidak mempunyai keupayaan memasarkan buku saudara secara profesional. Yang jelas, buku saudara tidak dapat masuk kedai-kedai buku di seluruh negara. Akibatnya, apabila saudara tidak berceramah, buku saudara pun tidak bergerak dari dalam setor rumah saudara.




  5. Dengan menerbitkan buku sendiri, saudara memerlukan modal tunai bagi mencetak buku saudara.




  6. Sebagai penerbit yang tidak profesional, saudara mungkin tersalah membuat anggaran tentang jumlah yang perlu dicetak. Ada kemungkinan saudara terlebih cetak daripada jumlah yang dapat dijual.




Jika saudara hendak menjadi penceramah profesional, tulis dan terbitkan buku saudara secara profesional. Pada jangka masa panjang cara ini lebih menguntungkan saudara.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 1 pages