Thursday, October 01, 2009

PTS adalah ‘Penerbit Kuih Tempah’

PTS adalah penerbit yang amat komersial sifatnya.

PTS melakukan kajian pasaran terlebih dahulu sebelum memasuki mana-mana sektor produk. Selepas kajian pasaran dilakukan barulah PTS membina judul-judul yang dimahukan oleh pasaran sahaja. PTS tidak berani menerbitkan buku yang dikhuatiri sukar dijual melalui kedai-kedai buku komersial.

Inilah rahsia (yang bukan lagi rahsia) bagaimana PTS berjaya menerbitkan buku-buku yang digemari oleh pekedai buku. Dalam erti kata yang mudah, PTS adalah sebuah “penerbit kuih tempah".

Isi kandungan buku-buku terbitan PTS adalah diluluskan oleh editor sebelum beliau memberikan lampu hijau kepada pengarang supaya mula menuliskan buku itu.

Pengarang dikehendaki supaya menghantar dahulu sinopsis buku, baik fiksyen mahupun bukan-fiksyen kepada editor bagi dibaca dan dinilai apakah buku itu dapat dijual dengan baik.

Itulah sebabnya tuan dan puan perlu menghadiri kursus-kursus PTS, sebab dalam kursus-kursus itu nanti akan diberitahu buku-buku yang bagaimana yang PTS mahukan.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, December 10, 2008

Tip Memilih Perkataan untuk Judul Buku

Salah satu judul buku yang mendapat sambutan hangat di pasaran sekarang adalah RAHSIA BISNES ORANG CINA

Banyak buku yang kandungannya baik tetapi tidak berapa laku dijual disebabkan judul buku itu. Contoh judul buku yang tidak mendapat sambutan adalah Menangani masalah Keruntuhan Akhlak Remaja Melayu.

Tidak semua perkataan sesuai dijadikan judul buku. Ada perkataan yang mempunyai nilai komersial tinggi, manakala ada perkataan yang tidak mempunyai nilai komersial.

Penerbit yang baru mula menceburi perniagaan penerbitan buku biasanya tidak mengubah judul asal yang dicipta oleh penulisnya. Mereka masih baru oleh itu pengetahuan mereka tentang bidang penerbitan belum banyak.

Lazimnya para penulis tidak menggunakan maklumat pasaran apabila mencipta judul buku yang mereka tulis. Itulah sebabnya banyak judul buku yang dicadangkan oleh penulis ditolak oleh penerbit yang sudah lama dalam pasaran.

Penulis lazimnya memilih judul yang pada pandangan mereka dapat dengan tepat mencerminkan isi kandungan buku. Sebagai contoh buku yang ditulis berkenaan pelbagai masalah yang dialami oleh ibu-ibu tunggal mungkin diberi judul "RANJAU-RANJAU IBU TUNGGAL". Memang judul ini memberikan gambaran tepat berkenaan isi kandungan buku itu, tetapi penerbit akan menolaknya kerana perkataan 'ranjau' dan 'ibu tunggal' tidak mempunyai nilai komersial.

Contoh perkataan yang tinggi nilai komersialnya adalah 'kejayaan' dan 'jutawan' sebab ramai orang hendak berjaya dan ingin menjadi jutawan.

Buku dijual sebagai suatu 'pakej'. Isi kandungan buku mesti memenuhi keperluan pembaca sasaran. Judulnya mesti mempunyai nilai komersial. Wajah kulit dan wajah dalamannya juga mesti menarik.

Blurp mestilah dapat meyakinkan pembeli bahawa dengan membeli buku itu ia adalah suatu pembelian yang menguntungkannya.

Judul buku dicipta dengan menggunakan beberapa patah perkataan sahaja. Lebih sedikit jumlah perkataan, itu lebih baik.

Jika judul buku panjang ia terpaksa menggunakan saiz huruf yang kecil, kalau tidak judul itu tidak muat dituliskan pada kulit buku. Judul yang kecil tidak dapat dibaca oleh pelanggan yang masuk kedai yang harus membaca dari jarak jauh.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 23, 2008

Mengapa Ada Manuskrip Lambat Masuk Tetapi Cepat Terbit

Salah satu faktor yang mematahkan semangat penulis untuk mula menulis buku baru seterusnya adalah buku yang sudah diserahkan kepada penerbit masih belum terbit.

Dengan andaian penerbit saudara adalah penerbit yang efisien cara kerjanya, tetapi kes buku saudara lambat terbit, manakala buku-buku lain cepat terbit, tentu saudara hendak tahu mengapa.

Penerbit tidak menggunakan logik "manuskrip buku yang masuk dulu, terbit dulu".

Bisnes penerbitan dan pemasaran buku mempunyai logiknya sendiri. Sesetengah buku laku dijual sepanjang tahun, manakala sesetengah buku laku bermusim.

Penerbit buku mempunyai takwim penerbitan buku.

Sebagai contoh, buku panduan bagi ibu-ibu yang hamil kali pertama dapat dijual sepanjang tahun. Buku panduan naik haji mula laris bermula dua bulan sebelum musim haji tiba.

Buku-buku agama dan resipi biskut dan kek pula amat laris pada bulan puasa!

Justeru, jika saudara menghantar kepada penerbit buku resipi biskut dan kek pada bulan puasa tahun ini, malanglah nasib manuskrip saudara itu. Tunggulah sampai tiba bulan Ramadhan tahun depan....

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, September 19, 2008

Tip Survival Bisnes Buku: Mempakej Buku Agama untuk Perempuan Remaja

Perempuan adalah pembeli terbesar buku-buku dalam kedai buku. Buku-buku agama sekalipun lebih banyak dibeli oleh perempuan daripada lelaki.

Seorang pengedar buku-buku terbitan tempatan pernah berkata, "Nasib baik ada perempuan, kalau tidak, kita mahu cari makan pun susah!"

Bagi penerbit, buku-buku yang ditargetkan kepada perempuan perlu dipakejkan sesuai dengan citarasa perempuan.

Lihat contoh cover buku di sebelah ini. Buku itu ditargetkan kepada perempuan remaja. Justeru, konsep cover buku agama itu adalah ala-ala cover novel cinta pop!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 15, 2008

Siapa yang Menentukan Ilustrasi Buku

Adakah saudara baru hendak belajar menjadi penulis?

Kalau ya, barangkali saudara menyangka penulis perlu menyediakan manuskrip yang lengkap dengan ilustrasi, rajah, gambarajah, gambar-gambar dan lain-lain komponen dalam buku saudara itu.

Tugas menyediakan ilustrasi adalah tugas penerbit, bukan tugas penulis. Penulis hanya perlu memberikan kerjasama sebagaimana yang diminta oleh editor. Editor bertanggungjawab memastikan ilustrasi dalam buku itu dapat memenuhi kualiti yang dikehendaki oleh pembeli.

Jadi, penulis tidak wajib menyediakan ilustrasi bagi bukunya. Kalau disediakan sekalipun, ilustrasi itu besar kemungkinan tidak akan digunakan oleh editor kerana spesifikasi teknikal yang digunakan mungkin tidak sesuai dengan konsep dan pakejing buku yang ditentukan oleh editor.

Gunakan masa saudara itu untuk menulis buku baru.

Kata pepatah Melayu, "Yang pandai melapah kerbau, melapah sahaja, yang merendang, biar orang lain."

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, September 10, 2008

Menjalin dan Memelihara Hubungan Baik dengan Editor

Menjalin dan menjaga hubungan baik dengan editor adalah amat mustahak. Editor bertanggungjawab menentukan judul yang tepat bagi buku-buku yang mereka uruskan. Jika buku itu laku, mereka menerima pujian, jika tidak, mereka dipersoal dalam mesyuarat pengurusan.

Ada penulis sanggup merosakkan hubungan baik dengan editor semata-mata kerana tidak setuju judul buku mereka diubah oleh editor.

Merosakkan hubungan baik dengan editor adalah kesilapan serius kerana faktor-faktor berikut:

(i) Editor yang kecewa dengan sikap penulis akan bercerita kepada editor-editor lain.

Kakitangan syarikat lebih setia kepada rakan sejawat daripada setia kepada penulis. Apabila staf di bahagian sales tahu ada penulis bergaduh dengan editor, mereka hilang minat hendak bersungguh-sungguh mempromosi dan menjual buku penulis itu.

Begitu juga halnya dengan sikap staf di bahagian grafik. Penulis yang popular di kalangan editor juga popular di kalangan staf bahagian sales dan bahagian grafik. Hasilnya buku-buku penulis itu diterbitkan dengan wajah yang lebih cantik dan jualannya lebih laju.

(ii) Penulis tentu kecewa apabila judul cadangannya tidak diterima oleh editor.

Penulis tentu suka judul ciptaannya. Tetapi, secara komparitif, syarikat penerbitan lebih tahu judul yang laku.

(iii) Sebelum sesuatu judul itu dipilih, judul itu akan dikemukakan dahulu kepada bahagian pemasaran disebabkan merekalah yang dapat memberi maklumbalas kepada editor berkenaan kesesuaian judul itu.

Pegawai-pegawai di jabatan sales setiap hari pergi ke kedai-kedai buku, oleh itu mereka tahu judul-judul buku penerbit lain yang sudah ada dalam pasaran dan menjadi pesaing. Mereka akan memberikan maklumat itu kepada editor supaya jangan menggunakan judul yang serupa dengan buku terbitan syarikat lain.

(iv) Editor bekerja dalam keadaan yang stressfull, dan mereka mempunyai perasaan.

Apabila penulis tidak berbaik-baik dengan editor, mereka mungkin menolak bukunya, ataupun melambatkan proses penerbitannya dan mendahulukan buku penulis lain.

(v) Jumlah penerbit buku yang kredibel adalah terbatas.

Staf syarikat-syarikat penerbitan pula banyak yang berkawan-kawan sesama mereka dan bertukar-tukar maklumat berkenaan penulis yang bermasalah. Kalau hari ini ada penulis bermasalah dengan satu penerbit, dalam masa sekejap sahaja maklumat itu akan diketahui oleh staf penerbit-penerbit lain.

(vi) Bagi sesetengah penerbit, mereka sudah memasukkan dalam klausa perjanjian penerbitan bahawa hak menentukan judul adalah hak penerbit.

Ada penulis tidak mahu menjalin hubungan yang baik dengan editor atas pelbagai alasan. Ada yang malu dan tidak tahu apa cara yang betul kalau mahu mendekati editor. Ada penulis yang percaya tidak perlu berkenalan dengan editor. Ada yang berasa perbuatan menjalin hubungan baik dengan editor adalah tidak baik sebab ia boleh disalah tafsir.

Sebenarnya, sikap tidak berbaik-baik dengan editor adalah tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Penerbit untung apabila hubungan kerjasama antara penulis dan editor adalah baik dan lancar. Ia menghasilkan lebih banyak buku-buku yang memenuhi kehendak penerbit. Ia juga meningkatkan kesetiaan penulis kepada penerbit. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, September 09, 2008

Siapa Beli Buku, Siapa Baca Buku

Salah satu tugas editor buku adalah menerangkan kepada designer kulit buku (i) siapa yang akan membeli buku itu dan (ii) siapa yang akan membacanya.

Orang yang membeli buku tidak semestinya dia yang akan membaca buku itu.

Sesetengah buku dibeli oleh si ibu untuk dibaca oleh anak-anaknya.

Sesetengah buku dibeli oleh lelaki untuk dihadiahkan kepada perempuan dan sebaliknya.

Buku-buku bacaan tambahan untuk perpustakaan sekolah rendah dibeli oleh guru tetapi dibaca oleh murid-murid. Bagi buku-buku yang akan dibeli oleh guru, kulit buku itu mestilah menarik di mata guru, sebab guru yang membelinya. Isu murid suka cover itu ataupun tidak bukan perkara yang dipentingkan.

Dari sudut mata orang bisnes totok, bagi buku yang ditargetkan kepada guru kalau murid tidak berapa suka dengan wajah kulit itu, isu itu kurang penting. Yang penting guru beli buku itu. Isu murid mahu membacanya ataupun tidak, itu tidak penting. Itu sebab di pusat sumber sekolah, banyak buku yang dibeli oleh guru tidak digemari oleh murid-murid.

Namun, bagi PTS yang berjuang memandaikan bangsa, cover, layout dan wajah dalaman buku mesti menarik, baik pada mata pembeli mahupun pada mata pembaca. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, July 20, 2008

Menulis Sastera Remaja: Pilih Tema Evergreen bagi Memperoleh Royalti Berpanjangan

Apabila saudara menulis buku-buku cerita untuk bacaan remaja dan kanak-kanak, salah satu perkara yang mempengaruhi hayat pasaran buku saudara adalah tema dan persoalan dalam cerita.

Tema dan persoalan yang baik adalah:

1. Tema itu tahan sepanjang zaman.

Bagi sesetengah tema cerita, hayatnya adalah sepanjang zaman, sesetengah tema tidak. Tema dan persoalan dalam kisah Nabi Yusuf adalah contoh tema yang hayatnya sepanjang zaman.

Buku cerita jenis ini dapat dijual dalam tempoh waktu yang lama. Malah ia boleh bertahan dalam pasaran sehingga menjadi klasik. Tema jenis ini membolehkan buku cerita saudara itu laku dijual berpuluh-puluh tahun.

Tema cerita dalam Hikayat Hang Tuah juga mempunyai hayat sepanjang zaman. Sehingga hari ini buku hikayat itu masih dicetak dan dijual.

Begitu juga tema cerita dalam novel "Di Bawah Lindungan Kaabah", "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", "Siti Nurbaya" dan "Salah Asuhan". Tema-tema dalam buku-buku itu masih dapat dinikmati sehingga hari ini walaupun ia mula-mula terbit 40 tahun yang lalu.

Tema cerita-cerita Pak Pandir, Bawang Putih Bawang Merah dan Si Tanggang juga mempunyai hayat sepanjang zaman. Sehingga hari ini cerita-cerita itu masih ditulis semula oleh ramai pengarang dan diterbitkan berkali-kali.

Sebaliknya, sesetengah cerita temanya trendi. Sebagai contoh, tema cerita kejayaan seorang remaja perempuan menubuhkan pasukan futsal yang menjadi juara adalah tema trendi, sebab sukan itu sukan trendi. Apabila sukan futsal sudah hilang glamournya, maka buku itu pun tamat hayat pasarannya.

Sesetengah cerita bertemakan teknologi kontemporari yang singkat usianya. Sebagai contoh cerita yang seputar pc, disket, CD, handphone, sms, mms, emel, blog dan lain-lain. Tema seperti ini cepat menjadi out-of-date, yakni ketinggalan zaman.

2. Tema cerita itu menarik kepada semua golongan.

Sesetengah tema cerita hanya disukai oleh satu kelompok pembaca, manakala kebanyakan pembaca lain tidak suka. Ini mengecilkan pasaran buku saudara itu, ertinya jualan dan royalti saudara juga akan terkesan.

Tema yang disukai oleh baik remaja lelaki mahupun remaja perempuan adalah tema yang besar pasarannya. Tema dan cerita siri Harry Potter adalah contoh tema jenis ini.

Sebaliknya, cerita berkenaan seorang budak lelaki yang pandai bermain chess hanya diminati oleh mereka yang sukakan permainan chess kerana hanya mereka yang dapat mengaitkan diri mereka dengan cerita itu.

Sesetengah tema hanya diminati oleh kanak-kanak perempuan. Cerita tentang nasib malang yang menimpa seorang budak perempuan yang suka melawa dan perasan dirinya lawa hanya diminati oleh budak-budak perempuan manakala budak lelaki tidak suka.

Sesetengah tema juga mempunyai kelompok peminat yang terbatas. Tema cinta pandang pertama, tema cinta teraniaya, tema cinta palsu dan seumpamanya, hanya diminati oleh pembaca perempuan.

Sesetengah tema hanya diminati oleh remaja bandar dan remaja anak orang-orang berada. Sebagai contoh, tema budaya birthday parti, play station, cinta internet, holiday ke luar negara, bunga valentine, picnic keluarga, dan lain-lain gaya hidup kota besar, tidak diminati oleh remaja luar bandar. Buku jenis ini tidak dapat dipasarkan di luar bandar-bandar besar.

3. Tema itu bukan hanya menarik bagi sesuatu kaum sahaja.

Sesetengah tema cerita hanya menarik kepada orang Malaysia sahaja. Ini menyebabkan cerita itu tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain ataupun diekspot ke negara lain.

Tema cerita tentang masalah identiti seorang anak perempuan Cina yang diangkat oleh keluarga India, sebab kulitnya yang putih dan matanya yang sepet sedangkan namanya Parameswary, tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa Thai ataupun bahasa Vietnam sebab kes seperti itu tidak berlaku di sana.

Tema sepasang remaja Melayu kena tangkap khalwat di tepi pantai waktu malam, kemudian dipaksa kahwin, memang tidak dapat diterjemahkan dan diekspot ke mana-mana disebabkan tema cerita itu amat lokal.

Apabila saudara mahu buku saudara diekspot ke Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kampuchea, maka tema cerita saudara perlu memiliki ciri-ciri yang dapat diidentifikasi oleh pembaca di negara-negara itu.

Bisnes syarikat penerbitan saudara bergantung kepada apa kandungan buku-buku yang saudara tulis. Jika buku saudara mempunyai hayat pasaran yang panjang, maka ia amat baik bagi bisnes penerbit saudara.

Apabila perniagaan penerbit saudara bagus dan berkembang sihat, ini bermakna nasib buku-buku saudara juga ikut berkembang sihat. Apabila buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit saudara cepat tamat tempoh lakunya, syarikat itu tidak dapat bertahan lama, ia akan gulung tikar.

Inilah salah satu faktor penting yang diambil kira oleh mana-mana penerbit sewaktu menilai sama ada mahu menerbitkan buku saudara ataupun tidak.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 11, 2008

Membayar Royalti adalah Bisnes Yang Mahal

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, saudara terpaksa membuat pilihan:

(1) Membeli hakcipta

Apabila saudara membeli hakcipta, saudara perlu membayar tunai harga yang ditawarkan oleh penulis. Saudara hanya membayar sekali sahaja. Sampai bila-bila saudara tidak perlu membayar apa-apa lagi kepada penulis manuskrip yang saudara beli itu.

Para penerbit buku agama (baca, penerbit Mamak) di negara kita mengamalkan cara ini. Cara ini amat popular disebabkan modal berniaga cara ini adalah lebih murah, manakala margin keuntungannya lebih tinggi.

(2) Tidak membeli hakcipta

Apabila saudara tidak membeli hakcipta, saudara perlu membayar royalti buku itu setiap tahun, selama buku itu masih saudara jual.

Cara ini hanya diamalkan oleh penerbit-penerbit besar yang kredibel, yang mengamalkan budaya pengurusan gaya korporat, dan yang menghormati harta intelek para penulisnya.

Bisnes penerbitan dengan cara membayar royalti kepada penulis adalah lebih mahal. Sebagai contoh, bagi tahun 2008, PTS membayar royalti lebih RM1,013,848.43 en kepada penulis-penulisnya.

Bagi tahun yang sama, kita menganggarkan, penerbit agama yang sama besar nilai jualannya dengan PTS membelanjakan tidak sampai RM100 ribu bagi membeli hakcipta.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, July 01, 2008

Tip Survival Penerbit: Mengapa Lebih Banyak Judul Baru Diterbitkan daripada Judul Ulangcetak

Istilah back-title bermakna buku-buku yang SUDAH terbit. Makin banyak judul back-title yang ada, makin stabil syarikat, yakni kemungkinan saudara gulung tikar apabila ekonomi meleset adalah kurang.

Tanpa ribuan back-title, apabila ekonomi meleset, sukar bagi saudara hendak survive sebab back-title yang banyak berfungsi sama seperti wang simpanan dalam tabungan saudara.

Jumlah minimum back-title mestilah 1000 judul, barulah syarikat saudara stabil. Back-title yang banyak memudahkan saudara memilih judul-judul back-title yang saudara dapat luncurkan semula ke dalam pasaran apabila berlaku gawat.

Sebagai contoh, apabila harga minyak naik dan ekonomi meleset seperti sekarang, orang tidak mempunyai banyak wang bagi membeli buku yang tebal dan mahal, tetapi ada kategori buku yang masih dibeli orang. Jangan terbitkan buku-buku tebal dan mahal. Terbitkan semula buku-buku harga rendah yang ada dalam senarai back-title saudara.

Justeru syarikat saudara mesti menerbitkan banyak judul baru, sebab semakin banyak judul baru, maka semakin banyak judul back-title saudara.

Pada peringkat penulis, saudara perlu mempunyai banyak back-title saudara sendiri. Bagi penerbit dan penulis, logik bisnesnya adalah serupa, yakni semakin banyak back-title saudara, semakin kukuh ekonomi saudara.

Jika semua buku saudara mahal-mahal belaka, pada zaman gawat buku mahal sukar dijual.

Apakah implikasi menerbitkan banyak judul baru setiap bulan?

Pertama, margin keuntungan saudara amat tipis, ataupun setakat pulang modal sahaja, disebabkan kos pracetak menerbitkan judul baru adalah tinggi. TETAPI, judul-judul baru laju bergerak!

Ertinya, judul baru lebih mudah dijual, justeru cash-flow syarikat saudara baik, sebab buku judul baru tidak lama berlonggok dalam setor. Cash-flow (duit tunai masuk, duit keluar) adalah nyawa syarikat.

Walaupun keuntungan menerbitkan judul baru adalah kecil, tetapi judul baru mudah dijual, maka duit masuk laju, maka setiap bulan saudara dapat membayar hutang pencetak, hutang bank, sewa pejabat dan gaji (duit keluar laju).

Di PTS, majoriti judul baru dapat dijual dalam tempoh 3 - 6 bulan. Ertinya kita dapat membayar hutang kepada pencetak dengan mematuhi tempoh kredit 90 hari.

Buku-buku ulangcetak laku, tetapi lambat bergerak. Selepas 90 hari, tempoh kredit pencetak sudah tamat, hutang mesti dibayar, tetapi buku ulangcetak masih banyak di dalam setor.

Apabila buku lambat bergerak, ini menyebabkan saudara tidak dapat membayar hutang pencetak. Akibatnya, pencetak tidak mahu mencetak buku-buku saudara selagi saudara tidak membayar hutang yang ada. Itulah sebabnya, tanpa buku baru, penerbit boleh gulung tikar.

Setiap bulan, nisbah buku baru dan buku ulangcetak adalah 7:3 yakni 7 judul baru, 3 judul ulang cetak. Dengan menerbitkan 7 judul baru yang dapat dijual dengan lajunya, saudara dapat membayar hutang mencetak buku-buku ulangcetak yang lambat bergerak itu. 

Apabila syarikat survive, semua pihak yang menanggung risiko akan selamat. Mereka yang menanggung risiko adalah bank-bank, syarikat finance, pencetak, pemilik bangunan yang kita sewa, staf, EPF, SOCSO, orang ahli lembaga pengarah yang menjadi penjamin peribadi liabiliti syarikat kepada bank-bank, syarikat insurans dan takaful, pembekal alat pejabat, dan banyak lagi, (tidak dilupakan senarai penerima-penerima zakat syarikat).

Data inventori PTS menunjukkan, pada mana-mana hari, daripada 1000 lebih judul yang sudah diterbitkan, ada antara 80 - 100 judul buku PTS yang kehabisan stok. Pekedai merungut, penulis merungut, agen merungut.... Erm... Masalah PTS adalah buku-bukunya terlampau laku! (Sifu garu-garu kepala).

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, April 01, 2008

Buku Bungkus Belacan dan Dasar Protectionist Perdagangan Buku

Pada suatu masa dahulu, komuniti buku di Malaysia memandang rendah buku-buku terbitan Indonesia, dan amat berbangga dengan kualiti kertas, percetakan dan binding buku-buku terbitan Malaysia, khususnya buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagi kita di Malaysia waktu itu, buku Indonesia dan buku India sama taraf sahaja, yakni taraf buku negara miskin. Dulu-dulu, kata orang kita lagi, buku Indonesia buku kertas bungkus belacan, baru dibuka, sudah terkoyak!

Saat ini, sesiapa yang pernah memasuki kedai buku di Indonesia dan India takkan berkata begitu, kerana buku-buku terbitan negara itu sudah jauh meninggalkan kualiti fizikal dan intelektual penerbitan kita di Malaysia. 

Seperti di India, pemerintah Indonesia tidak membenarkan buku-buku yang dicetak di luar negara diimpot ke negara itu. Buku luar negara dikenakan duti impot. Disebabkan adanya dasar protectionistic itu, bagi mengelakkan duti impot, ia memaksa buku-buku asing dicetak semula dalam negara. Dengan itu, pencetak tempatan mendapat banyak peluang kerja cetak-mencetak. Harga jualan buku pun dapat diturunkan.

Justeru dasar protectionist pemerintah Indonesia dan India membolehkan industri percetakan negara-negara itu berdaya saing dan berdaya maju sehingga mereka mampu membeli mesin-mesin cetak yang berteknologi terkini. Mesin-mesin cetak itulah yang kini membolehkan buku-buku terbitan Indonesia menikmati kualiti fizikal mutu tinggi.

Sekarang ini, kita malu apabila membandingkan kualiti fizikal buku-buku kita dengan buku-buku Indonesia. Kita lebih-lebih lagi malu apabila membandingkan kualiti isi kandungan buku-buku kita dengan buku-buku Indonesia. 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, February 06, 2008

Memilih Judul yang Sesuai Diterbitkan Sebagai Edisi Hardcover

Buku di sebelah ini diterbitkan dalam 2 edisi, hardcover dan softcover. Kedua-dua edisi itu sudah beberapa kali diulangcetak.

Bagi penulis, memiliki buku hardcover adalah ibarat memiliki "Rolls Royce". Jika saudara sudah mempunyai buku hardcover, martabat saudara sebagai penulis adalah lebih tinggi daripada penulis-penulis yang belum mempunyai buku hardcover! 

Kepada Menteee-mentee Sifu, ini soalan tutorial hari ini: Apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu judul itu sesuai diterbitkan sebagai edisi hardcover? 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 28, 2008

Salah Letak Buku

Buku ini adalah sebuah novel inspirasi. Di sebuah cawangan POPULAR, novel berat ini diletakkan di rak buku kanak-kanak!

Kepada mentee-mentee Sifu, cuba jawab soalan tutorial hari ini: Apakah aspek pada kulit buku ini yang menyebabkan ia diletakkan di rak buku kanak-kanak, bukan di rak novel PTS.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 23, 2008

Tip Survival Penerbit: Fokuskan Tema Buku

Jika saudara sedang berfikir hendak membuka syarikat penerbitan sendiri, salah satu perkara penting yang saudara perlu fikirkan adalah tema buku-buku yang bagaimana yang saudara hendak terbitkan.

Menerbitkan buku adalah serupa dengan bisnes-bisnes lain, sebagai contoh, bisnes restoran. Dalam bisnes restoran, saudara tidak boleh membuka restoran "semua jenis masakan" kerana restoran saudara tidak boleh menawarkan semua jenis masakan: Masakan Melayu, masakan Cina, masakan India, masakan Jepun, Korea, Thai, Arab, Barat dan lain-lain.

Demikianlah juga halnya dalam bisnes penerbitan buku. Malah, bisnes buku adalah lebih kompleks daripada bisnes restoran. Dalam bisnes restoran, setiap hari saudara boleh menawarkan hidangan yang serupa, sebagai contoh, saudara boleh mengeluarkan roti canai setiap hari. Dalam bisnes buku, saudara tidak boleh menerbitkan buku yang sama setiap hari!

Mindset orang yang masuk kedai restoran tidak sekompleks mentaliti orang yang masuk kedai buku. Orang yang masuk restoran didorong oleh keperluan amat asas, yakni perut yang lapar. Jarang sekali orang masuk restoran tidak jadi hendak duduk dan makan.

Sebaliknya, orang yang masuk kedai buku belum tentu membeli buku, walaupun dia sudah memegang-megang dan menyelak-nyelak halaman buku-buku yang disentuhnya.

Apabila saudara mula-mula membuka syarikat penerbitan, jangan hanya "menerbitkan buku masakan", tetapi tema saudara mesti lebih fokus daripada itu, sebagai contoh, fokus saudara adalah "menerbitkan buku resipi biskut dan kek" sahaja.

Apabila bisnes saudara sudah berkembang, barulah tambah fokus-fokus baru, sebagai contoh, "menerbitkan resipi lauk-pauk ala-kampung" pula.

Sebagaimana tukang masak bukan pakar memasak semua jenis masakan, demikian juga dalam bisnes penerbitan buku. Setiap kategori buku memerlukan editor yang pakar dalam bidang itu. Editor buku-buku biskut dan kek belum tentu pakar dalam bidang agama.

Apabila modal pusingan saudara sudah bertambah besar, bolehlah saudara menambah jumlah editor saudara dengan mengambil editor khusus bagi buku-buku kategori baru yang saudara mahu ceburi.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 19, 2008

Buku Seni Taman

Kita menerima pertanyaan apakah PTS tidak berminat menerbitkan buku-buku tentang seni taman dan panduan menanam pokok-pokok perhiasan.

Bagi saudara yang berminat hendak menulis buku seni taman, dimaklumkan bahawa kos menerbitkan buku seni taman adalah amat tinggi kerana ia melibatkan kos percetakan 4-warna.

Kos produksi sebarang kategori buku yang melibatkan gambar dan lukisan 4-warna adalah mahal. Contoh buku yang mesti dicetak 4-warna adalah buku-buku bergambar, buku peta, buku cerita kanak-kanak, buku resipi, buku gubahan bunga, buku fesyen, buku dekorasi dalaman, buku lukisan, buku periklanan, buku ensiklopedia kanak-kanak dan lain-lain lagi.

Bagi setiap 1 judul buku 4-warna, PTS dapat menerbitkan 4 judul buku biasa. Inilah faktor yang menyebabkan buat masa ini PTS belum memasuki kategori buku profesional yang mesti dicetak 4-warna.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, January 17, 2008

Tatakerja PTS

Sifu masih menerima emel-emel di mana penghantarnya memberitahu beliau mahu menulis novel itu-ini. Malah ada yang sudah menulis sebahagian bukunya seperti yang disebutkan dalam emel mereka.

Bagi maklumat kepada yang baru terjumpa laman ini, PTS adalah penerbit yang amat komersial sifatnya. Dalam erti kata, PTS melakukan kajian pasaran terlebih dahulu sebelum memasuki mana-mana sektor produk. Selepas kajian pasaran dilakukan barulah Jabatan Editorial membina judul-judul yang dimahukan oleh pasaran.

Sebagai contoh, pasaran mahukan buku-buku cerita hantu. Bagi memenuhi permintaan kedai-kedai buku, itulah sebabnya PTS mengadakan bengkel menulis cerita hantu Islami. Para peserta bengkel diberi taklimat berkenaan ciri-ciri cerita hantu yang PTS mahu, dan yang PTS tidak mahu.

Dalam erti kata yang mudah, PTS adalah sebuah “penerbit kuih tempah".

Judul-judul PTS adalah diluluskan sebelum buku itu mula dituliskan oleh pengarang. Ini bermakna pengarang PTS tidak menghadapi risiko buku sudah siap ditulis tetapi kemudian ditolak oleh editor. Ini berlaku bagi SEMUA buku, tidak terkecuali karya kreatif.

Itulah sebabnya saudara perlu hadir kursus PTS, sebab dalam kursus-kursus itu nanti peserta akan diberitahu buku-buku yang bagaimana yang PTS mahukan.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 05, 2008

Menerbitkan Buku Masakan

Kita menerima pertanyaan daripada beberapa individu yang bertanya apakah PTS mahu menerbitkan manuskrip buku masakan yang sedang mereka tulis.

Bagi maklumat saudara yang berminat hendak menulis buku masakan, buat masa ini PTS tidak bercadang masuk ke dalam pasaran kategori buku resipi kerana:

(1) Kos menerbitkan buku resipi adalah berkali ganda lebih mahal daripada kos menerbitkan buku biasa. Bagi 1 judul buku resipi, PTS dapat menerbitkan 4 judul buku biasa. Faktor yang menyebabkan kos tinggi itu adalah:

(a) Yuran penghias makanan atau food-artist.

(b) Yuran sewa studio penggambaran.

(c) Yuran jurufoto profesional yang mahir mengambil foto makanan.

(d) Kos filem 4-warna.

(e) Kos kertas mutu tinggi.

(f) Yuran artis layout yang mahir membuat layout buku resipi.

(2) Bagi menerbitkan buku resipi, kita memerlukan editor pakar dalam bidang itu. Editor buku resipi bukan hanya perlu mengetahui ciri-ciri pasaran buku resipi, malah proses produksi buku resipi pun amat berbeza daripada proses produksi buku biasa.

Dalam dunia penerbitan, buku-buku resipi diterbitkan oleh rumah-rumah penerbitan yang khusus menerbitkan buku-buku resipi sahaja.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, November 22, 2007

PTS Memerlukan Tambahan RM1 juta Modal Penerbitan bagi Tahun 2008

Kita bersyukur kepada Tuhan yang maha pemurah.

Perkembangan pasaran buku Melayu terus berkembang dengan baiknya. Penggemar buku-buku Melayu nampaknya bagaikan tidak puas-puas dengan pelbagai judul yang diterbitkan dan mereka mahukan lebih banyak judul dalam semua kategori.

Pada saat ini pegawai-pegawai PTS sedang sibuk menyusun rancangan belanjawan 2008. Antara kategori baru yang akan mula dikerjakan pada tahun 2008 adalah melesen hakcipta 4 kategori baru yang belum dilakukan oleh PTS sebelum ini. Kategori itu adalah: 

(a) Buku-buku bisnes daripada Amerika dan Britain di bawah PTS PROFESSIONAL.

(b) Buku-buku bisnes dari Indonesia di bawah PTS PROFESSIONAL.

(b) Novel-novel klasik moden kontemporari daripada bahasa Inggeris seperti karya John Grisham dan Tom Clancy di bawah PTS LITERA.

(c) Karya sastera klasik dunia yang sudah menjadi harta awam di bawah PTS FORTUNA.

Judul-judul dalam setiap kategori itu sudah dikenalpasti. Proses pembelian lesen akan bermula pada bulan November depan. Tanda-tanda awal menunjukkan bagi membiayai judul-judul yang bakal diterbitkan sepanjang 2008 PTS memerlukan tambahan modal RM1 juta.

Pertambahan kos yang amat ketara adalah duit muka down-payment bagi mendapatkan lesen hakcipta daripada penerbit-penerbit Amerika dan Britain. Ini disebabkan semua pembayaran adalah dalam dolar US ataupun Euro yang mahal kadar tukarannya. Dianggarkan PTS akan membelanjakan RM400 ribu bagi membiayai pembelian lesen-lesen itu, manakala RM600 ribu lagi adalah kos percetakan dan editorial.

Pihak bank memaklumkan PTS mesti minimum mempunyai simpanan tetap RM500 ribu dalam bank itu sebagai cagaran bagi mendapatkan fasiliti RM1 juta yang diperlukan. (Ini yang menyebabkan sampai hari ini Chairman PTS masih memandu kereta peribadi lamanya....)

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, November 15, 2007

Memilih Judul Buku: Perkataan Laku, Perkataan Tak Laku

Syarikat-syarikat penerbitan yang sudah banyak menerbitkan buku mengetahui ada buku-buku yang kandungannya bagus tetapi tidak berapa laku, manakala ada pula buku yang kandungan tidak bagus, tetapi laku. Apabila buku yang tidak laku itu dicetak semula dengan menggunakan judul baru, buku itu laku pula!

Selepas menerbitkan lebih 800 judul, bagi setiap kategori buku dan kategori pembeli sasaran, PTS mempunyai semacam senarai perkataan dan frasa, yang apabila digunakan sebagai judul, jualan buku itu sloooow....

Antara perkataan yang paling tidak laku adalah 'MASALAH'. Jangan sekali-kali menggunakan perkataan 'masalah' pada judul buku, kecuali dalam kes seperti judul "Menyelesaikan Masalah Secara Kreatif".

Perkataan 'HITAM' juga tidak laku. Begitu pula dengan perkataan 'CABARAN'.

Pemerhatian kita juga menunjukkan perkataan 'HADHARI' tidak laku. 

Bagi buku agama yang ditargetkan kepada pembeli perempuan, judulnya akan menggunakan perkataan-perkataan yang laku kepada perempuan. Sebagai contoh buku panduan puasa oleh Abdul Hadi Awang menggunakan judul: "RAMADHAN Tetamu yang Dirindui". Perkataan 'rindu' digemari oleh perempuan, justeru buku itu amat laku kepada pembeli perempuan.

Judul buku motivasi haji karya Prof. Dr. Muhd. Kamil pada mulanya beliau menggunakan judul: "TRAVELOG HAJI: Mengubah Sempadan Masa". Perkataan 'masa' itu ditukar oleh PTS menjadi 'iman' sebab di kalangan orang yang membeli buku-buku agama perkataan 'iman' lebih laku daripada perkataan 'masa'. Perkataan 'IMAN' laku baik bagi pembeli lelaki mahupun perempuan.

Seni mencipta judul buku adalah seni menjual perkataan. Perkataan menjadi produk. Oleh hal yang demikian, editor perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran memilih perkataan-perkataan yang bernilai komersial dan yang tidak.

Sebagai produk, perkataan adalah sama dengan produk-produk lain. Ada perkataan yang hayat nilai komersialnya evergreen, manakala ada perkataan yang hayat nilai komersialnya sangat singkat. Perkataan 'HADHARI', sudahlah nilai komersial yang amat rendah, hayat komersialnya juga amat singkat.

Begitu pula, nilai komersial sesuatu perkataan itu mempunyai sempadan geografisnya. Perkataan yang digemari di Malaysia belum tentu digemari di Indonesia. Justeru pilih perkataan-perkataan yang digemari dalam zon geografis yang lebih luas.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, November 13, 2007

Memilih Judul Buku: Judul Panjang, Judul Pendek

Seorang penulis memberikan judul bukunya yang berbunyi: Suatu Analisis Kritikal tentang Fenomena dan Ancaman Gerakan Islam Liberal di Nusantara.

Apabila editor PTS memendekkan judul itu menjadi Islam Liberal di Nusantara beliau membantah dengan alasan judul baru itu "tidak menggambarkan isi kandungan sebenar buku saya". Panjang lebar hujah yang diberikannya, sampai-sampai dia mengugut hendak menarik balik bukunya yang sudah siap diedit dan dilayout.

Judul buku mesti pendek. Makin pendek makin bagus. Sebaik-baiknya jangan lebih daripada 4 perkataan.

Judul buku dicetak di atas kulit buku. Ruang kulit buku itu kecil. Apabila judul itu panjang, sedangkan ruang kecil, nanti tulisannya menjadi kecil-kecil.

Buku diletakkan atas rak buku dalam kedai. Dari jauh, mata pelanggan tidak dapat membaca judul yang ditulis kecil-kecil! 

Ada 3 faktor yang menarik minat pengunjung kedai, yang menyebabkan dia mahu memegang buku-buku yang dipamerkan: (1) Judul buku, (2) Desain kulit buku dan (3) Nama pengarang.

Baik judul mahupun desain kulit, kedua-duanya mesti cantik dan menarik mata pelanggan. Apabila mata pengunjung kedai tidak dapat membaca judul buku dan nama pengarang dari jarak jauh, habislah harapan buku itu dapat dijual.

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, November 08, 2007

Debat Dilema Apakah Patut Penulis Ikut Kehendak Pembaca

Azman Ismail menulis tentang isu ini di sini. Isu ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam satu sesi khas pada Seminar Penulisan Cereka di Aswara minggu lalu.

Pada pendapat Sifu yang hadir dalam sesi itu, rata-rata orang masih percaya dilema ini dialami oleh penulis, oleh itu si penulis yang mesti membuat keputusan, mahu menulis demi kepuasan diri si penulis, ataupun mahu menulis demi memenuhi kehendak pembaca. 

Dunia industri buku tanah air kita yang tercinta ini sudah banyak berubah! Cara orang buat duit dalam industri penerbitan karya cereka Melayu sudah lain benar hari ini.

Barangkali, sebagai penerbit cereka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja yang belum berubah. 

Dari dulu sampai sekarang, cara kerja DBP masih serupa: Editor-editor di DBP masih kekal bekerja menggunakan pendekatan pasif-reaktif.

Penulis tulis apa yang mereka mahu tulis, kemudian hantarkan manuskripnya ke DBP.

Editor-editor DBP terima sahaja apa yang penulis hantar. Kemudian manuskrip itu dihantar kepada pakar luar supaya dinilai. Kemudian laporan pakar penilai itu dibincangkan oleh jawatankuasa penerbitan. Kalau lulus, luluslah. Kalau tidak, tidaklah.

Di luar pagar DBP, pengurusan bisnes penerbitan cereka sudah ikut model Amerika.

Yang menentukan buku ceraka apa yang ada dalam kedai-kedai buku, adalah penerbit, bukan penulis.

Masing-masing rumah penerbitan mempunyai dasar perniagaan masing-masing. Kalau penulis mahu karya mereka diterbitkan oleh sesuatu rumah penerbitan, dia terpaksa menulis dengan mematuhi kehendak penerbit itu.

Jadi, penerbitlah yang menentukan buku-buku apa yang masyarakat dapat beli di kedai-kedai buku, bukan penulis.

Justeru, dosa penerbitlah yang lebih besar apabila majoriti judul cereka yang sekarang dipamerkan di kedai-kedai buku, adalah judul-judul yang tidak bersifat rahmatul-alamin  -  tidak membawa kebaikan  -  kepada khalayak pembacanya. Penulis ikut berdosa kerana dia mahu diajak tidur sekatil dengan penerbit-penerbit seperti itu. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 28, 2007

Laporan dari Bangkok

Syukur. Delegasi PTS sudah selamat pulang dari Bangkok. Berikut adalah beberapa maklumat yang dapat dikutip oleh misi itu.

1. Pasaran buku di Thailand sekarang adalah 60% buku terjemahan, manakala 40% buku karya penulis tempatan. (Keadaan yang serupa dengan di Jakarta.) 

2. Dalam kategori sastera remaja, 2 jenis buku paling besar jualannya di sana adalah (a) novel asmara bagi pasaran remaja perempuan dan (b) novel fantasi, yang amat popular baik di kalangan remaja perempuan mahupun lelaki.

3. Saat ini pasaran novel remaja terjemahan dari Korea amat panas di Thailand. 

4. Walaupun pasaran buku terjemahan amat signifikan, namun judul-judul karya tempatan Thai tetap amat laku. Isunya adalah jumlah penghasilan judul tempatan tidak cukup banyak, oleh itu penerbit di negara itu mengambil jalan mudah, yakni menterjemah. (Keadaan yang serupa juga berlaku di Jakarta.)

5. Dalam kategori buku profesional pengurusan, hampir 80% dikuasai oleh judul-judul terjemahan. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, October 20, 2007

Program Penerbitan Bersama antara PTS dan Institut Aminuddin Baki

Dimaklumkan bahawa PTS PROFESSIONAL dan Institut Aminuddin Baki (IAB) telah menandatangani dokumen persetujuan menjadi penerbit bersama bagi buku-buku pendidikan yang ditulis oleh staf IAB.

Buku-buku di bawah program ini akan dicetak menggunakan dua logo, iaitu logo PTS dan logo IAB.

Bagi pihak PTS, kita mengharapkan program ini mendorong lebih banyak judul tentang pengurusan sekolah dapat dihasilkan oleh pensyarah-pensyarah IAB dan diterbitkan oleh PTS.

Misi PTS PROFESSIONAL adalah menjadi penerbit buku-buku bidang pendidikan dan bisnes yang paling aktif di negara ini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, September 25, 2007

Penulis Menjadi Penerbit

Banyak penulis tergoda dengan idea mahu menjadi penerbit, lalu mereka pun menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri. Majoritinya gagal dengan tangan terbakar. Maksudnya, sudahlah gagal, terpaksa pula menanggung kerugian.

Logik “kalau orang lain boleh buat, saya pun boleh buat” adalah logik yang amat tinggi risikonya. Logik itu mengandungi falasi serius. Kata-kata begitu adalah cakap-cakap yang tidak rasional, dan tidak empirikal.

Kata-kata seperti itu biasa diucapkan oleh individu yang mahu memberi semangat dan “perangsang kosong”. Ertinya, kata-kata individu itu tidak disertai dengan fakta-fakta yang sahih dan relevan dengan daya usaha yang diperlukan bagi berjaya.

Syarat-syarat kejayaan kita semestinya ada pada diri kita, BUKAN ada pada diri orang-orang lain. Kalau orang-orang lain boleh buat sama sekali bukan bukti bahawa kita pun boleh buat sebab kita mungkin tidak memiliki syarat-syarat kejayaan yang dimiliki oleh orang-orang lain itu.

Kita dapat melakukan apa yang orang-orang lain berjaya lakukan apabila kita memiliki semua faktor yang dimiliki oleh orang-orang itu. Jika orang lain tidak malu menagih hutang dari pintu-ke-pintu kedai, apakah kita juga memiliki muka tebal seperti orang itu.

Bagi menjadi penerbit yang berjaya, seseorang itu tidak perlu menjadi penulis yang berjaya. Realitinya, bakat menulis bukan salah satu prasyarat kejayaan sebagai penerbit. Ia serupa dengan membuka restoran. Bagi menjadi pengusaha restoran yang berjaya seseorang itu tidak wajib pandai memasak.

Syarat utama kejayaan dalam bisnes adalah pertama memiliki bakat bisnes (business accumen), kedua adalah memiliki ilmu-ilmu bisnes, dan ketiga adalah mahir dalam selok-belok bisnes. Tiga syarat ini jarang dimiliki oleh individu-individu yang berjiwa seni, seperti penulis.

Apabila seniman mahu menjadi penerbit, nanti yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong terpaksa diletakkan….

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 24, 2007

Skim Pinjaman Buku Teks 100%: Apa Agenda Tersembunyi yang Rakyat Perlu Tahu

Pendahuluan: SPBT 100% adalah bantuan yang diberikan kepada ibu bapa kaya. Mereka pun tidak pernah meminta bantuan itu! Mengapakah menteri pelajaran kita memaksa kerajaan menanggung beban berjuta-juta ringgit bagi membiayai bantuan kepada ibu bapa yang kaya raya??? Apa untungnya kepada menteri?

PTS sedang kecut perut! Kita kecut perut meskipun kita tidak menerbitkan buku teks sekolah. Mengapa?

1. Masalah cash-flow kedai-kedai buku akan memukul penerbit

Kedai-kedai buku dan penerbit kecut perut sebab jualan buku teks di pasaran terbuka sangat penting kepada turnover kedai buku pada hujung tahun. Dulu, murid-murid yang tidak menerima SPBT pergi ke kedai bagi membeli sendiri buku teks mereka, jadi kedai dapat cari makan.

Apabila jualan buku teks hilang, maka kedai buku akan mengalami cash flow problem yang bukan sedikit. Apabila kedai buku mengalami krisis aliran tunai, para penerbit buku akan terpukul. Bayaran kepada penerbit seperti PTS akan dilambatkan, ataupun tidak dibayar langsung.

Bagi kedai buku yang banyak menjual kepada pasaran sekolah Cina, jumlah jualan yang hilang adalah sangat besar sebab banyak murid Cina tidak mendapat SPBT disebabkan ibu bapa mereka kaya. Dianggarkan sekolah-sekolah Cina hanya menerima lebih kurang 60% bantuan SPBT. Bakinya semua dibeli sendiri oleh ibu bapa kaya.

2. Masalah kepada pengusaha kedai-kedai buku dalam kawasan sekolah

Sebelum Bajet 2008, tender bagi menjalankan kedai buku koperasi sekolah sudah ditandatangani di banyak sekolah. Kedai-kedai buku yang agresif, sanggup membayar sehingga RM10 per murid untuk mendapatkan tender membuka kedai dalam kawasan sekolah. Ini berdasarkan anggaran bahawa mereka akan dapat menjual buku teks, buku kerja, bahan tambahan dan alat tulis kepada murid-murid sekolah.

Kini komponen terbesar jualan buku teks sudah hilang sebab semua murid menerima SPBT. Ada kedai buku yang akan hilang duit tahun ini. Kesannya bayaran kepada penerbit seperti PTS akan terjejas.

3. Masalah surat pekeliling melarang jualan buku latihan tambahan

Surat pekeliling ini sudah lama ada tetapi pelaksanaannya selalu tidak menjadi. Malah tahun lepas, menteri sendiri sudah melarang jualan buku latihan tambahan, tetapi ditarik balik pada saat-saat akhir atas rayuan penerbit dan penjual buku.

Nampaknya tahun ini surat pekeliling itu akan keluar lagi, dan kemungkinan akan dikuatkuasakan dengan tegas. Ada 2 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang sudah menghantar surat pekeliling ini. Maknanya, satu lagi sumber bisnes dan cash flow kedai-kedai buku akan terputus.

Mencari Remedi Mengatasi Masalah Ini

Kedai buku adalah salah satu komponen dalam service-chain buku yang sangat penting. Apabila kedai buku tumbang, maka saluran utama kita menyampaikan buku kepada masyarakat akan putus.

Tanpa adanya kedai buku bagaimanakah orang ramai hendak mendapatkan buku, khususnya di bandar-bandar kecil dan sederhana. Jualan buku melalui saluran lain, seperti internet, belum mencapai jumlah yang boleh disamakan dengan jualan melalui kedai buku.

Penerbit dan dan kedai-kedai buku perlu berganding bahu mencari jalan bagaimana hendak menarik ibu bapa dan pelajar masuk ke kedai-kedai semula hujung tahun ini. Jika tidak, ada kedai buku akan gulung tikar. Apabila kedai gulung tikar, habislah, penerbit tidak dapat menagih hutangnya!

Nota: Persatuan penerbit dan persatuan penjual buku tidak pernah dirundingi sebelum dasar 100% SPBT diumumkan.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, September 15, 2007

PTS akan Menerbitkan Lebih Banyak Buku Indonesia

Trend positif yang sedang berlaku saat ini pada jualan buku-buku motivasi dan panduan bisnes menunjukkan pembeli buku Melayu mahukan lebih banyak judul dalam kategori buku bisnes.

Trend positif ini juga sedang berlaku di Jakarta. Inilah faktor yang mendorong rakan niaga kita di sana, penerbit MIZAN, melesen judul-judul bisnes PTS.

PTS juga sedang melakukan yang serupa, yakni melesen judul-judul Indonesia bagi memenuhi permintaan bagi lebih banyak buku bisnes oleh pembaca di negara kita.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, September 13, 2007

Tip Survival Penerbit: Banyakkan Ilustrator dan Artis Kulit Buku

Saudara mungkin penerbit kecil yang menerbitkan satu judul sebulan.

Namun, sama ada syarikat saudara kecil ataupun besar, saudara perlu menggunakan banyak artis bagi membekalkan ilustrasi dalam buku dan desain cover buku.

Stroke pelukis adalah seperti cap ibu jarinya. Ia serupa dengan suara penyanyi. Menyanyilah lagu apa, suaranya serupa.

Demikian pula dengan pelukis. Meskipun subjek dalam lukisannya berbeza, strokenya serupa. Orang dapat kenal jikalau cover buku-buku itu dilukis oleh artis yang sama.

Salah satu kesan negatif apabila seorang pelukis digunakan bagi melukis 4 atau 5 cover novel adalah berkait dengan faktor "kesan pertama". Jika novel pertama yang dibacanya dirasakan "tidak ok", dia akan anggap novel-novel lain pun serupa sahaja mutunya, padahal novel-novel itu ditulis oleh pengarang-pengarang lain. Puncanya adalah cver novel-novel itu semacam "serupa" sahaja.

Lebih banyak artis yang saudara gunakan, itu adalah lebih baik, supaya wajah buku-buku yang saudara terbitkan sentiasa fresh dan unik. Ini lebih-lebih lagi penting bagi judul-judul kreatif.

Setiap buku cerita, ataupun novel adalah produk yang unik. Justeru stroke pelukis cover yang digunakan hendaklah unik.

Di PTS One, sesetengah cover novel remaja perempuan pun dilukis oleh pelukis Jakarta, hanya disebabkan kita mahukan stroke-stroke yang unik.

Pada saat ini cover untuk kategori fiksyen sains PTS One sedang dilukis di Jakarta disebabkan kita tidak berjumpa dengan pelukis tempatan yang dapat menghasilkan cover sai-fai pada kualiti yang kita mahu.

Justeru, jangan rasa bersalah apabila mahu menukar-nukar artis bagi kategori buku-buku yang sama.

Artis yang sama perlu dikekalkan bagi judul-judul dalam siri yang sama sahaja. Sebagai contoh, pelukis yang sama digunakan untuk siri "Penyiasat Ekstrovert", siri "Sahabat Kole Kacang" siri , dan siri "Adam Kecil".

Untuk ketegori yang sama, gunakan artis yang berlainan. Sebagai contoh, 3 buah buku "Puasa" ini adalah dalam kategori yang sama, bukan siri yang sama. Ketiga-tiga buku ini dilukis oleh 3 orang pelukis yang berlainan supaya ketiga-tiganya mempunyai wajah unik.

Bagaimanakah cara mendapatkan bekalan ramai artis? Mudah sahaja. Artis berkawan dengan artis. Minta artis saudara sekarang supaya perkenalkan networknya kepada saudara.

Satu cara lagi yang lebih mudah, artis-artis mempunyai blog masing-masing. Masuklah blog mereka dan jalin hubungan dengan mereka.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, September 09, 2007

Laut Biru: Buku Cerita untuk Target Remaja Awal

Inilah contoh buku-buku cerita untuk remaja awal perempuan.

Pasaran sektor ini amat besar dan masih belum dibangunkan. Ertinya, mana-mana penerbit yang menekuni sektor ini berpeluang mendominasinya.

Sehingga saat ini belum ada penerbit yang terkenal khusus menerbitkan buku bagi kategori ini sahaja, baik karya asal mahupun karya terjemahan.

Justeru, bagi pelabur baru, kategori ini adalah Laut Biru yang relatif selamat bagi pelaburan disebabkan belum ada persaingan yang kuat.

Ada dua kategori produk yang patut dihasilkan. Pertama adalah buku-buku cerita yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan. Yang kedua adalah karya terjemahan. Kedua-duanya mempunyai potensi yang amat baik.

Bagi para penulis kreatif tempatan pula, mereka patut mempelajari psikologi kelompok ini bagi mengetahui ciri-ciri buku yang diminati oleh mereka.

Cerita-cerita yang baik bagi kelompok ini berpeluang menjadi karya evergreen, yang dapat diulangcetak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Dalam kedai buku, judul-judul remaja awal diletakkan di rak yang sama dengan buku untuk kanak-kanak yang belum pandai membaca sendiri, kerana jumlah judul dalam sektor remaja awal masih belum cukup banyak bagi melayakkannya diberikan rak sendiri.

Remaja awal adalah antara 8 tahun hingga 10 tahun. Ciri-ciri remaja awal adalah:

(a) Mereka sudah pandai membaca sendiri. Justeru mereka mahukan buku yang mempunyai lebih banyak ayat-ayat bagi mereka baca sendiri tanpa bantuan ibu.

(b) Mereka masih suka membaca lukisan tetapi mereka juga sudah meminati cerita. Jadi mereka mahukan cerita-cerita yang menarik berkenaan watak kanak-kanak lain.

(c) Mereka suka berkhayal dan berangan-angan. Justeru, remaja awal perempuan suka cerita-cerita yang ada watak binatang pandai bercakap, ada tuan-tuan puteri, ada ikan duyung dan lain-lain. Remaja awal lelaki suka cerita watak-watak orang kuat, robot, naga dan yang seperti itu.

(d) Mereka sudah mempunyai angan-angan mahu menjadi doktor, guru, penyanyi dan lain-lain profesion yang mereka tonton dalam TV, dan yang mereka lihat di sekeliling mereka.

Kita mengajak sahabat-sahabat penerbit masuk ke dalam sektor yang masih merupakan Laut Biru ini.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, September 07, 2007

Pelabur Baru dalam Industri Buku Melayu

Cerita industri buku yang sedang mengalami perkembangan pesat saat ini sudah menjadi pengetahuan ramai.

Sebagai contoh jualan ALAF21 pada tahun 2005 adalah RM18 juta, manakala pada 2006 jumlah jualannya RM15 juta.

PTS sendiri purata berkembang 60% setiap tahun semenjak ia ditubuhkan 7 tahun yang lalu! Data ini amat menggiurkan!

Justeru banyak juga individu-individu yang mempunyai wang tertarik menceburi industri ini dengan harapan mereka dapat membuat duit dengan banyak dan cepat.

Sektor buku yang paling banyak menarik pelabur-pelabur baru adalah novel-novel cinta. Gosip yang kita dengar, sekitar 70 peratus pelabur baru dalam sektor ini adalah pemodal Cina dan Mamak, di mana mereka membiayai penerbit Melayu baru muncul dengan mengeluarkan modal mencetak novel-novel yang diterbitkan.

Disebabkan sekarang ini banyak pemodal sanggup melabur dalam industri buku, maka banyaklah penulis-penulis Melayu yang menubuhkan syarikat penerbitan sendiri dengan cara menerima duit pelabur Cina dan Mamak bagi mencetak novel-novel yang mereka terbitkan.

Sejauh manakah penerbit-penerbit baru itu akan dapat bertahan dan berkembang?

Kumpulan RYTHM, sebuah korporat anggota BSKL, telah menceburi industri novel cinta tetapi ia terpaksa menutup bisnes novel cintanya selepas 3 tahun bermain dalam sektor ini.

Gosip mengatakan gergasi itu gagal bersaing dengan ALAF21 dan CREATIVE, lalu ia tidak tahan menanggung kerugian akibat jualan novel-novel cintanya yang tidak menguntungkan.

Akibatnya, berpuluh-puluh penulis menanggung kerugian disebabkan mereka tidak menerima royalti bagi karya mereka yang sudah terjual.

Jika gergasi yang bernama RYTHM pun payah hendak survive, bagaimanakah pula masa depan penerbit-penerbit Melayu yang dibiayai oleh pelabur Cina dan Mamak?

Faktor-faktor kejayaan dalam bisnes penerbitan adalah banyak dan pelbagai. Modal wang hanyalah salah satu sahaja daripada faktor-faktor itu.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, September 02, 2007

Mengapa Jadual Penerbitan Lari…

Nota: Entri ini ditulis bagi menerangkan kepada penulis yang tidak puas hati disebabkan jadual penerbitan bukunya lari....

Jadual penerbitan karya saudara digubal oleh jabatan editorial. Ini membolehkan penulis-penulis PTS diberitahu lebih awal tarikh karya mereka akan dihantar ke kilang cetak. Ini juga membolehkan para pengedar dan kedai buku membuat pesanan lebih awal bagi judul-judul yang bakal terbit.

Walau bagaimanapun, jadual itu mungkin berubah. Apabila ini berlaku memang penulis kecewa!

Ada beberapa faktor yang menyebabkan pengurusan PTS tiba-tiba memaksa jabatan editorial meng-adjust jadual penerbitan buku yang sudah digubal lebih awal.

Berikut adalah punca-punca perubahan jadual penerbitan:

(1) Apabila tiba-tiba berpuluh-puluh judul PTS yang sudah 'out-of-stock' dipilih oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Judul-judul itu terpaksa dicetak semula dengan serta-merta. Ini menyebabkan jabatan kewangan PTS memaksa semua bajet yang sudah diperuntukkan bagi mencetak judul-judul baru digunakan bagi mencetak judul-judul kontrak PNM.

(2) Apabila jabatan pemasaran PTS menerima pesanan besar bagi judul 'out-of-stock' yang digunakan oleh IPT sebagai buku bacaan wajib pelajar, manakala semester baru sudah amat hampir dibuka.

(3) Apabila ada judul yang tidak disangka-sangka meletup, yakni baru terbit 2 ataupun 3 minggu, sudah kosong dalam setor, dan pengedar-pengedar besar PTS 'menjerit-jerit' mahukan bekalan baru segera dihantar sebab pekedai 'menjerit-jerit' kepada pengedar.

(4) Apabila berlaku perubahan suasana dalam pasaran yang menyebabkan bahagian pengurusan mengeluarkan arahan supaya "pelampung keselamatan" dipakai.

Itulah 4 faktor yang memaksa jabatan editorial menunda tarikh terbit judul baru sebulan ataupun dua bulan lebih lewat.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 29, 2007

Tip Survival Penerbit: Formula Menetapkan Harga Jualan Buku

Apabila saudara menerbitkan buku, bagaimanakah formula menetapkan harga jualan buku saudara?


Apabila formula yang saudara gunakan itu salah, saudara boleh rugi.


Kos yang wajib saudara kira adalah seperti berikut:


1. Diskaun pengedar: Para pengedar menerima potongan antara 35% - 45%, berdasarkan volume bisnes. Ada pengedar mahukan lebih daripada ini, khususnya pengedar jualan langsung ke sekolah-sekolah.


2. Kos cetak: Kos mencetak adalah antara 20% - 25%, berdasarkan volume cetakan.


3. Kos pengurusan: Pengurusan termasuklah pengangkutan, penstoran, penjualan, buku rosak, promosi, dan editorial adalah 15%.


4. Kos royalti: Royalti untuk penulis adalah antara 5% - 11% daripada harga jualan buku, berdasarkan kategori buku.


Margin keuntungan untuk penerbit adalah 5% ataupun lebih, bergantung kepada berapa harga jualan buku dan diskaun yang diberikan kepada pengedar.


Formula yang paling asas bagi menetapkan harga jualan adalah begini: Katakanlah kos mencetak buku saudara itu adalah RM3, dan saudara mencetak 3 ribu naskhah, harga jualannya adalah RM3 darab 4 = RM12.


Formula 3 X 4 ini adalah bagi buku tradebook, yakni buku-buku bacaan am yang dijual dalam kedai buku.


Formula 3 X 4 ini tidak boleh digunakan bagi buku-buku teks dan buku bacaan kanak-kanak sebab buku-buku itu mesti dijual pada harga yang lebih murah. Bukan semua ibu bapa mempunyai pendapatan tinggi, itulah sebabnya buku-buku yang dibaca oleh kanak-kanak mesti murah.


Buku-buku yang dibeli oleh remaja juga tidak boleh menggunakan formula 3 X 4 disebabkan remaja tidak mempunyai wang banyak, itulah sebabnya novel cinta remaja dijual pada harga murah.


Harga jualan bagi buku-buku yang diterbitkan khusus untuk dijual ke perpustakaan boleh dinaikkan kepada 3 X 5 ataupun lebih tinggi lagi disebabkan buku-buku itu dibeli menggunakan wang kerajaan ataupun syarikat.


Nota: Buku-buku PTS ditargetkan bagi jualan dalam kedai, oleh itu PTS menggunakan formula "harga patut" bagi semua buku-bukunya. Jika dibeli oleh perpustakaan, itu adalah bonus.


.


.


 


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, July 26, 2007

Jumlah Cetakan dan Kulit Buku

Buku yang dijual di kedai-kedai buku adalah barangan konsumer. Pembeli barangan konsumer mempunyai citarasa yang suka berubah-ubah. Oleh itu kulit buku perlu berubah-ubah bagi memenuhi citarasa pembeli buku.

Pemilik kedai buku mahukan supaya setiap tahun kulit buku berubah-ubah disebabkan faktor pembeli yang mahukan desain-desain baru setiap tahun.

Bagi buku-buku yang laku 2 ribu naskhah setahun, cetak 2 ribu naskhah sahaja, supaya cetakan itu habis terjual dalam tempoh 1 tahun. Tahun hadapan, cetak semula buku itu dengan kulit baru!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, July 24, 2007

Bisnes Buku, Bisnes Majalah

Banyak juga kita menerima cadangan dan pertanyaan mengapa PTS sendiri tidak menerbitkan majalah.

Untuk makluman saudara, bisnes buku dan bisnes majalah macam epal dengan oren bezanya.

Mindset orang buku tidak serupa dengan mindset orang majalah.

Cara kerja orang buku amat berlainan daripada cara orang majalah bekerja. Buku memerlukan editor perolehan. Majalah memerlukan wartawan.

Buku tidak perlukan iklan. Majalah tidak dapat hidup tanpa iklan.

Pengedar buku mengedarkan buku sahaja. Pengedar majalah mengedarkan majalah sahaja.

Desainer kulit buku tidak pandai desain kulit majalah. Desainer kulit majalah tidak pandai desain kulit buku.

Pencetak buku tidak mencetak majalah. Pencetak majalah tidak mencetak buku.

Pembeli buku belum tentu membaca majalah. Pembaca majalah belum tentu membaca buku.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(13) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 09, 2007

Tip Survival Penerbit: Berfikir Sebagai Pakar Strategi

Apabila saudara bergiat dalam bisnes penerbitan buku, malah apa jua bidang bisnes, pelajari kemahiran berfikir sebagai pakar startegi.

Jikalau tidak, sukar bagi saudara mahu mencari sektor fokus bisnes saudara, manakala fokus adalah salah satu syarat utama kejayaan bisnes. Tanpa fokus, nanti saudara masuk pasaran dengan judul penerbitan yang rencam.

Memasuki dunia bisnes bermakna berdepan dengan persaingan dalam pasaran.

Sebagai ahli strategi, pertama-tama kenal pasti sektor yang sudah ada budak-budak besarnya. Jangan saudara masuki sektor itu semasa otot syarikat saudara belum cukup kuat. Masuki padang permainan budak-budak besar hanya apabila syarikat saudara mempunyai modal yang besar.

Sebagai contoh, sebagai orang baru dalam bisnes penerbitan, jangan masuk sektor novel popular perempuan, sebab dalam sektor itu sudah ada budak besarnya, yakni ALAF21. Tidak ada pembaca novel perempuan yang tidak kenal brand ALAF21.

Sebagai pemain baru, tanpa modal besar, saudara tidak dapat bersaing dengan ALAF21 melainkan saudara bersaing dengan sokongan pemodal di balik tabir @ alibaba.

Hampir semua pemain baru dalam sektor novel cinta didukung oleh pemodal yang memodali kos mencetak novel-novel yang mereka terbitkan. Di depan sahaja nama Melayu, di belakang adalah pemodal Mamak ataupun Cina.

Ada dua jenis pemodal alibaba yang popular: (a) Tuan punya syarikat pengedar, dan (b) Tuan punya kilang cetak. Merekalah yang bersedia mengeluarkan modal kos mencetak novel-novel yang saudara terbitkan.

Sudah ramai orang Melayu yang main game menjadi orang depan kepada pemodal, tetapi sampai saat ini, strategi begini belum menghasilkan penerbit Melayu yang berjaya.

Jika saudara mahu masuk padang di mana budak-budak besar bermain, jangan masuk menggunakan strategi bersaing. Gunakan strategi lain.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 06, 2007

Sektor Buku Agama Cantik

Salah satu ciri kelompok kelas menengah di bandar-bandar besar adalah cita rasa aestetika. Mereka mementingkan produk-produk yang mereka beli supaya bersifat cantik, ada nilai seninya.

Ini adalah contoh buku doa saiz kecil yang ditargetkan kepada pasaran kelas menengah. Buku ini diulangcetak dalam tempoh 2 bulan.

Anggota kelas menengah mampu membeli dengan harga yang lebih tinggi bagi barangan yang mempunyai value-added nilai aestetika.

Bukan hanya ibu bapa kelas menengah yang mahukan barangan konsumer cantik, malah anak-anak kelas ini juga mempunyai cita rasa yang serupa dengan ibu bapa mereka.

Penerbit buku-buku agama tradisional tidak melabur dalam penghasilan buku-buku agama yang cantik-cantik. Ini lebih ketara bagi buku agama bacaan kanak-kanak. Rata-rata buku agama sektor kanak-kanak adalah 'compang-camping' kualiti penampilannya.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, July 04, 2007

Tip Survival Penerbit: Gubal Dasar Penerbitan

Apabila saudara mahu menjadi penerbit, sebelum memulakan operasi syarikat saudara, gubal dahulu dengan jelas dasar-dasar penerbitan saudara.

Dasar penerbitan adalah alat penurunan kuasa dan tugas daripada lembaga pengarah syarikat kepada seluruh anggota staf.

Apakah yang dikatakan 'dasar penerbitan'? Berikut adalah contoh dasar penerbitan PTS:

1. PTS hanya menerbitkan buku ilmu.

2. PTS hanya menerbitkan buku dalam Bahasa Melayu.

3. PTS hanya menerbitkan buku yang syariah-compliant.

Dasar penerbitan adalah sangat penting kerana:

1. Dasar Penerbitan membolehkan staf tahu dengan tepat apa judul yang mereka boleh terbitkan dan apa yang tidak boleh mereka terbitkan. Justeru mereka tahu pengarang yang bagaimana mereka perlu dekati ataupun jauhi.

2. Dasar penerbitan membolehkan saudara melaksanakan 'delegasi' membuat keputusan kepada staf saudara. Tanpa adanya dasar penerbitan yang jelas, semua keputusan terpaksa dirujukkan kepada saudara.

3. Dasar penerbitan yang jelas membolehkan staf saudara berfikir secara kreatif bagaimana mereka dapat melaksanakan dasar-dasar itu dengan jayanya.

4. Dasar itu dapat dijadikan asas bagi setiap program dan projek penerbitan yang dirancang oleh staf saudara.

5. Dasar itu membolehkan mereka menyampaikan taklimat dan menjawab pertanyaan dengan yakin bahawa isi taklimat itu adalah betul.

6. Penulis-penulis yang menyokong dasar penerbitan syarikat saudara akan terus setia kepada syarikat saudara.

Sebagai penerbit, apabila saudara tidak menentukan dasar-dasar penerbitan saudara, nanti staf saudara tidak tahu apa kuasa yang ada pada mereka. Ini menyebabkan staf saudara bekerja dengan 'jiwa kecil'.

Jiwa staf menjadi kecil apabila mereka tidak berani berfikir dan membuat keputusan tanpa bertanya kepada saudara terlebih dahulu akan segala sesuatu, termasuk perkara-perkara yang titik-bengik sekalipun.

Staf yang berjiwa kecil tidak dapat membangunkan syarikat penerbitan yang besar. Kata pepatah, kayu-kayu besar menghasilkan api besar.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, July 01, 2007

Tip Survival Penerbit: Jangan Lebih 2 Keping

Apabila saudara hendak menerbitkan buku ataupun majalah bacaan kanak-kanak, harganya tidak boleh lebih daripada RM10.00. Jikalau lebih, ibu bapa berasa harga itu amat mahal bagi buku kanak-kanak.


Apabila saudara hendak menerbitkan buku ataupun majalah bagi bacaan remaja, harga jualannya jangan lebih daripada RM15, sebab remaja tidak mempunyai banyak wang. Ini bermakna buku ataupun majalah saudara jangan lebih daripada 150 halaman bercetak.


Jika saudara menerbitkan buku ataupun majalah untuk bacaan gadis kilang dan gadis pejabat, harganya jangan lebih daripada RM20, sebab pendapatan mereka tidak tinggi.


Apabila menetapkan harga bagi kumpulan remaja dan gadis pejabat, jangan sampai mereka terpaksa mengeluarkan 2 keping wang merah. Daripada segi psikologi apa-apa buku yang dijual dengan harga lebih daripada RM20, mereka akan rasa buku saudara itu amat mahal walaupun perbezaan harga itu adalah antara RM19.90 dengan RM21.00


Jika saudara menerbitkan buku untuk golongan profesional dan orang bisnes, mereka mempunyai wang yang lebih banyak, jadi saudara boleh mencetak buku yang lebih tebal.


Jika saudara menerbitkan buku untuk perpustakaan, saudara boleh meletakkan harga yang lebih tinggi, sebab pustakawan yang membeli buku itu membayarnya dengan menggunakan wang kerajaan ataupun syarikat, bukan wangnya sendiri.


.


.


 


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, June 29, 2007

Khutbah Jumaat PTS: Falsafah ‘Tangan Kapitalis’ Membantu ‘Misi Sosialis’

Pada suatu masa dahulu, ketua editor sebuah akhbar arus perdana yang besar pernah ditanya, mengapakah syarikatnya itu menerbitkan majalah-majalah yang membekalkan sampah-sarap ke dalam minda pembaca Melayu.

Dalam jawapannya, beliau menerangkan, majalah-majalah itu amat laku, dan wang daripada jualan itu digunakan bagi membiayai penerbitan akhbar jawi dan majalah agama yang tidak laku. Tanpa adanya 'tangan kapitalis' itu, syarikat tidak dapat menjalankan 'misi sosialis'nya.

Prinsip 'jahat-baik boleh seiring' begini amat popular, dan sampai hari ini masih banyak penerbit Melayu-Islam yakin bahawa inilah sahaja jalan yang ada jikalau penerbit mahu menerbitkan bahan-bahan ilmu dalam Bahasa Melayu.

Bukan seorang dua orang penerbitan, malah rata-rata, yang yakin penerbit mesti mencari wang dengan menjual sampah-sarap dan benda-benda terlarang supaya wang daripada jualan itu dapat digunakan bagi menerbitkan bahan-bahan baik.

Prinsip 'tujuan menghalalkan cara' adalah tidak dibenarkan dalam agama Islam.

Apabila kita yakin tidak ada cara lain, maka kita sudah berputus harap akan bantuan Tuhan, dan hukum berputus harap amat serius.

Tuhan jualah yang lebih mengetahui.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, May 11, 2007

Sifat Buku Sebagai Produk Konsumer

Buku adalah produk konsumer. Ia serupa dengan produk-produk konsumer lain - sabun mandi, kasut sekolah, berus gigi, burger, minyak wangi dan lain-lain.

Buku adalah produk (a) orang yang pandai dan (b) orang yang mempunyai wang.

Orang bodoh tidak membaca buku. Orang yang tidak mempuyai wang lebihan, mereka tidak membeli buku.

Dua sifat konsumer buku yang begitu itu amat besar peranannya menentukan apakah buku saudara dibeli orang ataupun tidak.

Pembeli dan pembaca buku adalah orang-orang yang pandai. Kalau dia masih budak sekalipun, dia budak yang pandai. Sudahlah dia pandai, dia juga mempunyai wang. Kalau dia budak sekalipun, dia anak orang yang berwang.

Apabila menulis buku, 2 faktor ini perlu sentiasa ada dalam ingatan, bahawa kita hanya dapat menjual buku kepada (a) orang pandai dan (b) orang berwang.

Orang pandai mempunyai pemikiran kritis. Orang berwang mempunyai pilihan yang banyak.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, May 09, 2007

Pesta Buku: Penerbit dan Product-line

Dalam pesta buku lalu, kita lihat banyak penerbitan tempatan yang tidak jelas apa tema dan kategori barisan produknya.

Syarikat-syarikat yang berjaya mempunyai product-line yang jelas. Apakah product-line Ramly Burger? - Makanan segera. Apakah product-line F&N? - minuman ringan bergas. Apakah product-line Alaf21? - novel cinta. Apakah product-line PTS?

Bayangkan apa akan jadi jikalau F&N, selain menjual minuman coke, ia juga menjual ubat gigi, roti, ubat nyamuk, serbuk kunyit, dan lain-lain. Namun senario ini banyak berlaku di kalangan penerbit buku tempatan.

Sebelum saudara memulakan bisnes dalam penerbitan buku, fikirkan masak-masak product-line saudara. Jangan jadi penerbit rencam tidak berfokus. Nanti product-line saudara ke sana tidak, ke sini pun tidak.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, May 08, 2007

Pesta Buku: Fokus, Fokus, dan Fokus

Dalam pesta buku baru lalu, kita putar-putar, tengok-tengok trend pelaburan yang dilakukan oleh rakan-rakan penerbit. Dapat dilihat kebanyakan penerbit tempatan yang dimiliki oleh usahawan Melayu tidak jelas fokus produknya.

Ada beberapa kemungkinan mengapa produk-prouk mereka tidak fokus:

(1) Mungkin penerbit itu tidak yakin peri pentingnya memfokuskan produk-produknya sebagai syarat kejayaan.

Sebagai contoh, penerbit itu menerbitkan macam-macam genre buku, ada buku kanak-kanak pra-sekolah, ada CD, ada buku Melayu, ada buku Inggeris, ada buku motivasi, ada buku bisnes, ada buku parenting, ada buku agama, ada novel cinta, dan macam-macam lagi.

( 2) Mungkin penerbit itu sedang beralih daripada sektor lama ke sektor baru yang amat berbeza, sebagai contoh, daripada sektor kanak-kanak kepada sektor novel berat.

Fokus adalah amat penting dalam apa jua kejayaan. Jika saudara hendak membuka syarikat penerbitan, sejak awal saudara perlu menentukan sektor apa yang saudara mahu ceburi dan tekuni.

Fokus sangat rapat kaitannya dengan branding. Branding pula adalah salah satu ciri syarikat yang berjaya. Sebagai contoh nama syarikat yang berjaya menjadi brand terkenal adalah syarikat Alaf21. Sebut sahaja "Alaf" orang tahu "novel cinta'.

Apabila produk saudara berfokus, branding menjadi lebih mudah.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Pesta Buku: Rancangan 2008 - Buku Remaja Lelaki

Bagi pesta buku 2008, kita mengajak rakan-rakan penerbit supaya menerbitkan buku-buku cerita untuk bacaan remaja lelaki.

Sektor remaja lelaki masih belum dieksploitasi, dan ini adalah lautan BLUE OCEAN. Ia ibarat padang bola kosong pemain, kalau bola ditendang oleh amatur sekalipun, pasti masuk gol!

Marilah kita beramai-ramai meneroka sektor ini.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, May 07, 2007

Pesta Buku: Takut Ter-masuk Islam

Macam biasa, sepanjang pesta buku kita jalan-jalan, tengok booth kawan-kawan, apatah lagi booth kawan-kawan karib kita.

Kita singgah di booth KarnaDya, milik keluarga Puan Aina Emir, kita ternampak sebuah buku 'pelik' kulitnya, macam kulit buku sastera klasik terbitan DBP dipamerkan bersama-sama buku-buku novel remaja. Judul buku pelik itu "Nilam Sari".

"Itu buku apa? Lain benar wajahnya!"

Salah seorang anak lelaki Puan Aina yang bertugas sebagai promoter buku, sambil memegang buku pelik itu berkata, "Puan, tadi ada orang tanya... Ini surah Yasinkah?"

Saya tergelak, sambil geleng-geleng kepala memikirkan, macam mana pula designer cover buku itu buat cover buku sastera sampai nampak macam cover buku Surah Yasin. Macam ini punya designer pun ada! - hati saya berkata.

Macam tidak cukup gelak, seorang lagi anak Puan Aina menyambung, katanya, "Puan, ada seorang India datang, apabila dia tengok buku itu, dia kata... Saya takut baca ini buku... nanti saya masuk Islam!"

Kah! Kah! Kah! Kami semua tergelak, kali ini sampai tekan-tekan perut...

Nota: Kesilapan begini berlaku disebabkan editor baru belum mahir mencipta pakejing buku. Gelak, gelak juga... satu kali silap, ribu-ribu ringgit terbang!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, May 03, 2007

Panduan Menyusun Puisi

Katakanlah saudara seorang penyair. Saudara sudah menulis 100 puisi yang mahu diteritkan dalam bentuk buku.

Apabila saudara menyusun puisi-puisi untuk dibukukan, bagaimanakah saudara memilih puisi mana yang hendak saudara letakkan di halaman pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, sampailah puisi apa yang hendak diletakkan di halaman terakhir?

Ada beberapa metode yang dapat digunakan, masing-masing metode dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing.

(1) Susun ikut tarikh puisi itu ditulis

Banyak penyair menggunakan metode ini. Objektif yang biasa dijadikan alasan oleh sang penyair adalah:

(i) Bagi merekodkan aspek-aspek sejarawi kepengarangnnya, dan

(ii) Dengan cara itu pembaca dapat melihat perkembangan bakat dan mutu karyanya, sejak beliau mula menulis sehingga sekarang.

Dua objektif di atas menyebabkan tarikh dan tempat puisi-puisi itu ditulis dicatatkan di bawah setiap puisi.

Metode ini tidak mengambil kira:

(i) Layout buku itu nanti bakal menjadi cantik ataupun buruk.

(ii) Apakah pembeli buku itu membeli disebabkan dia mahu tahu maklumat sejarawi kepengarangan si penyair, ataupun apa?

(iii) Ia tidak mengambil kira aspek bagaimana buku puisi itu mahu di-position-kan dalam pasaran supaya dapat dijual.

(2) Susun ikut tema puisi

Ada penyair yang menerbitkan karyanya berdasarkan tema. Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah antara penyair yang pernah menulis dan menerbitkan puisinya dengan cara ini. Sebagai contoh karya beliau "Sajak-sajak Sejarah Melayu" (DBP 1981)

(3) Susun supaya buku itu menjadi cantik apabila sudah siap dicetak.

Metode ini mengambil kira layout buku. Sebagai contoh apabila buku dibuka, wajah halaman sebelah kiri mesti sama cantiknya dengan halaman sebelah kanan, bagaikan pinang dibelah dua.

Jangan berlaku di mana, puisi di halaman kiri pendek, cuma 7 baris, manakala puisi di halaman kanan panjang, 20 baris, nanti visual buku itu 'senget' ke kanan.

Begitu juga, puisi itu jangan terlebih panjang 2 baris, sehingga 2 baris itu perlu disambung ke halaman berikutnya! Ini menyebabkan buku itu banyak ruang kosong dan wajah buku itu menjadi buruk!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, April 30, 2007

Rahsia Kejayaan Bisnes PTS: Berikan Kursus Percuma kepada Pembekal

Setiap bisnes mempunyai pembekal-pembekalnya. Jika saudara menjual nasi lemak, pembekal saudara adalah mereka yang supply beras, kelapa, cili kering, bawang, ikan bilis, gas, daun pisang dan lain-lain lagi. Kualiti nasi lemak saudara ditentukan oleh kualiti bahan mentah yang dibekalkan kepada saudara. Kalau santan itu terlalu cair, nasi lemak saudara kurang lemak.

Bagi penerbit buku, pembekalnya adalah penulis manuskrip, pelukis ilustrasi, pencetak dan lain-lain lagi. Kualiti buku-buku yang saudara terbitkan ditentukan oleh kualiti manuskrip dan kualiti perkhidmatan yang saudara terima daripada pembekal saudara. Kalau pencetak saudara salah bancuh dakwat warna, kulit buku saudara menjadi buruk.

Syarikat-syarikat pembuatan di Jepun memberikan kursus-kursus percuma kepada pembekal komponen produk-produk yang mereka keluarkan bagi memastikan komponen yang dibekalkan menepati spesifikasi.

Dengan meniru model Jepun itu, PTS mengadakan kursus-kursus percuma bagi para penulisnya supaya semua manuskrip yang mereka bekalkan kepada PTS menepati spesifikasi PTS.

Kos mengendalikan kursus PTS dibayar oleh pembeli buku-buku PTS kerana kos itu dimasukkan ke dalam pengekosan dan ke dalam harga jualan buku-buku PTS. Nilai pelaburan kursus PTS adalah antara RM3500 - RM4500 setiap bulan, sekitar RM40,000 setahun. Sebagai balasan, pembaca mendapat buku-buku yang berkualiti, bermakna, dan berguna dalam hidup mereka.

Jadi, kepada para penulis PTS sekalian, tulislah buku yang membawa perubahan bermakna ke dalam hidup pembaca buku-buku saudara kerana merekalah yang telah membiayai ilmu pengetahuan yang saudara peroleh dalam kursus-kursus PTS.

Kepada peserta kursus yang belum menyiapkan buku-bukunya, saudara berhutang kepada pembeli buku-buku PTS yang membayarkan yuran kursus saudara.

(Hmm... nanti Sifu siarkan nama-nama saudara, mahu? Marah nih!)

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 5 pages  1 2 3 >  Last »