Monday, July 21, 2008

Bagaimana Penerbit Menipu Royalti

Penerbit saudara mempunyai pelbagai cara menipu saudara sehingga royalti yang saudara terima tidak menggambarkan jumlah sebenar sebanyak mana buku saudara terjual:

1 Saudara diberitahu buku saudara dicetak 3 ribu naskhah, tetapi penerbit mencetak 5 ribu naskhah. Ini bermakna saudara tidak menerima royalti daripada 2 ribu naskhah itu.

2. Penerbit memberitahu buku saudara tidak laku, tetapi buku saudara diulangcetak diam-diam.

3. Saudara diberitahu buku saudara dijual kepada pengedar pada harga diskuan RM6 tetapi sebenarnya ia dijual pada harga RM7.

4. Saudara diberitahu buku return yang rosak adalah 300 naskhah, tetapi sebenarnya cuma 20 naskhah.

5. Penerbit menolak manuskrip saudara dengan alasan ia tidak sesuai diterbitkan, tetapi tidak lama kemudian penerbit menerbitkan bukunya sendiri yang seakan-akan manuskrip saudara.

6. Apabila tiba musim membayar royalti, saudara diberitahu buku saudara yang laku dijual adalah 1 ribu naskhah, tetapi jumlah yang laku adalah 2 ribu naskhah.

7. Penerbit mendapat kontrak membekalkan 1 ribu naskhah kepada projek kerajaan, tetapi perkara ini tidak dimaklumkan kepada saudara.

8. Penerbit melesenkan buku saudara diterbitkan di Indonesia oleh penerbit Indonesia dengan perubahan pada nama pengarang, tetapi saudara tidak dimaklumkan.

Jikalau penerbit hendak menipu saudara, dia mempunyai banyak cara yang membolehkan saudara tidak dapat kesan dengan mudah. Itulah sebabnya saudara mesti berhati-hati memilih penerbit.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 18, 2008

Balas Dendam dalam Karya

"Puan, saya ada perkara hendak bercerita sedikit," kata lelaki itu kepada saya.

Seperti biasa, saya akan respon dengan berkata, "Berkenaan dengan perkara apa itu?"

"Puan sudah baca novel bertajuk Puncak?" kata lelaki itu.

"Belum," jawab saya. "Terbitan siapa?"

"Terbitan Dewan. Menang sagu hati dalam peraduan," jawabnya.

Lalu lelaki itu menerangkan novel itu ditulis oleh seorang yang selama 11 tahun adalah sahabat baiknya sendiri di tempat kerjanya. Novel itu menceritakan politik pejabat di sebuah jabatan kerajaan di mana lelaki itu dan si penulis berkhidmat, dengan semua watak-watak dalam novel itu adalah watak benar yang nama-nama mereka sahaja ditukar. Jadi novel itu mengejutkan banyak pihak dan menjadi topik hangat di jabatan tersebut.

"Novel itu memfitnah saya. Watak saya digambarkan sebagai seorang yang sanggup menikam dari belakang kawan sendiri, seorang kaki ampu bos, dan saya tidak layak menduduki jawatan saya sekarang. Pada pendapat puan, apa patut saya buat?" tanya lelaki itu.

Saya jawab, "Jangan buat apa-apa terhadap penulis itu. Terus bekerja kuat macam biasa. Jangan jadi macam orang botak yang menyikat rambutnya ke atas kawasan botaknya. Makin dia cuba tutup kepalanya yang botak, makin orang nampak botaknya." 

Saya pandang mata lelaki itu. Dia angguk-angguk kecil. 

Apabila kita difitnah, biar orang-orang lain yang membela kita dan menafikan fitnah itu. Kata-kata mereka lebih kredibel daripada kata-kata kita sendiri. Dalam dunia ini jumlah orang-orang yang fair-minded adalah lebih banyak daripada jumlah mereka yang unfair-minded. Sebagaimana si penulis itu menilai orang lain, orang-orang lain pun menilai dia juga.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 14, 2008

Pembelian PNM: Ada Penulis Dapat Betis, Ada Penulis Dapat Paha

Tahun 2007 melihat Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuat pembaharuan pada prosedur pembelian buku. Sebelum ini semua buku dipesan daripada kontraktor ataupun penerbit.

Apa yang berlaku, bukan semua penerbit itu jujur dalam urusan perniagaan mereka.

Akibatnya, dulu-dulu, banyak penulis yang tidak dapat apa-apa daripada projek pembelian PNM. Macam-macam nasib malang menimpa kaum penulis.

Ada penerbit yang diam-diam sahaja, langsung tidak memberitahu penulisnya bahawa bukunya dipesan oleh PNM. Jadi, semua keuntungan masuk kantung penerbit.

Bagi membela nasib penulis, mulai 2007, PNM menyediakan peruntukan khas bagi membeli buku terus daripada penulis. PNM mengeluarkan surat pesanan "LO" kepada penulis dan penulis membekalkan bukunya kepada PNM. PNM juga terus menghantar cek bayaran kepada penulis.

Tetapi, bukan semua buku dibeli oleh PNM terus daripada penulis, hanya sejumlah judul sahaja yang terlibat. Dengan cara ini dapatlah penulis merasa duit PNM itu. Pada waktu yang sama, kontraktor buku pun masih dapat bisnes juga macam yang berlaku sebelum ini.

Prosedur baru pembelian PNM ini menyebabkan sesetengah penerbit marah-marah dan pergi ke PNM bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Mereka membantah atas alasan seperti adanya buku yang hakciptanya sudah dibeli oleh si penerbit. Jadi mereka berasa PNM patut membeli buku itu dari penerbit.

Ada pula penulis yang tidak puas hati dan marah-marah, bukan kepada PNM, tetapi kepada penerbit mereka sendiri. Penulis marah-marah sebab penerbitnya cuma memberi 10% komisen kepada penulis.

Mereka mendapat tahu ada penerbit lain, seperti PTS, yang memberi komisen 35% kepada penulis-penulisnya bagi setiap judul yang dipesan terus dari penulis. Kadar 35% itu adalah kadar yang dinikmati oleh pengedar-pengedar PTS.

Walaupun penulis PTS bukan pengedar, tetapi PTS tetap memberikan kadar komisen pengedar kerana mahu menyokong hasrat PNM dalam projek pembelian terus itu, yakni supaya duit PNM dapat dinikmati oleh penulis.

Justeru penulis-penulis PTS yang bukunya dipesan terus daripada penulis, mereka memang mendapat rezeki durian runtuh daripada PNM. Bagi pembelian PNM yang bernilai RM20, penulis menerima komisen RM7 ribu, itu tidak termasuk royalti buku-buku itu yang akan dibayar oleh PTS pada hujung tahun!

Maklumat inilah yang menyebabkan penulis bukan-PTS marah-marah kepada penerbit mereka yang tamak. Dari satu sudut, hasrat PNM hendak memberi rezeki kepada penulis tidak tercapai. 

Tetapi, ceritanya tidaklah semudah itu bagi penulis-penulis PTS. Sebagai penerbit, PTS terpaksa mengurus risikonya. Justeru PTS menghendaki supaya penulis membayar harga cetak buku-bukunya, sebelum PTS membekalkan buku-buku itu kepada PNM.

Penulis-penulis PTS terpaksa membayar duit muka antara RM4,500 hingga RM10,00 kepada PTS. Ini terpaksa dilakukan sebab PNM akan menghantar cek bayaran kepada penulis. (Bagaimana andainya selepas penulis menerima cek PNM, beliau kemudian terlupa hendak membayar PTS....)

Bagi penulis-penulis PTS yang sudah mempunyai banyak judul dengan PTS, dan buku mereka sudah banyak terjual, oleh itu akaun royalti mereka besar,  maka PTS akan menolak jumlah itu daripada akaun royalti penulis.

Mereka tidak perlu membayar duit muka kepada PTS. Itulah antara banyak kelebihan penulis yang cuma berkahwin dengan PTS sahaja, dan tidak berpoligami.

Bagi penulis yang tidak mempunyai banyak buku dengan PTS, oleh sebab itu akaun royalti mereka kecil, maka mereka terpaksa membayar tunai kepada PTS.

Hmm... kasihan, sampai ada yang terpaksa dibantu oleh orang tersayang....

Nasihat PTS kepada penulis yang baru ada 1 buku dengan PTS, cepat-cepatlah siapkan buku-buku baru itu!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 06, 2008

Surat Pilihan: Mahu Tulis Novel Sebab Tidak Ada Duit untuk Menamatkan Pengajian di UTM.

Assalamualakum Sifu,

Saya berminat untuk mendapatkan pendapat sifu mengenai blog saya. Sekiranya saya ingin menggubah kepada novel jibunsyi, apakah perkara-perkara yang baik untuk saya lakukan. Saya cuma mahu memetik bahagian semasa tamat SPM, dan kisah-kisah sepanjang saya berada di universiti.

Saya berpendapat blog ini sudah hampir sampai masa untuk ditamatkan. Tahun 2008 merupakan tahun terakhir saya di universiti, sama ada saya dipaksa berhenti belajar pada pertengahan tahun ini, ataupun berjaya mendapatkan ijazah.

Saya terpaksa berhenti bukan sebab ditendang kerana gagal dalam CPA, sebaliknya kerana ketiadaan wang lagi, emak sudah berpencen, dia beri saya peluang berhenti belajar kerana tidak ada wang langsung untuk membayar yuran pengajian. Sedangkan dia tidak benarkan saya bekerja.

Yang benar,
AMIN.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(17) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, December 24, 2007

Nasib Penulis: Bisnes Buku Buluh Kasap

Entri ini ditulis khusus buat penulis yang baru menerbitkan bukunya dengan PTS, jangan sampai melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh seorang penulis PTS yang lebih senior.

PTS memberikan 35% diskaun kepada penulis-penulis PTS apabila membeli mana-mana buku terbitan PTS di bangunan setor PTS di Batu Caves. Tawaran begini hanya diberikan oleh PTS sahaja. Ia adalah salah satu 'loyalty program' PTS bagi menambat kesetiaan penulis-penulisnya. Di PTS, penulis dibenarkan membeli bukunya secara hutang.

Tawaran begini menyebabkan ada penulis yang membeli banyak bukunya sendiri dengan rancangan hendak menjualnya sendiri.  Kemudian buku-buku itu dijual kepada rakan kenalannya yang "tidak bawa duit" pada hari itu....

Apa yang berlaku seterusnya, kita sudah tahu: Penulis itu tidak dapat mengutip hutang!

Bagi PTS, jika penulis tidak dapat mengutip hutang, oleh itu tidak dapat membayar hutangnya kepada PTS, no problem, Cik Faraliza yang memegang buku kira-kira PTS akan memotong hutang itu daripada jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada penulis.... Habis cerita!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 03, 2007

Buku Mobile, Buku Kertas, Kedai Buku dan Nasib Penulis

Dalam bengkel Tuan Syaizal pada Ahad 2 September, beliau memberitahu perkembangan terkini pasaran buku mobile, iaitu itu buku yang dijual melalui handphone.

Menurut beliau, pada 2006, di Jepun 5 buah buku cetak yang masuk dalam carta Top Ten di negara itu adalah bermula sebagai buku mobile. Maksudnya buku-buku itu sudah dijual sebagai buku mobile barulah kemudian diterbitkan sebagai buku konvensional.

Buku mobile Jepun "What the Angel Gave Me" terjual 1 juta naskhah sebelum ia diterbitkan dalam bentuk buku kertas.

Apa yang berlaku di Jepun itu menunjukkan:

(a) Jualan buku mobile tidak mengurangkan jualan buku kertas. Ini tentulah berita baik untuk penerbit buku-buku konvensional seperti PTS dan kedai-kedai buku tradisional. Sebelum ini ada kekhuatiran apabila buku dapat dibeli menggunakan handphone, orang tidak berminat membeli buku kertas di kedai buku.

(b) Buku mobile dapat meningkatkan jualan buku kertas. Berita ini lebih baik. Apabila buku-buku yang ada dilesenkan kepada METADOME supaya dipasarkan sebagai buku mobile, maka ada harapan jualan edisi kertasnya naik lebih tinggi.

Perkembangan pasaran buku mobile ini adalah berita buruk kepada penulis-penulis yang telah menjual hakcipta karya mereka kepada penerbit.

Apabila penerbit menyerahkan buku itu kepada content-developer seperti METADOME supaya dijual sebagai buku mobile, penulis gigit jari. Satu sen pun dia tidak dapat. Semua royalti bukunya dikaut oleh penerbit. Ibarat menang sorak, kampung tergadai. Bukunya terkenal, namanya makin terkenal, penerbit kaya raya, penulis tengok sahaja....

Ingat pesan Sifu, jangan serahkan hakcipta harta intelek saudara kepada sesiapa, kepada syarikat milik bapa mertua sendiri pun jangan!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, June 29, 2007

Ini Pula Nasib Penulis Buku Agama Ditipu Penerbit Buku Agama

Seorang ustaz mengadu begini: Beliau menghantar manuskripnya kepada sebuah penerbit buku-buku agama yang terkenal, penerbit "T-S-T Jbsa Sdn. Bhd.".

Penerbit ini sudah lama usianya. Ia sudah menerbitkan beratus-ratus judul kitab agama, daripada yang tebal-tebal, yang berjilid-jilid, yang kulit keras, sampai yang kecil-kecil.

Selepas itu si ustaz pergi melanjutkan pelajarannya ke Mesir, buat PhD di al-Azhar.

Kemudian adiknya terjumpa buku abangnya di kedai buku. Lalu si adik pun hantar SMS kepada abangnya di Mesir memberitahu bukunya sudah terbit.

Apabila beliau pulang bercuti, beliau pun pergi ke pejabat penerbit itu dan bertanyakan betulkah bukunya sudah terbit dan mengapa beliau tidak dimaklumkan.

Beliau pun diberi 8 naskhah percuma bukunya itu oleh si penerbit.

Selepas beberapa lama, beliau bertanya kepada penerbit itu bagaimana pula dengan royaltinya. Apa kata Mamak itu? - bukunya tidak laku, jadi tidak ada royalti.

Kepada penulis buku-buku agama yang baru belajar menulis, jangan yakin penerbit buku-buku agama tidak mungkin menganiayai penulis buku agama. Siasat dahulu latar belakang sesebuah penerbit itu sebelum menyerahkan manuskrip saudara kepadanya.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, June 26, 2007

Nasib Penulis Skrip

Seorang nama besar di PTS (maklum sudah punya 4 novel) pernah mengalami nasib begini:

Sebuah penerbit drama TV menghubungi beliau dan meminta beliau menulis skrip drama sejarah bertajuk Si Bongkok Tanjung Puteri, dengan janji beliau akan dibayar sekian ribu, sekian ribu, apabila skrip itu sudah diterima.

Maka beliau pun menuliskan skrip itu lalu diserahkan kepada syarikat tersebut.

Maka ditunggulah ribu ribu yang dijanjikan, maka tidak datang juga.

Beberapa lama kemudian beliau mendapat maklumat syarikat itu gulung tikar. Tidak mengapalah. Yang mengejutkan adalah, syarikat itu telah menjual skrip tersebut kepada penerbit lain!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, June 16, 2007

Entri Ini akan Disaman! (Apa Sebab Penerbit Menyorok-nyorokkan Identiti Pemiliknya)

Sifu menerima mesej SMS yang menggertak entri ini akan dihantar kepada peguam bagi tindakan selanjutnya. Ini tentulah pelik. Entri ini tidak menyebut nama mana-mana penerbit.

Bagi beberapa penerbit yang nama mereka sekarang sedang hangat disebut-sebut oleh penulis-penulis yang tidak puas hati, langkah menghantar surat peguam kepada blogger bukan penyelesaian.

Penyelesaiannya adalah, bayarlah sahaja royalti penulis-penulis itu. Kalau tidak mampu membayar semua, bayar secara beransur-ansur.

Kos membuka fail peguam libel yang baik di KL ini adalah minima RM20 ribu. Gunakan duit itu untuk membayar royalti penulis.

Kalau kalah di mahkamah, pihak yang disaman malu boleh menuntut gantirugi. Sudahlah RM20 ribu hangus, kena bayar kos mahkamah pula, kena tuntut gantirugi lagi...

Kalau tidak sanggup nama kita menjadi perbualan komuniti penulis, jangan buka bisnes penerbitan buku.

Di bawah adalah entri:

Peringatan kepada penulis-penulis baru: Sebelum saudara menyerahkan manuskrip saudara kepada mana-mana penerbit, siasat dahulu siapa pemilik syarikat itu.

Ada sebuah penerbit novel cinta yang baru muncul dalam pasaran, tetapi nampaknya ia berjaya cepat naik. Penerbit ini menyorokkan identiti pemiliknya. Siapakah sebenarnya pemilik syarikat itu, sesama orang industri buku pun bertanya-tanya sesama sendiri.

Apabila kita tanya seorang yang mengaku hanya bertugas sebagai editor sahaja dalam syarikat itu, si editor mengelak-ngelak tidak mahu memberitahu siapa bosnya. Adakah si editor itu salah seorang pemilik syarikat itu?

Perbuatan menyorok-nyorok begini akan hanya menimbulkan banyak gosip dan fitnah.

Motif utama orang bisnes menyorok-nyorokkan identitinya adalah supaya dia senang lepas tangan apabila ada perkara buruk berlaku. Kedua, dia tidak mahu diganggu oleh penagih hutang dan penulis yang royaltinya tidak dibayar.

Jadi, hati-hatilah, wahai penulis baru...

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(10) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 10, 2007

Nasib Penulis Novel Cinta

Penulis-penulis novel cinta yang baru mencuba nasib, yang belum ada nama, amat terdedah kepada risiko tidak menerima royalti.

Penerbit novel cinta yang membayar royalti penulis dengan betul adalah amat-amat kecil, hanya dua atau tiga sahaja. Yang paling baik rekodnya adalah ALAF21.

ALAF21 menjadi tumpuan semua penulis novel cinta. ALAF21 hanya menerbitkan 3 buah novel sebulan.

Nama UTUSAN tidak sewangi nama ALAF21. UTUSAN juga tidak menjamin dapat menerbitkan novel mereka dengan cepat.

Kebanyakan penulis baru tidak sanggup menunggu lama bagi mendapatkan giliran novel manuskrip mereka diterbitkan oleh ALAF21. Mereka amat ingin melihat novel mereka terbit. Ertinya mereka terpaksa mencari penerbit lain.

Penerbit selain ALAF21 mempunyai kredibiliti yang kurang baik. Yang dulu rekodnya amat baik, sekarang sudah tidak baik lagi, macam-macam cerita yang tidak elok beredar dari mulut ke mulut.

Penerbit baru macam KarnaDya pula tidak masuk ke dalam sektor novel cinta, oleh itu ia memulangkan semua manuskrip yang diterimanya. KarnaDya memfokuskan pada novel-novel remaja sahaja, itu pun mesti ikut kehendaknya.

Yang sanggup menerbitkan novel mereka dengan cepat adalah penerbit-penerbit yang baru muncul di atas persada novel cinta. Maka ke situlah penulis-penulis baru itu menghantarkan manuskrip mereka.

Maka di situlah mereka terkena....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Lagi-lagi Penerbit Tak Bayar Royalti

Kita banyak menerima maklumat ada sebuah penerbit novel cinta yang sedang naik namanya yang tidak membayar royalti. Penerbit ini penerbit baru tetapi sudah menerbitkan hampir 40 judul novel cinta.

Di sesetengah kedai buku novel-novel penerbit ini sudah mendapat rak sendiri.

Tiga orang penulis yang tidak puas hati telah pergi mencari alamat penerbit itu, dan akhirnya mereka berjumpa alamat yang tercetak dalam novel-novelnya. Alamat itu adalah alamat sebuah rumah murah yang disewa oleh sekumpulan gadis-gadis kilang.

Kita menasihati penulis-penulis muda supaya berhati-hati memilih penerbit. Tanya dahulu penulis-penulis lain yang lebih senior dan dapatkan maklumat tentang latar belakang sesebuah penerbit sebelum menyerahkan karya saudara.

Untuk info tambahan, tulis emel klik di sini.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, June 08, 2007

Isu Honorarium

Dalam bahasa biasa, makna honorarium adalah saguhati. Justeru, ia berbeza daripada istilah royalti.

Honorarium dibayar satu kali sahaja. Akhbar dan majalah membayar honorarium kepada penyumbang artikel.

Salah sebuah akhbar Melayu terbesar tidak secara automatik membayar honorarium kepada penulis artikel, cerpen dan sajak yang mereka terbitkan.

Jadi penulis-penulis itu sendiri terpaksa membuat fotokopi karyanya yang diterbitkan itu, hantar kepada akhbar tersebut, dan tagih honorariumnya! Baru dapat bayaran.

Cerita akhbar dan majalah tidak membayar honorarium adalah cerita yang biasa berlaku. Dalam kes seperti ini, kedudukan penulis amat lemah. Hampir tidak ada cara yang munasabah bagi membela nasib sendiri.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(9) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, June 04, 2007

Nasib Penulis: Kali ini Penulis Novel Fantasi

Dalam bengkel fantasi anjuran PTS yang lalu, begitu ramai yang hadir sehingga tidak cukup kerusi. Ada yang duduk di luar bilik kuliah sahaja, kepala terjengah-jengah dalam pintu!

Salah seorang peserta yang hadir, menunjukkan kepada Sifu 2 naskhah novel fantasinya.

Saya tengok, kedua-dua naskhah itu adalah novel yang serupa. Sebagai 'orang lama' dalam dunia buku, mata saya tajam, lalu serta-merta saya dapat melihat kedua-dua buku itu serupa serba-serbi, kecuali warna kertasnya!

Saya mengesyaki, novel beliau itu sudah diulangcetak, itu sebab kertasnya tidak serupa, tetapi tidak dinyatakan demikian pada halaman imprintnya.

Perbuatan seperti ini lazim dilakukan apabila penerbit tidak mahu membayar royalti tambahan bagi naskhah ulangcetak. Mereka akan berdusta dengan berkata, "Buku awak tidak laku." meskipun kedai buku memberitahu bahawa buku itu laku, dan sudah banyak kali membuat re-order kepada penerbit.

Novel beliau diterbitkan oleh 'nama baru'. Penerbit baru itu adalah anak syarikat sebuah penerbit komik Melayu yang terkenal saat ini.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, April 30, 2007

Pesta Buku: Nasib Penulis DBP

Dalam majlis gilang gemilang pelancaran buku dan CD lagu kanak-kanak oleh DS Rosmah Mansor - Pemangku Wanita Pertama itu sungguh anggun dan nampak 10 tahun lebih muda disebabkan seri baju biru keADILan yang dipakainya naik ke muka.

Majlis diadakan di ruang legar utama PWTC. Di atas pentas, Dato' Dr. Anwar Ridhwan sedang bersungguh-sungguh memperkenalkan buku dan CD itu, macam buku itu bukunya sendiri.

Kemudian Dato' Dr. Firdaus Abdullah, Ketua Pengarah DBP pula berucap, juga dengan bersungguh-sungguh meyakinkan DS Rosmah Mansor bahawa DBP bekerja keras menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana yang diamanahkan.

Kemudian Dr. Lim Swee Tin naik ke atas pentas, dapat membaca sajak. Kemudian Marsli N.O. naik ke pentas, dapat baca sajak. Kemudian koir kanak-kanak naik ke atas pentas, dapat menyanyi.

Saya duduk di meja tepi dinding, di luar ruang majlis, makan nasi lemak (beli sendiri, sudah jam 11.30 pagi, belum sarapan) ditemani En. Razak, pegawai DBP dan sahabat baik saya. Sambil makan sambil 'nonton acara gilang gemilang itu dari jauh.

Duduk di meja saya adalah Dr. Bustam Kamri dan Dr. Putri Zabariah. Mereka berdua adalah penulis buku Tadika Berkualiti terbitan PTS. Saya mahu belanja mereka makan nasi lemak, tetapi mereka menolak.

Kemudian datang seorang pegawai perempuan DBP memberitahu kedua-dua teman semeja saya itu bahawa nanti mereka dikehendaki naik ke pentas apabila nama mereka dipanggil bagi menerima cenderamata. (Kebetulan kedua-duanya adalah penulis buku yang sedang dilancarkan!)

Nota: Tolong jangan tulis komen mengutuk para petugas DBP pada majlis itu!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 07, 2007

Risiko Pengarang Bercerai

Penerbit buku-buku motivasi khuatir apabila pengarang motivator mereka menghadapi masalah rumah tangga.

Di Indonesia, motivator paling top sejak 10 tahun lalu adalah Aa Gym. Beliau kerap membawa isterinya muncul di khalayak.

Buku-buku, VCD, CD, pakej training, kuliah terbuka, rancangan TV dan radionya amat popular. Beliau kaya raya. Statusnya serupa dengan artis selebriti. Lebih banyak orang datang mendengar Aa Gym bercakap daripada mendengar Presiden Bambang Yudoyono bercakap.

Baru-baru ini seluruh Indonesia gempar, terkejut, banyak yang tidak mahu percaya, apabila tersebar berita bahawa Aa Gym mengambil isteri kedua, seorang artis janda beranak tiga.

Di Amerika, motivator kasih sayang yang paling popular dan kaya raya adalah Dr. John Gray, penulis siri "Men are from Mars. Women are from Venus". Jualan bukunya jatuh merudum apabila tersebar berita beliau bercerai dengan isterinya.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, December 31, 2006

Nasib Penulis: Hakcipta Karya Menang Sayembara

Apabila karya saudara memenangi sebarang peraduan, adakah saudara tahu apa nasib hakcipta karya saudara itu?

(a) Meskipun saudara menerima RM50 ribu sebagai hadiah, adakah saudara masih memiliki hakcipta saudara?

(b) Adakah hakcipta karya yang menang diambil oleh penganjur?

(c) Adakah saudara dikehendaki menandatangani sebarang surat persetujuan menyerahkan hakcipta karya saudara yang menang kepada penganjur?

Banyak penganjur peraduan mengarang tidak bersikap telus disebabkan mereka tidak menuliskan terma hakcipta bagi karya yang menang dalam brosur yang diedarkan.

Jangan sampai berlaku bak kata pepatah: Menang sorak kampung tergadai. Dapatkan maklumat yang betul sebelum menghantar karya saudara kepada sebarang peraduan.

Kos menganjurkan peraduan mengarang adalah amat mahal, oleh itu sesetengah penganjur cuba mendapatkan semula modal yang sudah dibelanjakan itu dengan mengenakan syarat hakcipta karya yang menang diserahkan kepada penganjur.

Nota: PTS sekarang sedang menganjurkan Lomba Menulis Novel Cinta Islami. Bagi semua karya yang menang, hakciptanya masih kekal di tangan pengarang.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 29, 2006

Trik Basi Penulis Penipu

Seorang jurufoto yang bertugas dengan sebuah syarikat media datang ke PTS membawa manuskripnya tentang teknik kejurufotoan.

Editor perolehan PTS, En. Ikram, yang melayan kedatangan jurufoto itu menjawab semua pertanyaannya berkenaan hakcipta dan royalti. Adalah dasar PTS tidak membeli hakcipta penulis demi menjaga kepentingan para penulis sendiri.

Jurufoto itu puas hati dengan penerangan itu tetapi dia tidak mahu menyerahkan manuskripnya, atas alasan beliau hendak berfikir dahulu.

Tiga hari kemudian jurufoto itu menelefon En. Ikram dan memberitahu sebuah syarikat penerbit XYZ sanggup membeli hakcipta manuskripnya dengan harga RM8,000. Katanya lagi, kalau PTS mahu, dia boleh jual kepada PTS 10,000.

Dia pun membuat temujanji mahu berjumpa lagi dengan En. Ikram. Mereka pun berjumpa tetapi En. Ikram memberitahu konon beliau "akan tanya bos dulu" sebab beliau cuma hendak tengok sahaja lagak si penipu ini.

Kita di PTS pun ada network dengan staf penerbit-penerbit lain, bak kata pepatah, burung sebulu terbang sama, yakni orang penerbitan berkawan dengan orang penerbitan.

Apabila kita tanya kenalan kita di penerbit XYZ itu, rupa-rupanya si jurufoto memang ada pergi ke sana, tetapi dia beritahu kononnya PTS sudah sanggup beli hakciptanya RM8,000, jadi kalau penerbit XYZ mahu, dia sanggup jual RM10,000.

Sampai sekarang si jurufoto itu tidak menghubungi En. Ikram.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Nasib Penulis: Buku Laku tetapi Pengarang Berhutang kepada Penerbit

Salah seorang penulis buku motivasi pelajar cemerlang mengalami nasib yang sungguh tidak cemerlang!

Begini kisah benarnya.

Beliau seorang wartawan dengan sebuah syarikat media yang amat terkenal. Dengan tradisi kewartawanan yang baik, beliau menulis sebuah buku panduan yang mengandungi maklumat bagus tentang semua kolej dan IPT di negara ini dan kursus-kursus yang ditawarkan.

Sebagai wartawan juga, beliau kenal ramai orang politik, maklumlah beliau selalu membuat liputan kegiatan politik menteri-menteri kabinet.

Pada suatu masa beliau mendapat ilham bisnes yang sungguh bagus iaitu menjual bukunya kepada seorang tokoh politik supaya dihadiahkan ke semua pelajar khemah motivasi pelajar cemerlang dalam kawasan piliharaya tokoh itu.

Tokoh itu suka dengan idea itu lalu memesan 500 naskhah! Si penulis pun mengambil 500 naskhah bukunya dari PTS atas namanya.

Beliau mengira-ngira untung besar yang beliau boleh dapat. Sebagai penulis PTS beliau boleh membeli bukunya sendiri dengan diskaun yang amat bagus. Beliau boleh jual kepada YB itu pada harga penuh. Jadi diskaun dapat, royalti pun dapat!

Buku-buku itu diserahkan kepada YB tokoh kabinet itu lalu si YB pun memberikan seorang satu naskhah semua pelajar yang hadir dalam program motivasi anjuran partinya.

Semua peserta seronok mendapat buku yang bagus itu. Si YB lebih-lebih lagi puas hati mendapat tepukan gemuruh daripada para peserta!

Sampai masa PTS mengira royalti, si penulis masih belum dapat menagih bayaran dari YB itu. Setelah ditolak hutang 500 naskhah bukunya daripada royalti, didapati dia terhutang RM4800 kepada PTS! Sekarang hutang itu sudah jadi hutang lapuk PTS.

Semenjak kes itu berlaku, PTS tidak membenarkan penulis mengambil bukunya melebihi nilai jumlah royaltinya!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 22, 2006

Penulis Baru dan Strategi Survival dalam Dunia Bisnes Buku

Ikan-ikan kecil, seperti bilis, selar, barakuda, sardin, cencaru dan kembung, mereka berenang di lautan biru dalam kelompok besar. Manakala ikan jerung putih berenang bersendirian.

Burung-burung kecil yang sebulu, mereka terbang tinggi di langit biru merentasi benua bersama-sama. Helang terbang bersendirian.

Dalam dunia bisnes buku, apabila nama saudara adalah nama baru, maka saudara adalah ibarat ikan kecil dan burung kecil. Jangan berenang ataupun terbang bersendirian.

Orang kecil, masuk kumpulan. Berenang dan terbanglah dalam kumpulan besar. There is safety in numbers. Makin besar kelompok saudara, makin tinggi kadar survival saudara.

Jika saudara penulis baru, masuklah kumpulan. Jangan menulis buku yang unik, yang lain daripada yang lain. Nanti, hendak cari penerbit pun susah, tidak ada yang berani menerbitkan buku saudara.

Jika saudara penerbit baru, masuklah kumpulan. Jangan terbitkan judul-judul yang unik, yang penerbit lain pun belum terbitkan. Nanti amat susah menjualnya.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, December 10, 2006

Nasib Pengarang Buku Dilelong

Langkah melelong buku adalah perkara yang biasa dilakukan oleh penerbit. DBP-DAWAMA malah menjadikan acara lelong buku sebagai acara tahunan yang tetap!

Apabila buku saudara dilelong, apakah implikasinya kepada saudara? Sebagai contoh, apakah saudara berhak mendapat royalti daripada jualan lelong itu?

Jawapannya:

1. Saudara perlu baca semula terma-terma yang tertulis dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani. Apakah yang tertulis dalam dokumen itu? Lazimnya ada terma di mana penulis bersetuju dia tidak akan dibayar sebarang royalti daripada jualan secara lelong.

2. Jika saudara sudah menjual hakcipta karya saudara kepada penerbit, saudara tidak berhak menerima apa-apa bayaran daripada jualan lelong itu.

3. Lazimnya, penulis akan dimaklumkan bahawa bukunya akan dilelong. Ini hak penulis. Ini juga membolehkan pengarang membeli semua naskhah yang hendak dilelong bagi menyelamatkan air muka penulis. Maklumlah, siapa pula yang tidak malu bukunya dilelong!

4. Dalam penyata jualan yang dihantar kepada penulis, lazimnya penulis diberitahu berapa naskhah bukunya yang terjual secara lelong. Ini adalah hak penulis.

Jangan terkejut apabila dalam pesta lelong buku, ada pihak yang datang dan membeli dengan kuantiti yang banyak. Mereka adalah penjual buku.

Mereka beli buku saudara pada harga lelong yang amat murah dan menjual semula buku itu dengan margin yang besar. Novel yang dilelong pada harga RM2.00 dapat dijual semula pada harga RM3.00!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Rythm Lelong Novel di DBP

Ini berita baik! Di kedai buku DBP sekarang ada novel-novel Rythm sedang dilelong RM2.00 senaskhah. Ada sekitar 25 judul sedang dilelong. Judul-judul itu adalah judul yang sudah lama tidak dapat dijual lagi.


Bagi saudara yang ada novel dengan Rythm, elok saudara tengok apakah novel saudara termasuk antara yang dilelong. Beli sekarang untuk arkib peribadi saudara!


.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, July 19, 2006

Menang Tapi Dilelong

Sewaktu kita rehat minum teh di bengkel penulisan novel sejarah, seorang peserta datang dan mecurahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sebuah penerbit karya sastera dan hadiah-hadiah sastera yang terkenal (bukan DBP).Novelnya yang pernah menang tempat kedua beberapa waktu duhulu sekarang sedang dijual lelong oleh si penerbit yang menganjurkan hadiah itu!.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 21, 2005

Lagi-lagi Nasib Penulis

Seorang penulis novel berasa amat seronok dengan sikap penerbitnya yang dianggapnya sangat baik hati dan bertimbang rasa.


“Awak tulis sahaja. Mana-mana bab yang sudah siap, bolehlah serahkan kepada saya, nanti saya terus bayar, tak payah tunggu lama-lama,” janji penerbit itu kepadanya.


Setiap kali si penulis menghantarkan bab-bab novel cintanya kepada penerbit itu, si penerbit segera membayar RM100 ataupun RM200, terpulang kepada jumlah bab yang diserahkan. Ada masanya dia menerima RM500.


Apabila akhirnya dia mendapat tahu novelnya sudah terbit, didapati namanya tidak tercetak pada novel itu. Yang dicetak adalah nama penulis lain! Maka berguling-guling dia menangis....


Apakan daya, si penulis main percaya sahaja kepada penerbit itu. Tidak ada sebarang dokumen yang membuktikan adanya sebarang persetujuan antara dia dengan penerbitnya.


Cerita seperti ini sentiasa berlaku antara penulis baru (baca 'penulis kecil') dengan penerbit kecil (baca 'penerbit tidak terkenal').


Salah satu tingkah laku penerbit kecil yang menyebabkan mereka tidak dapat membangun menjadi penerbit besar adalah, lazimnya mereka melakukan pelbagai perbuatan tidak beretika terhadap penulis. Akibatnya nama mereka menjadi busuk, dan mereka tidak dapat mengekalkan kesetiaan penulis-penulis yang pernah menerbitkan karya dengan mereka.


Salah satu tingkah laku penulis yang tidak puas hati terhadap penerbit mereka adalah, mereka itu bercakap dengan penulis-penulis lain berkenaan penerbit yang menipu mereka.


Dalam suatu kajian di Jepun, didapati seseorang yang tidak puas hati bercakap kepada 29 orang lain. Itu di Jepun, barangkali di Malaysia, lebih lagi!


Apabila saudara mahu menjadi penerbit berjaya, jaga etika perniagaan saudara sebagaimana saudara menjaga nyawa saudara.


Apabila saudara mahu menjadi penulis yang berjaya, jaga-jaga semasa memilih penerbit, sebagaimana saudara memilih bakal pasangan hidup saudara.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, August 15, 2005

Nasib Penulis (lagi)

Kisah ini benar-benar pernah berlaku kepada seorang penulis terkenal. Beliau sekarang seorang profesor!


Pada suatu masa penulis itu mempunyai seorang kenalan yang ingin menjadi penerbit buku. Si kenalan memujuk supaya penulis itu sanggup menyerahkan mana-mana buku yang akan ditulis kepadanya bagi diterbitkan.



Penulis itu pun menyerahkan sebuah novelnya. Si kenalan itu pun menerbitkannya.



Dua tahun lebih semuanya senyap sahaja. Penulis itu pun pergi ke pejabat kenalannya. Kalau dapat, dia hendak meminta royalti.



Si kenalan memberitahu dia mencetak bukunya 3 ribu naskhah. Satu ribu naskhah sudah diserahkan kepada 3 buah pengedar, tapi cuma 400 yang laku. Yang lain ada dalam setornya mengumpul debu.



Kemudian si kenalan memberitahu dia tidak minat menjadi penerbit. Dia sudah menjadi pengedar minyak masak.



“Aku tak ada duit nak bayar royalti hang,” kata si kenalan. “Kalau mau, hang ambillah berapa botol minyak masak buat ganti royalti hang!”



Maka si penulis pun mengisi but keretanya dengan botol-botol minyak masak....




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 12, 2005

Bagaimana Penulis Ditindas (Lagi)

Zurinah adalah penulis baru yang berbakat, tetapi dia tidak tahu bakatnya setinggi mana. Dengan keyakinan karyanya tidak akan diterima oleh DBP, Creative, Utusan ataupun Alaf21, dia menghantar novel pertamanya ke sebuah penerbit kecil yang mempunyai seorang editor Melayu sepenuh masa.


Selepas seminggu Zurinah menelefon editor itu dan bertanya khabar. Dia diberitahu novelnya diterima untuk diterbitkan.


"Sedaplah cerita awak," kata editor itu. "Touching! I sedih baca," katanya lagi.


Dua bulan kemudian Zurinah ke kedai majalah dan ternampak novelnya dipamerkan dalam kedai kecil itu. Hatinya gembira bukan kepalang, dia terus membeli semua 4 naskhah yang masih belum terjual.


"Semua?" Mamak itu bertanya macam tak percaya.


"Semua!" kata Zurinah. "Ini novel saya!" katanya lagi tanpa ditanya.


"Wah! Bagus, ini novel banyak laku. Baru 5 hari saya sudah jual 20!" kata si Mamak.


Besok pagi Zurinah pergi ke pejabat penerbit itu dengan harapan dia boleh mendapat apa-apa jua bentuk bayaran.


"You tulis satu lagi novel, nanti I bayarlah novel you yang ada sekarang," kata tuan punya penerbit itu.


"Kalau aku tulis novel kedua, kalau aku serahkan kepadanya, apa jaminan dia akan bayar aku?" kata hati Zurinah.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 09, 2005

Karyawan Makan Sekali, Penerbit Makan Berkali-kali

Setiap bulan wartawan daripada sebuah akhbar gaya hidup menelefon seorang penggubah hantaran pengantin. “Ada tempahan bulan ini?” tanya si wartawan.

“Ada,” jawab si penggubah dengan gembira.

“Ok, nanti saya datang dengan jurufoto,” kata wartawan itu.

Seperti yang dijanjikan, apabila semua gubahan sudah siap, wartawan dan jurufoto itu pun datang dan mengambil gambar-gambar gubahan dengan cara-cara yang profesional bagi disiarkan dalam akhbar itu dalam kolum “Gubahan Minggu Ini”.

Setiap bulan si penggubah menerima cek bayaran daripada akhbar itu kerana gambar gubahannya disiarkan. Bagi setiap gambar gubahan yang disiarkan dia dibayar RM100. Ia adalah pendapatan tambahan selain bayaran yang diterima daripada keluarga pengantin yang menempah gubahannya.

Keadaan ini berterusan selama lebih 2 tahun.

Pada suatu masa si penggubah pergi ke kedai majalah dan ternampak buku cantik dengan tajuk “Sirih dan Pinang Untuk Pengantin” yang sangat cantik kulitnya, dijual dengan harga RM32 senaskhah. Dalam buku itu terdapat bermacam-macam gubahan sirih pinang buat hantaran pengantin.

Sebagai seorang penggubah hantaran, dia terus mengambil buku itu dengan niat membelinya untuk rujukan dan sumber ilham apabila dia sendiri membuat gubahan untuk pelanggan-pelangganya. Buku itu diterbitkan oleh penerbit akhbar gaya hidup yang selalu menyiarkan gambar gubahannya.

Daun-daun halaman buku itu diselak, diselak dan diselaknya. Hampir 50% gambar-gambar yang disiarkan di dalam buku itu adalah gambar-gambar gubahannya yang dulu pernah disiarkan dalam kolum akhbar. Berderau darahnya!

Bulan demi bulan berlalu, dia menunggu jikalau ada cek datang dari penerbit itu. Cek yang ditunggu-tunggu tidak juga datang. Dia berasa dirinya sudah tertipu sebab penerbit telah membuat banyak keuntungan daripada gubahannya, manakala dia tidak dibayar apa-apa lagi.

Wajarkah si penggubah berasa dirinya ditipu oleh si penerbit? Wajarkah penerbit membayar sekali sahaja kepada si penggubah, tetapi menggunakan gubahannya itu berkali-kali untuk mengaut lebih banyak keuntungan?

Bolehkah si penggubah membawa kesnya ke mahkamah?

Siapakah yang memiliki harta intelektual ke atas karya gubahan hantaran pengantin? Adakah ia milik si penggubah?

Apabila penerbit membayar RM100 bagi setiap gubahannya yang diterbitkan, di mana gambar-gambar itu diambil oleh jurufoto yang bertugas dengan penerbit, adakah harta intelektual ke atas gambar-gambar itu milik si penerbit?

Dalam kes ini, bahan-bahan yang digubah adalah milik keluarga pengantin. Upah membuat gubahan itu sudah dibayar oleh keluarga pengantin.

Bolehkah si penggubah membenarkan mana-mana penerbit mengambil gambar-gambar gubahannya itu dan menerbitkannya, dan pada waktu yang sama si penggubah sendiri menerima bayaran atas gubahan itu daripada penerbit?

Kisah benar di atas berlaku disebabkan para penyumbang bahan penerbitan tidak mempunyai pengetahuan berkenaan undang-undang harta intelektual dan bagaimana cara-cara yang betul apabila berurusan dengan pihak yang menerbitkan harta intelektual mereka.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Bagaimana Penulis Ditipu Penerbit

Seorang ustaz pergi ke pejabat sebuah penerbit agama dan berjumpa dengan tuan punya penerbit itu. Memang begitulah, penerbit buku-buku agama di negara kita masih 'one man show' di mana dia kontrol serba-serbi urusan perniagaannya.

“Saya ada dua buku,” kata si ustaz. “Satu buku 'Asas-asas Fiqah', satu lagi buku 'Doa-doa Penerang Hati'.

 

“Buku macam itu tidak laku, ustaz. Susah mahu jual,” kata si penerbit. “Kalau ustaz mahu, dua buku satu ribu, bolehlah.”

 

Ustaz itu pun menyerahkan disket yang mengandungi dua bukunya itu. Si penerbit membuka laci mejanya dan mengeluarkan wang tunai RM1 ribu. Disket dan wang itu pun bertukar tangan.

 

Kalau buku itu tidak laku, mengapakah tanpa banyak soal-jawab, si penerbit sanggup membelinya?

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 1 pages