
Menurut Orson Scott Card, cerita-cerita yang termasuk ke dalam kategori
fiksyen spekulatif adalah:
(1) Apa sahaja cerita yang settingnya adalah masa depan kerana masa depan adalah sesuatu yang kita tidak tahu. Justeru apa juga cerita yang meramalkan terciptanya pelbagai teknologi masa depan adalah termasuk dalam kategori ini.
(2) Apa sahaja cerita yang settingnya adalah pada masa lampau, yang bertentangan dengan fakta-fakta sejarah sebagaimana yang diketahui.
Dalam alam fiksyen sains, ini disebut dengan istilah cerita-cerita "alternate world". Sebagai contoh, apa yang berlaku sekiranya Parameswara tidak pernah masuk Islam, ataupun Sultan Mahmud tidak pernah berkahwin dengan puteri Cina yang bernama Hangli-Po, sebaliknya berkahwin dengan puteri dari India yang bernama Sairabanu.
(3) Apa sahaja cerita yang settingnya bukan di planet Bumi, sebab belum ada manusia yang pernah sampai ke sana. Tidak kiralah apakah watak-watak dalam cerita-cerita itu melibatkan manusia ataupun bukan manusia, kalau settingnya bukan Bumi, maka ia termasuk dalam fiksyen spekulatif.
(4) Apa sahaja cerita yang kononnya berlaku di Bumi, tetapi pada masa dahulu kala, sebelum sejarah dicatat manusia, pada zaman yang tiada bukti-bukti arkelologi sebagai bukti kewujudannya - cerita-cerita kononnya makhluk asing pernah datang ke Bumi, cerita-cerita tentang tamadun manusia yang tidak terdapat bukti peninggalannnya, ataupun cerita-cerita tentang kerajaan-kerajaan purba yang kononnya masih wujud sehingga hari ini.
(5) Apa sahaja cerita yang bertentangan dengan hukum-hukum alam semulajadi ciptaan Tuhan. Dalam kategori ini termasuklah cerita-cerita ilmu ghaib, magik, sihir, tahyul. Ada juga jenis fiksyen sains yang masuk dalam kategori ini: cerita-cerita tentang pengembaraan waktu (time travel) ataupun manusia halimunan.
Ringkasnya, cerita-cerita dalam fiksyen sains dan fiksyen fantasi adalah cerita-cerita yang berlaku di tempat-tempat yang tidak pernah wujud ataupun di luar pengetahuan manusia.

Dalam karya Orson yang bertajuk
Invasive Procedures, George Galen adalah seorang ahli sains yang brilian, pelopor terapi gen. Tetapi dia mempunyai kegilaan yang sangat membahayakan.
Dia sudah berjaya mencipta kaedah mengubah DNA manusia, bukan sahaja bagi tujuan perubatan, tetapi juga supaya "membaiki" lagi manusia - mereka dapat sembuh lebih cepat dan akan ikut sahaja semua arahannya.
Frank Hartman adalah pakar virologi yang brilian, bertugas di agensi rahsia pertahanan bio-hazard milik kerajaan.
Dia sudah tahu bagaimana melemahkan virus pengubah-DNA ciptaan Galen. Dengan itu Hartman menjadi satu-satunya penghalang cita-cita Galen mahu "membaiki" seluruh bangsa manusia.
Thriller sains ini membawa pembaca jauh ke masa hadapan bagi melihat janji-janji kebaikan dan kecelakaan yang dapat diciptakan oleh sains perubatan genetik.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
Sumber Berita Cerita Inspirasi Motivasi Dunia Terbaru - beritama.com